Kebangkitan permainan video mudahalih di telefon telah menghasilkan satu terma baru, gaming smartphone. Beberapa model yang direka khusus untuk bermain games telah tumbuh bak cendawan seperti Razer Phone, Xiaomi Black Shark dan ASUS ROG Phone. Tetapi semuanya berharga premium, melebihi RM2,000.
Kemudian datang pula gaming smartphone kelas pertengahan seperti ASUS Zenfone Max Pro M1, yang menggunakan cip pemproses kelas pertengahan. honor tampil dengan telefon pintar gaming mereka yang tersendiri, mengekalkan prestasi tertinggi tetapi dengan harga yang lebih rendah dari biasa. Itulah honor Play.
Sebelum ketibaan honor Play, honor 10 adalah telefon pintar yang dikuasakan cip pemproses Kirin 970 paling murah di pasaran. Ia boleh dibeli pada harga serendah RM1,699 sahaja, RM900 lebih murah dari Huawei P20 yang berharga RM2,599.
Tetapi honor Play membawakan definisi baru untuk gaming smartphone bajet. Ia dikuasakan cip Kirin 970 yang berkuasa tinggi, memiliki bateri yang besar dengan harga di bawah RM1,500. Lebih tepat lagi, harga honor Play hanyalah RM1,249 sahaja.
Adakah benar honor Play merupakan gaming smartphone berprestasi tinggi dengan harga yang rendah? Kami nampak ada potensinya di situ. Apatah lagi ia adalah peranti pertama dengan teknologi GPU Turbo yang baru ditambah ke dalam cip Kirin 970.
Ikuti pemerhatian kami tentang honor Play dalam muka seterusnya.
Rekabentuk
honor Play memiliki badan besi dengan sisi yang melengkung. Badan sebegini memang sedap digenggam. Apatah lagi ia tidak meninggalkan cap jari seperti di badan kaca. Garisan antena dapat dilihat dicoret di bahagian atas dan bawah telefon.
Tiada sebarang port di atas telefon. Port pengecasan dan penghantaran data USB-C, dan port audio 3.5mm terletak di bawah. Ini satu mata tambahan kerana honor Play masih mengekalkan port audio ini. Lubang speaker juga terdapat di bawah ini. Malangnya ia bukanlah speaker stereo. Satu mata dipotong di sini.
Skrinnya agak besar, berukuran 6.3-inci lebar dengan kepadatan 2340×1080 piksel. Skrin ini memenuhi 89% bahagian hadapan, memberikan bingkai yang sangat nipis. Tetapi ini juga menjadikannya memiliki takuk di dahi.
Pengimbas capjari terletak di belakang, bersama dwi-lensa kamera belakang. Tetapi seperti sudah menjadi kebiasaan buat pengeluar masakini, membuat bonjolan tebal untuk kamera. Ini sedikit sebanyak agak merisaukan kerana kelihatan mudah tercalar. Tetapi ia boleh diatasi dengan memasang casing percuma yang datang bersama. Cuma, sudah kurang cantik rupanya.
Prestasi
Sebelum ke dunia sebenar, kita periksa sedikit prestasi honor Play menggunakan aplikasi ujian benchmark Geekbench 4.0 dan AnTuTU 7.1.
Dalam ujian CPU Geekbench 4.0, dapat dilihat honor Play dengan mudah mengatasi peranti dengan cip Snapdragon 835 dan Exynos 8890 dalam eka-teras, dan sedikit lebih baik dari Exynos 8895 dalam pelbagai teras.
Untuk ujian AnTuTu, ia dengan mudah memungut mata lebih dari 200,000 untuk duduk sama tinggi dengan Google Pixel 2, Galaxy Note8 dan Xperia XZ1. Sedikit sebanyak, ini membuktikan honor Play memiliki cip Kirin 970 yang sebenar.
Bermain Games
honor Play dilancarkan bersama beberapa teknologi yang dikatakan sangat membantu bermain games seperti GPU Turbo, efek bunyi 3D dan getaran 4D Smart Shock.
GPU Turbo bukanlah tambahan perkakas sebaliknya ia adalah naiktaraf secara perisian. honor menyatakan ia meningkatkan prestasi sehingga 60% dan menjimatkan tenaga sehingga 30%. Games yang boleh menggunakan teknologi GPU Turbo buat masa ini adalah seperti PUBG, Mobile Legends dan Asphalt 9.
Perkara ini tidak dapat kami uji memandangkan honor Play telah datang siap dengan GPU Turbo. Tetapi sepanjang bermain PUBG dan Mobile Legends, kami tidak berdepan dengan sebarang lengah masa. Masalah yang ada lebih kepada sambungan internet yang tersekat.
Tetapi teknologi getaran 4D Smart Shock tidak dapat dirasakan dengan nyata. Ia sepatutnya boleh memberi getaran seperti alat kawalan Dual Shock di Playstation, tetapi seperti tiada di honor Play. Rasa sama macam telefon pintar lain.
Efek bunyi 3D juga tidak terasa berbeza, apatah lagi jika mengharapkan bunyi dari speaker mono di bawah telefon. Untuk mendapatkan sistem bunyi yang lebih baik semasa bermain games, penggunaan fon kepala adalah perlu.
Hayat Bateri
Bateri 3,750mAh di dalam honor Play boleh dikira besar jika dibandingkan dengan kebanyakan telefon pintar lain. Apatah lagi ia menyokong pengecasan pantas.
