fbpx

Lupakan WearOS Kerana Huawei Watch GT Ini Mampu Bertahan 14 Hari Lamanya

Agak sukar untuk mempercayai ada jam tangan pintar yang memiliki ketahanan bateri sehingga 14 hari lamanya. Agaknya mungkin Huawei sudah memecahkan sifir untuk menghasilkan peranti boleh pakai sehebat itu. Huawei Watch GT adalah jam tangan pintar yang dilancarkan bersama-sama barisan telefon Mate 20.

Ketahanan bateri yang superpanjang itu dimaklumkan oleh Huawei disumbang oleh penggunaan konfigurasi dual cip pada papan utama jam itu.

Berbekalkan bateri yang terkandung pada jam tangan, selain waktu penggunaan sehingga 14 hari, ia mampu merakam data GPS secara terus menerus selama 22 jam dan ia hampir menyamai sebuah jam tangan yang dikhaskan untuk aktiviti lasak seperti Garmin Fenix 5.

Seperti Garmin Fenix 5, Watch GT turut dilengkapi sensor barometer dan kompas sekiranya anda membawanya mengembara ke hutan belantara.

Pada muka jam terdapat panel OLED sebesar 1.39″ dengan resolusi 454 kali 454 piksel. Ia kalis air sehingga 50m kedalaman dan anda boleh memabwanya berenang tanpa masalah.

Selain menjejak lokasi menggunakan GPS, ia boleh merekodkan kadar denyutan nadi menggunakan pengimbas yang ada pada badannya. Uniknya berbanding yang lain adalah ia mampu mengesan secara masa nyata dan bukannya setiap sela masa tertentu. Keadaan ini memberikan bacaan yang lebih tepat.

Pada sudut harga, Huawei Watch GT hadir dalam dua varian ia berbeza daripada jenis tali sama ada getah ataupun kulit. Harga varian-varian Watch GT adalah seperti berikut:

  • Huawei Watch GT Sport – EUR 199 (RM 955)
  • Huawei Watch GT Classic – EUR 249 (RM 1195)

Huawei Band 3 Pro

Selain jam tangan pintar, Huawei turut melancarkan sebuah gelang tangan aktiviti yang dinamakan Band 3 Pro. Ia miliki rupa seperti honor Band 3 atauapun sedikit seperti Mi Band 3 tetapi lebih sarat dengan ciri menarik.

BACA  Mate 30 Pro Dengan Dwikamera 40MP Rasmi Di Munich

Salah satunya adalah sensor GPS yang boleh digunakan untuk merekod laluan joging anda. Kemudian ia turut menjejak denyutan nadi menggunakan sensor yang ada di belakang badannya.

Paparan yang dimilikinya berbentuk segi empat tepat dengan saiz sebesar 0.95 pada resolusi 240 kali 120 piksel. Ketahanan bateri yang dimaklumkan Huawei adalah selama 7 jam lamanya dengan fungsi GPS dihidupkan secara terus menerus. Ia kalis air sehingga 50m dan selamat untuk dibawa berenang.

Huawei Band 3 Pro dijual pada haga EUR 99 (RM 475).