fbpx

Vivo lancar iQoo sebagai telefon pintar gaming kelas premium

Vivo akhirnya melancarkan iQoo, jenama telefon pintar di bawahnya khusus untuk bermain game. Ia menampilkan pelbagai perkakas berkuasa tinggi, dengan fungsi-fungsi khas untuk telefon pintar gaming.

iQoo adalah singkatan kepada “I Quest On and On“, perkataan yang menggambarkan untuk bermain game tanpa henti. Berbanding Pocophone yang dikelaskan sebagai telefon pintar gaming bajet, iQoo dilihat lebih ke arah premium untuk menyaingi jenama seperti Black Shark, Razer Phone dan ASUS ROG Phone.

Telefon pintar iQoo dikuasakan cip terbaru Snapdragon 855, dengan RAM dari 6GB sehingga 12GB, serta storan antara 128GB dan 256GB. Cip pemproses di dalamnya disejukkan melalui sistem penyejukan vapor, yang menjadikannya 14% lebih sejuk dari Vivo NEX.

Skrin iQoo menggunakan paparan AMOLED, berukuran 6.41-inci bertakuk kecil titisan air dan resolusi HD Penuh+. Memberikannya nisbah skrin ke badan setinggi 91.7%. Telefon ini juga dilengkapi pengimbas capjari di dalam skrin.

Sistem pengecasan bateri iQoo sangat pantas. Ia dibekalkan kuasa pengecas Vivo Super Flashcharge 44W, boleh mengecas penuh bateri 4,000mAh di dalamnya dalam masa hanya 45 minit, atau 50% dalam masa 15 minit sahaja. Semua model akan diberikan pengecas 44W ini, kecuali model RAM 6GB dengan storan 128GB.

Kamera di belakang iQoo menggunakan tiga lensa. Lensa utama 12MP F1.79, lensa kedua pula ultra lebar 13MP F2.4 manakala lensa ketiga mengukur kedalaman 2MP F2.4. Kamera hadapan pula 12MP F2.0.

Satu fungsi menarik untuk bermain game di iQoo adalah butang kiri dan kanan yang sensitif tekanan. Ini ialah butang tambahan yang sangat berguna untuk bermain game. Ia terletak di kanan telefon, yang digunakan semasa telefon dipegang secara mendatar. Tetapi sayang, ia tiada sistem bunyi stereo tapi masih ada jek audio 3.5mm.

BACA  Iklan Xiaomi Ini Persendakan Notch Yang Ada Di Telefon Anda

iQoo datang dalam tiga warna, biru dan merah untuk semua model dan warna khas hitam untuk model tertinggi yang datang dengan RAM 12GB dan storan 256GB. Di belakang, ia memiliki garisan LED dengan kemasan pantulan cahaya, yang diinspirasikan dari rekaan kereta lumba. Garisan LED ini juga bertindak sebagai notifikasi dan lampu hiasan semasa bermain game.

Telefon pintar iQoo telah dijual di China, dengan harga seperti berikut:

  • iQoo RAM 6GB + storan 128GB – RMB2,998 (~RM1,823)
  • iQoo RAM 8GB + storan 128GB – RMB3,298 (~RM2,006)
  • iQoo RAM 8GB + storan 256GB – RMB3,598 (~RM2,188)
  • iQoo RAM 12GB + storan 256GB – RMB4,298 (~RM2,614)

Buat masa ini, iQoo hanya dijual di China. Tetapi Vivo memaklumkan, mereka akan membawanya ke pasaran luar selepas ini. Harapnya, ia akan dijual di Malaysia juga, dengan harga yang dilihat lebih murah dari ASUS ROG dan Razer Phone 2.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web Vivo iQoo.

[Sumber: Engadget]