Penggunaan biasa dengan bermain game secara minima, ia mencecah 15% kapasiti bateri selepas 15 jam penggunaan dengan 5 jam masa hidup skrin. Dalam satu lagi penggunaan, ia mencapai 15.5 jam penggunaan dengan 4 jam masa hidup skrin.
Untuk mengisi semula tenaga bateri, menggunakan pengecas HUAWEI Quick Charge 18W yang datang bersamanya, ia memerlukan 60 minit untuk mencapai 50% dan 130 minit atau 2 jam 10 minit bagi penuh 100%.
Pengecasan sebegini bukan yang paling pantas tetapi agak ok untuk kapasiti bateri sebesar 3,750mAh.
[nextpage title=”Kamera & Kesimpulan”]
Kamera
Mungkin ini aspek yang tidak penting buat honor Play, tetapi ia masih dapat menghasilkan tangkapan gambar yang baik. Cip Kirin 970 memiliki keupayaan AI, dan ia dapat membantu mengesan suasana dan menambah efek yang bersesuaian.
Dengan lensa berkembar 16MP + 2MP di belakang, menangkap gambar bokeh dan potret bukanlah sesuatu yang sukar di honor Play. Kuasa AI boleh dihidup dan dimatikan dengan mudah dari antaramuka kamera. Jika dihidupkan, anda masih boleh mendapatkan gambar tanpa AI selepas mengambil gambar.
Kualiti gambar yang dihasilkan tidaklah sehebat Huawei P20 tetapi masih sesuai untuk dikongsi ke media sosial. Cuma pastikan di tempat yang mencukupi cahaya.
Untuk swafoto, hasil gambar dari honor Play memang tidak mengecewakan. Kuasa cantuman piksel-binning yang menghasilkan piksel bersaiz 2.0-mikron amat menakjubkan. Ia membolehkan tangkapan swafoto yang cerah dalam suasana kurang cahaya. Tetapi pencahayaan yang terang masih lebih baik jika mahu mengambil gambar swafoto. Mod kecantikan AI juga boleh bantu memberikan mekap digital kepada rupa swafoto anda.
Jika mahu lebih kawalan menangkap gambar, aktifkan sahaja mod PRO dan anda boleh menetapkan sendiri beberapa kawalan kamera ibarat menggunakan DSLR seperti tahap ISO, kelajuan pengatup, tahap pendedahan dan keseimbangan warna.
Ini beberapa contoh gambar yang diambil menggunakan kamera honor Play.
Kesimpulan
Harga serendah RM1,249 untuk telefon pintar berkuasa flagship pada awalnya memang mengejutkan. Tetapi setelah diteliti, ia memang satu harga yang patut memandangkan banyak kekurangan yang terpaksa dibuang.
Perkara ini perlu untuk gaming smartphone bajet, di mana perkara paling penting adalah prestasi dan daya tahan bateri. honor Play menjadi perintis kepada jalan ini dan ia terbukti satu pilihan yang bijak.
Dengan menggunakan cip terbaik Kirin 970 serta bateri yang besar 3,750mAh sememangnya sudah cukup untuk penggunaan pemain game kasual. Permainan tidak lengah dan boleh bermain untuk jangka masa yang lama adalah sangat penting.
Bahagian lain boleh dikorbankan seperti kamera dan rekaan badan, bagi memastikan kos boleh dijimatkan tanpa menjejaskan prestasi.
Pendek kata, honor Play benar-benar memenuhi keperluan sebuah gaming smartphone dengan bajet terendah. Dengan adanya port audio 3.5mm dan slot kad mikroSD, ia juga memberi pilihan kepada pengguna untuk menggunakan perkakas seperti fon kepala dan kad memori mikroSD untuk bermain games.
Cuma, beberapa gimik tambahan seperti 4D Smart Shock dan efek bunyi 3D tidak dapat dirasakan dengan jelas. GPU Turbo pula mungkin memberikan kesan lebih baik kepada prestasi dan hayat bateri, tetapi tidak dapat dibandingkan. Cukuplah dikatakan permainan berjalan lancar tanpa lengah dan bateri tahan lebih lama dari kebanyakan telefon pintar lain.
Kepada anda yang sangat suka bermain games seperti PUBG dan Mobile Legends tetapi tidak mahu berbelanja lebih, honor Play adalah peranti yang patut anda miliki. Dengan harga RM1,249 ia adalah pilihan paling berbaloi. Cuma anda harus bersabar dengan storan 64GB, mungkin dengan kurang mengambil gambar dan memuat turun video.
honor Play di Malaysia dijual dalam dua pilihan warna iaitu biru dan ungu. honor Malaysia menyatakan ia adalah gabungan warna pasangan yang terbaik. Bak kata mat saleh, one for him and one for her atau satu untuk dia dan satu lagi untuk dia.
Kepada yang berminat untuk membeli honor Play, boleh layari laman web www.hihonor.com/my atau pergi ke Stor honor di Shopee.
Tetapi pesaing utama honor Play baru sahaja dilancarkan, Pocophone F1. Ia akan dijual di Malaysia tidak lama lagi dan memiliki banyak persamaan dengan honor Play, tetapi menggunakan cip Snapdragon 845. Adakah ia pilihan yang lebih baik? Kena tunggu ujian kami yang seterusnya.