fbpx

Jualan kilat ASUS Zenfone Max M2 lebih murah selama 1 hari

Minggu lepas, ASUS Malaysia berkongsi poster berkenaan Zenfone Max M2 dengan tarikh hari ini, 11 Januari 2019. Kami jangkakan ia adalah tarikh jualan tetapi sebenarnya, ia adalah tarikh pengumuman harga dan tarikh jualannya.

Hari ini, ASUS mengumumkan akan menjual Zenfone Max M2 di Malaysia bermula 15 Januari 2019, dengan jualan eksklusif hari pertama di Lazada. Sehari kemudian, ia akan boleh dibeli dari penjual di seluruh Malaysia.

Lebih baik lagi, jualan hari pertama di Lazada ini turut menawarkan diskaun RM100. ZenFone Max M2 akan dijual di Malaysia berharga RM699. Di hari pertama jualan di Lazada, ia dijual pada harga RM599 sahaja. Tetapi hanya satu hari ini sahaja, 15 Januari di Lazada.

Zenfone Max M2 yang ditawarkan ini memiliki RAM 4GB dengan storan dalaman 32GB. Kuasanya digerakkan oleh cip Snapdragon 632. Telefon ini ialah versi ringan Zenfone Max Pro M2.

Skrin Zenfone Max M2 berkeluasan 6.3-inci dengan takuk di atas, tetapi resolusi HD 1520×720 sahaja. Ia memiliki pengimbas capjari di belakang, serta pengecaman wajah untuk membuka kunci skrin.

Kamera belakangnya dwi-lensa 13MP F1.8 + 2MP, manakala kamera hadapan 8MP F2.0 dengan LED Flash bercahaya lembut untuk swafoto yang cerah dan menawan.

Zenfone Max Pro M2 (kiri) dan Zenfone Max M2 (kanan)

Bateri Max M2 sebesar 4,000mAh dan dicas melalui sambungan mikroUSB. Ia dipasang sistem operasi Android 8.1 Oreo.

Kepada yang mahu membelinya, jangan lupa untuk ke Stor Rasmi ASUS di Lazada pada 15 Januari nanti. Diskaun RM100 tu, jadi hanya bayar RM599.

BACA  Honor 9X akan dilancarkan hujung bulan ini