Seakan tiada lagi rahsia. Telefon pintar Samsung Galaxy S10 yang dijadualkan hari pelancarannya pada 20 Februari 2019, seperti sudah tiada apa lagi rahsia untuk diumumkan kelak. Ia berikutan terbocornya kertas spesifikasi rasminya yang kelihatan tulen dan asli.
Perkara ini didedahkan oleh GSMarena yang menurut mereka, mendapat tips dari seseorang yang dari dalam Samsung sendiri. Seperti yang telah banyak kali diwar-warkan, terdapat tiga model yang akan diperkenalkan disebut sebagai Beyond2, Beyond1 dan Beyond0.
Dipercayai, Beyond2 merujuk kepada Galaxy S10+ manakala Beyond1 ialah Galaxy S10. Beyond0 diyakini ialah Galaxy S10e.
Paparan
Galaxy S10+ memiliki skrin terbesar berukuran 6.3-inci, manakala Galaxy S10 pula 6.1-inci. Kedua-duanya memiliki nisbah skrin 19:9 dan resolusi QuadHD+ 3040×1440. Skrin Galaxy S10e paling kecil, hanya 5.8-inci tetapi masih dengan nisbah 19:9. Resolusinya HD Penuh sahaja, 2280×1080 dan dipercayai tersilap taip apabila diletakkan juga QHD+.
Kesemua peranti ini menggunakan paparan Infinity-O, iaitu skrin berlubang yang memuatkan kamera hadapan, dari jenis Dynamic AMOLED yang menyokong HDR+. Ia dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 6, tetapi Galaxy S10e menggunakan kaca Corning Gorilla Glass 5.
Kamera
Galaxy S10+ dan Galaxy S10 akan dilengkapi pengimbas capjari dalam skrin ultrasonik. Ia boleh mengimbas secara 3-dimensi untuk imbasan yang lebih tepat. Bagi Galaxy S10e pula, ia dilengkapi pengimbas capjari fizikal yang terletak di sisi. Kesemua model Galaxy S10 turut dilengkapi sistem pengecaman wajah.
Di belakang, Galaxy S10+ dan Galaxy S10 menggunakan kamera yang sama. Ia adalah kamera tiga lensa iaitu lensa telefoto 12MP F2.4, lensa utama 12MP F1.5 berkuasa dwi-apertur dan dwi-piksel OIS, serta lensa ultra lebar 16MP F2.2 berfokus tetap.
Kamera belakang Galaxy S10e hanya dwi-lensa, gandingan lensa 12MP F1.5 berkuasa dwi-apertur dan dwi-piksel OIS, serta lensa ultra lebar 16MP F2.2 berfokus tetap.
Untuk kamera hadapan, hanya Galaxy S10+ memiliki dwi-lensa iaitu lensa utama 10MP F1.9 dan lensa pengesan kedalaman 8MP F2.2 dengan Live Focus dan autofokus dwi-piksel.
Galaxy S10 dan Galaxy S10e pula berkongsi kamera hadapan yang sama, lensa tunggal 10MP F1.9 dengan autofokus dwi-piksel.
Kamera ini datang dengan fungsi baru seperti AR Emoji diperbaharui, pelekat, 30 jenis Scene Optimiser, Super Slowmo lebih panjang, kamera hadpaan pertama dengan kebolehan rakaman video 4K dan pelbagai kesan khas. Kamera hadapan pertama merakam video 4K itu mungkin perlu digugurkan kerana Nokia 8 yang dilancarkan pada tahun 2017 telah sedia ada fungsi ini.
Bateri
Kapasiti bateri berbeza untuk semua telefon ini. Galaxy S10+ memiliki saiz terbesar dengan kapasiti 4,100mAh, diikuti oleh Galaxy S10 dengan 3,400mAh manakala Galaxy S10e pula 3,100mAh. Kesemuanya menggunakan port USB-C untuk mengecas.
Ketiga-tiga model Galaxy S10 turut menyokong pengecasan wayarles, juga boleh mengecas peranti lain secara wayarles menerusi teknologi Wireless Power Share.
Lain-Lain
Semua model Galaxy S10 akan datang dengan fon kepala dan pembesar suara AKG, serta menyokong sistem bunyi Dolby ATMOS. Ia juga kalis air dan debu IP68.
CPU, RAM, Storan, Warna
Samsung akan mengenakan cip pemproses terbarunya, Exynos 9820 untuk semua model Galaxy S10. Tetapi RAM dan storan berbeza ditawarkan untuk model yang berlainan.
Galaxy S10e
· RAM 6GB + Storan 128GB
· RAM 8GB + Storan 256GB
Galaxy S10
· RAM 6GB + Storan 128GB
· RAM 8GB + Storan 512GB
Galaxy S10+
· RAM 6GB + Storan 128GB
· RAM 8GB + Storan 512GB
· RAM 12GB + Storan 1TB
Tiga warna akan terdapat untuk semua model iaitu Prism Whiite, Prism Green dan Prism Black, kecuali untuk varian Galaxy S10+ 1TB kerana ia hanya datang dalam warna Luxurious Ceramic Black dan Luxurious Ceramic White. Bagi Galaxy S10e, terdapat satu lagi warna tambahan iaitu Canary Yellow.
Adakah semua maklumat ini benar-benar tepat? Kami rasakan ya kerana ia menepati banyak khabar angin yang dikongsikan di serata internet. Apa pun, kita tunggu pengumuman rasmi apabila ia dilancarkan pada 20 Februari nanti.