Sony Mobile telah mengumumkan akan mengadakan satu majlis pelancaran pada 7 Januari 2019, seiring dengan pameran CES 2019 yang akan berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat. Walaupun pameran Mobile World Congress (MWC) yang lebih gemilang dan terbilang akan diadakan pada bulan Februari depan, Sony masih memilih CES 2019 di mana dijangka ia akan melancarkan telefon pintar dari siri Xperia XA.
Perkara ini disahkan menerusi jemputan media ke jerayawara Sony di Las Vegas Convention Centre (LVCC), pada jam 5 petang, 7 Januari 2019. Tidak dijelaskan pula apa yang akan dilancarkan, tetapi menurut sejarah silam, Sony telah melancarkan siri Xperia XA2 di CES 2018. Maka tahun ini, CES 2019 akan menjadi pentas buat siri Xperia XA3.
Khabar angin yang bertiup kencang menyatakan, terdapat tiga model akan dilancarkan iaitu Xperia XA3, Xperia XA3 Ultra dan Xperia L3 yang lebih murah.
Satu sumber yang berkongsi maklumat tentang Xperia XA3 ialah dari @OnLeaks, melalui laman web MySmartPrice. Mereka menyatakan, Xperia XA3 Ultra akan memiliki skrin nirtakuk seluas 6.5-inci, dalam nisbah 18:9. Ia 0.5-inci lebih panjang dari XA2 Ultra.
Di dalamnya, ia dikhabarkan akan dikuasakan oleh cip Snapdragon 660 bersama RAM 6GB. Sekurang-kurangnya 64GB storan dimuatkan di dalam dan sedia menerima kad mikroSD.
Kameranya pula menggunakan dwi-lensa di belakang, dijangka gandingan lensa 23MP+8MP, manakala kamera hadapan dipasang lensa 13MP, berpadanan dengan LED Flash bercahaya lembut.
Xperia XA3 Ultra akan dibekalkan bateri 3,700mAh, sedikit lebih besar dari Xperia XA2 Ultra dengan bateri 3,580mAh.
Sewaktu dilancarkan di Malaysia, Xperia XA2 dan XA2 Ultra memiliki tanda harga yang kompetitif untuk sebuah produk berlogo Sony. Tetapi nasib Xperia XA3 dan XA3 Ultra di Malaysia masih tidak diketahui, dan dikhuatiri tidak akan menjelang tiba.
Ini kerana, Sony Mobile Malaysia dilihat sudah lama tidak mengemaskini produk mereka di Malaysia. Telefon pintar Xperia XZ3 yang dilancarkan di pameran IFA 2018 pada bulan Oktober lepas, masih tidak dijual di Malaysia.
Sony dilaporkan sedang berkira-kira untuk mengecilkan operasi jualan telefon pintar mereka, dengan menutup pejabat dan jualan di beberapa negara. Antaranya di Timur Tengah, Afrika dan Turki. Belum ada pengesahan tentang pasaran Asia Tenggara tetapi ia mungkin salah satu lokasi pilihan, memandangkan sudah lama kita tidak mendengar khabar tentang Sony Mobile di Malaysia.
[Sumber: XperiaBlog, mySmartPrice]