Tarikh pelancaran dan harga Galaxy S10 telah diketahui?

Masih ada lebih dua bulan lagi dari acara MWC 2019 akan berlangsung. Tetapi telah ada pihak mengatakan, mereka telah mendapat maklumat berkenaan tarikh pelancaran dan harga jualan untuk telefon pintar Samsung Galaxy S10.

Gizmodo melaporkan, mereka telah mendapat maklumat dari sumber yang dipercayai menyatakan, Galaxy S10 akan dilancarkan dalam satu acara khas Unpacked, sebelum bermulanya MWC 2019. Ia adalah kebiasaan bagi Samsung yang mengadakan acaranya sendiri sehari sebelum pameran MWC bermula.

Pelancaran Galaxy S9 di acara Unpacked sebelum MWC 2018

Menurut Gizmodo lagi, tempahan awal Galaxy S10 akan dibuat selepas acara tersebut, pada 20 Februari 2019. Jualan pertama pula akan bermula pada 8 Mac 2019.

Akan terdapat tiga jenis Galaxy S10 akan dilancarkan kelak, dan ketiga-tiganya akan menampilkan skrin Infinity-O, skrin nirbingkai berlubang seperti di Galaxy A8s. Model terendah akan menggunakan skrin rata berukuran 5.8-inci.

Manakala Galaxy S10 pula menggunakan skrin 6.1-inci, dan Galaxy S10+ 6.4-inci. Kedua-dua model ini akan menggunakan skrin lengkung di kedua belah sisi.

Pengimbas capjari dalam skrin ultrasonik juga dimaklumkan, akan digunakan di dalam Galaxy S10. Perkara ini sama seperti yang diperkatakan oleh Qualcomm tentang sensor 3D Sonic mereka, yang mungkin akan digunakan pada Galaxy S10 nanti. Pengimbas iris pula, dikatakan tidak akan digunakan lagi oleh Samsung.

Berkenaan harga pula, Galaxy S10 5.8-inci dikatakan akan dijual di United Kingdom pada harga £669 (~RM3,542) dengan storan 128GB. Untuk Galaxy S10 6.1-inci, ia akan ditawarkan dengan storan 128GB pada harga £799 (~RM4,231) dan storan 512GB £999 (~RM5,290).

BACA  Tempahan awal Galaxy A30 dan A50 mula dibuka

Bagi Galaxy S10+ 6.4-inci, ia mungkin datang dalam tiga jenis storan. 128GB berharga £899 (~RM4,760), 512GB £1,099 (~RM5,819) dan 1TB £1,399 (~RM7,408). Ada ura-ura mengatakan versi 1TB ini adalah Galaxy S10+ yang menyokong 5G, dan akan dilancarkan pada penghujung suku kedua 2019. Jangan terkejut dengan harga di UK ini, kerana cukainya agak tinggi di sana. Harga di Malaysia pasti jauh lebih murah dari harga ini, jika harga ini benar.

Bagaimanapun masih ada masa yang panjang sebelum Galaxy S10 akan dilancarkan. Maklumat di atas masih belum muktamad dan boleh berubah. Tetapi ia menandakan kedatangan Galaxy S10 kelak akan menampilkan banyak revolusi teknologi di dalamnya, pada harga yang sangat premium.

Berapa banyak yang anda sanggup untuk berbelanja bagi memiliki sebuah telefon pintar Android?

[Sumber: SamMobile, Gizmodo]