fbpx

Huawei gelar Mate 20 X peranti gaming muktamad

Selepas Richard Yu mengumumkan telefon pintar Mate 20, Mate 20 Pro dan Mate 20 RS Porsche Design, beliau membuat satu lagi kejutan yang lebih besar apabila mengumumkan Mate 20 X. Ya, Mate 20 X adalah peranti paling besar dalam majlis pelancaran ini.

Huawei mahu menyertai perlumbaan peranti gaming mudahalih dengan memberi gelaran peranti gaming muktamad kepada Mate 20 X. Selain prestasi tinggi, Mate 20 X memiliki skrin luas dengan resolusi tinggi, serta bateri besar yang tahan lebih lama.

Mengiringi ketibaan Mate 20 X adalah cip pemproses Kirin 980, RAM sebanyak 6GB dan storan dalaman 128GB untuk memberikan prestasi tertinggi. Peranti ini disertakan sistem penyejukan Vapor Chamber bersama filem Graphene, dinyatakan memiliki elemen penyejuk yang lebih baik dari biasa. Peranti kurang berasa panas dan boleh bermain game dengan lebih lama.

Huawei turut menyatakan, Mate 20 X memiliki kuasa GPU Turbo 2.0 bagi memberikan pengalaman bermain game yang lebih hebat. Ia juga menyokong storan tambahan tetapi menggunakan kad memori NM yang baru, tiada lagi kad mikroSD.

Skrin Mate 20 X seluas 7.2-inci HD Penuh+ (2244 x 1080) dari jenis OLED, dengan takuk kecil titisan air. Tetapi ia diikitraf IP53, kalis percikan air dan debu sahaja. Tiada pengimbas cap jari dalam skrin padanya, kerana ia menggunakan pengimbas cap jari fizikal yang terletak di belakang.

Bateri besar 5,000mAh dipasang di dalam Mate 20 X, yang datang bersama pengecas pantas Huawei SuperCharge. Pengecasan dibuat melalui port USB-C dan ia tidak menyokong pengecasan wayarles.

Menambah keseronokan bermain game di Mate 20 X adalah pembesar suara stereo sebenar, terletak di bahagian bawah dan atas telefon. Jek fon kepala 3.5mm masih terdapat di Mate 20 X, memberi lebih pilihan kepada pengguna untuk menikmati sistem audio.

BACA  Maxis guna kepakaran Huawei untuk melancarkan 5G

Mungkin kamera bukanlah keutamaan buat gamers, tetapi Mate 20 X dilengkapi trikamera Leica yang sama seperti Mate 20 Pro dan Mate 20 RS Porsche Design. Tiga lensa kamera belakang tersebut ialah:

  • Lensa lebar 27mm 40MP F1.8
  • Lensa ultra lebar 16mm 20MP F2.2
  • Lensa telefoto 80mm 3x zum 8MP F2.4

Ini memberikan ia semua kehebatan kamera yang sama dengan Mate P20 Pro. Bagi kamera hadapan, ia menggunakan lensa 24MP F2.0.

Tidak dapat dinafikan, dengan tawaran seperti prestasi tinggi, skrin lebih luas, bateri lebih besar dan speaker stereo adalah sesuatu yang sangat diingini gamers. Mate 20 X memiliki semua ciri-ciri ini.

Cuma ia tergolong dalam peranti gaming premium, di luar kelas seperti Pocophone F1 dan honor Play. Harga jualan Mate 20 X di Eropah ialah €899 (~RM4317) dan berada di pasaran bermula 26 Oktober 2018. Tetapi kalau ia dijual di Malaysia kelak, kami anggarkan ia akan berada di bawah RM3,000.