Jika anda pernah tahu tentang kewujudan iPhone 5C, maka anda tidak perlu terkejut dengan ketibaan peranti ketiga dalam majlis pelancaran iPhone XS pagi tadi, yang diberi nama iPhone XR. Cara menyebutnya, aifon ten-ar.
iPhone XR sebenarnya tidak terlalu banyak bezanya dengan iPhone XS. Tetapi dari rupanya boleh dibezakan dengan mudah. Pertama kerana ia memiliki saiz skrin yang lebih besar dari iPhone XS, tetapi lebih kecil dari iPhone XS Max.
Kedua adalah pilihan warna yang berbeza dari iPhone XS. Apple menyediakan tujuh warna yang garang dan terang buat iPhone XR iaitu Biru, Putih, Hitam, Kuning, Coral dan Merah. Badan iPhone XR diperbuat dari besi, jadi ia lebih kelihatan seperti iPhone 7 berbanding iPhone X.
Perbezaan ketiga adalah kekurangan satu lensa kamera belakang. iPhone XR dilengkapi dengan hanya satu lensa kamera belakang. Ia adalah lensa 12MP F1.8 bersama penstabil imej optikal (OIS). Walaupun tanpa lensa kedua, ia masih mampu menjalankan fungsi sama seperti iPhone XS iaitu Portrait mode dengan advanced bokeh dan Depth Control, serta Portrait Lighting.
Kamera hadapan iPhone XR sama seperti iPhone XS, iaitu kamera TrueDepth lensa tunggal 7MP F2.2, berkeupayaan merakam gambar Portrait Mode dan Portrait Ligthing. Ruang kamera hadapan ini juga dilengkapi kamera pengecaman wajah Face ID terbaru, mengecam lebih pantas dari iPhone X.
Kuasa penggerak iPhone XR dijalankan oleh cip terbaru Apple A12 Bionic, sama seperti yang terdapat pada iPhone XS. Malah ia memiliki pengecasan wayarles serta kalis air dan debu, cuma nya di tahap IP67 iaitu sehingga 1 meter dalam selama 30 minit.
Walaupun skrin iPhone XR lebih besar dari iPhone XS dengan ukuran 6.1-inci, ia menggunakan paparan LCD, bukannya OLED seperti iPhone XS. Malah resolusinya juga lebih rendah, hanya 1792×828 piksel dengan kepadatan 326 ppi sahaja.
Agak banyak kekurangan pada iPhone XR berbanding iPhone XS, tetapi ia masih memiliki kuasa pemproses tinggi dengan penggunaan cip A12 Bionic, serta kamera belakang tunggal dengan lensa yang sama. Boleh dikatakan, ia seperti telefon pintar gaming kelas bajet.
iPhone XR juga menyokong penggunaan dwi-SIM serentak. Tetapi untuk pasaran antarabangsa, ia dalam bentuk satu kad sim fizikal dan satu lagi ialah eSIM. Buat masa ini hanya Maxis menawarkan eSIM di Malaysia.
Lebih penting lagi, harga iPhone XR adalah jauh lebih rendah dari iPhone XS tetapi masih lagi mahal dari iPhone 8. Dengan beza harga bermula dari USD150, iPhone XR boleh dibeli dengan harga dari USD749 (RM3,102) dengan pilihan storan 64GB, 128GB dan 256GB. Di Malaysia, mungkin harganya akan bermula dari RM3,499.
Jika tiada aral melintang lalu membujur patah, iPhone XR kami jangka akan tiba di Malaysia seawal bulan Oktober depan. Adakah anda sanggup menunggu ketibaan iPhone XR atau terus sahaja dapatkan iPhone X yang lama?
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Apple iPhone XR.