Phablet Mi Max 3 dan gelang Mi Band 3 tiba di Malaysia hujung bulan ini

Peminat telefon pintar dengan skrin lebih besar kini mempunyai pilihan baru yang lebih berkuasa apabila Xiaomi mengumumkan ketibaan Mi Max 3 di Malaysia. Xiaomi turut menyatakan gelang kecergasan terbaru mereka, Mi Band 3 turut datang bersama hujung bulan ni.

Mi Max 3 boleh diibaratkan Redmi Note 5 bersaiz XL. Ia memiliki beberapa persamaan seperti menggunakan cip pemproses Snapdragon 636, pilihan RAM LPDDR4X sebanyak 4GB dan storan dalaman eMMC 5.1 seluas 64GB.

Kameranya juga hampir sama, dengan kamera belakang menggunakan dwi-lensa 12MP+5MP F1.9 bersama autofokus dwi-piksel yang sangat pantas. Tetapi di depan sedikit berbeza, hanya 8MP F2.0 dan ditemani LED bercahaya lembut, berbanding 13MP di Redmi Note 5.

Perbezaan paling ketara sudah pasti pada saiz skrinnya. Walaupun ukuran badannya hampir sama dengan Mi Max 2, skrinnya kini lebih luas, sepanjang 6.9-inci dengan resolusi FHD+ 2160×1080 dalam nisbah 18:9, tanpa takuk di dahi.

Bateri Mi Max 3 juga lebih besar, dengan kapasiti 5,500mAh dan ia menyokong pengecasan pantas QuickCharge 3.0 melalui sambungan USB-C. Mi Max 3 menyokong dua kad sim dan satu kad mikroSD dalam slot hibrid.

Mi Max 3 akan mula dijual di Malaysia bermula 27 September 2018, pada harga RM1,099. Hanya satu model boleh dibeli, dengan konfigurasi 4GB RAM dan 64GB storan, serta badan berwarna hitam. Ia boleh dibeli di Mi Store di seluruh Malaysia, serta platform e-dagang Lazada dan Shopee.

Buat pertama kalinya, gelang kecergasan pintar Xiaomi boleh digunakan di dalam air. Mi Band 3 yang akan dijual di Malaysia, mempunyai kekalisan air sehingga tahap 5 ATM.

Walaupun rupa yang hampir sama dengan Mi Band 2, gelang kecergasan terbaru ini memiliki resolusi paparan yang lebih tinggi, berukuran 128×80. Ini membolehkan ia memaparkan mesej, di samping data asas seperti jam, tarikh dan langkah.

BACA  Kamera Mi 8 Explorer Edition terima kemaskini Google Night Sight

Baterinya memiliki daya tahan yang sama, dengan penggunaan biasa sehingga 20 hari dalam sekali cas penuh. Ia boleh berhubung dengan aplikasi Mi Fit untuk menyimpan data kecergasan serta analisa dalam bentuk harian, mingguan atau bulanan.

Mi Band 3 akan dijual di Malaysia dengan harga RM129, bermula dari 27 September 2018 di Mi Store, Lazada dan Shopee.