fbpx

Samsung mahu pasang kamera dalam S Pen

S-Pen adalah satu keunikan yang hanya terdapat di telefon pintar Samsung Galaxy Note. Dalam edisi ke-9, Galaxy Note9 tampil dengan fungsi baharu apabila ia dikuasakan Bluetooth, membolehkannya menjadi alat kawalan jarak jauh.

Terdapat banyak lagi fungsi boleh dipasang ke dalam S-Pen, salah satunya ialah kamera. Perkara ini ditemui dalam paten terbaru Samsung yang diluluskan Pejabat Paten dan Tanda Dagang Amerika Syarikat (USPTO).

Dalam paten tersebut, S-Pen akan memiliki sensor imej dan sistem optikal terbina di dalam. Pendek kata, ia memiliki modul kamera tersendiri.

Kertas paten itu menampilkan pelbagai rekaan kamera di dalam S-Pen. Ada yang memiliki bateri dan ada juga tanpa bateri. Malah, ia juga menampilkan sistem zum.

Walaupun ia diluluskan sebagai paten, ini tidak bermakna yang ia akan dihasilkan secara komersial. Menjadi kebiasaan buat pengeluar untuk memfailkan pelbagai paten rekaan mereka, untuk mengelakkan mereka disaman dari menghasilkan produk yang hampir serupa, atau sebagai modal untuk menyaman pengeluar lain. Satu langkah untuk mempertahankan teknologi ciptaan syarikat.

Buat masa ini, masih terlalu awal untuk mengatakan kamera di dalam S-Pen akan muncul di dalam Galaxy Note10. Pelopor phablet generasi ke-10 dari Samsung ini dijangka akan dilancarkan pada pertengahan kedua tahun, sekitar bulan September.

Sebagai pengguna, apakah lagi perkara yang boleh ditambah ke S-Pen untuk menjadikannya lebih berguna?

[Sumber: USPTO, GSMArena]

BACA  Galaxy M40 miliki kuasa setara Galaxy A70 dengan tenaga lebih kecil