LG ialah satu jenama besar dalam penghasilan telefon pintar, tetapi ia jarang didengari di Malaysia kerana tidak menjual telefon mereka di negara kita. Tetapi mereka masih aktif melancarkan telefon pintar yang hebat.
Di pameran MWC 2019, LG tidak terlepas untuk memperkenalkan telefon pintar mereka, yang turut mengikut trend pengeluar lain. Iaitu telefon pintar 5G dan telefon pintar boleh lipat. Bagaimanapun, konsep boleh lipat yang dibawakan LG berbeza dari Samsung Galaxy Fold dan Huawei Mate X.
Telefon pintar tersebut ialah LG V50 ThinQ. Secara asas, ia adalah telefon pintar biasa dengan satu skrin rata, berukuran 6.4-inci dari jenis paparan OLED FullVision Display. Resolusinya sangat tinggi, QuadHD+ dengan aspek nisbah skrin 19.5:0. Takuk agak besar terdapat di dahi skrin.
Prestasi V50 ThinQ sangat tinggi. Ia dikuasakan cip terbaru Snapdragon 855 yang dipadankan dengan modem X50 5G untuk sambungan ke rangkaian 5G. Sistem penyejukan Vapor Chamber menjadikan operasinya lebih dingin dari biasa. Ia memiliki RAM sebanyak 6GB dan storan dalaman 128GB, serta sedia menerima kad mikroSD sehingga 2TB.
Bateri sebesar 4,000mAh dipasang di dalamnya dan ia mengecas melalui sambungan USB-C. Sistem bunyi V50 ThinQ dikeluarkan secara stereo, diperkasa dengan teknologi Boombox.
Seperti sebelumnya, telefon ini lulus standard ketenteraan MIL-STD 810G dan ia kalis air dan debu IP68. Ia masih menggunakan pengimbas capjari fizikal yang terletak di belakang.
Terdapat lima lensa kamera pada V50 ThinQ. Dua di depan dan tiga di belakang. Kamera belakangnya terdiri dari lensa 12MP F1.5, lensa ultra lebar 16MP F1.9 dan lensa telefoto 12MP F2.4. Bagi kamera hadapan, ia terdiri dari lensa 8MP F1.9 dan lensa lebar 5MP F2.2.
Kebolehan melipat telefon ini terhasil apabila ia menggunakan aksesori tambahan, Dual Screen. Ia adalah sebuah casing dengan skrin kedua berukuran 6.2-inci, yang boleh digunakan untuk pelbagai fungsi seperti bermain game, atau menjalankan dua aplikasi serentak pada skrin berlainan.
Apabila disebut melipat, casing ini boleh dibuka dan ditutup bergantung pada kesesuaian pengguna. Casing ini tidak memiliki bateri sendiri, sebaliknya ia menerima tenaga terus dari bateri V50 ThinQ. Mudah kerana hanya perlu satu port untuk mengecas kedua-duanya.
LG belum mengumumkan harga untuk V50 ThinQ tetapi akan mula menjualnya apabila rangkaian 5G tersedia. LG memiliki rakan rangkaian 5G di serata dunia termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan, Australia dan beberapa negara di Eropah.