Dominasi Huawei dalam industri telefon pintar amatlah pantas kadarnya dan sukar untuk digugat lagi. Mereka ada ahli dalam setiap ketegori, dari bajet hinggalah ke flagship. Tapi jika dalam bahagian fotografi, amat munasabah untuk katakan yang siri P adalah rajanya sejak Huawei menjalinkan kerjasama dengan Leica.
Mana taknya, sejak Huawei P20 Pro dilancarkan, masih belum ada telefon yang mampu menggugat skor 109 yang diperolehnya dalam ujian DxOMark.
Mampukah P30 Pro meneruskan legasi P20 Pro?
Hampir setahun berlalu, Huawei hadir pula dengan P30 Pro. Walaupun skor DxOMark telefon ini masih belum diterbitkan, anda boleh membayangkan keupayaan kamera padanya. Ini adalah artikel tentang pengalaman selama satu jam saya bersama Huawei P30 Pro dan P30.
Perubahan Minimum Dengan Impak Ketara
Bercakap daripada sudut kualiti binaan, saya tak rasakan banyak perubahan yang berlaku berbanding edisi terdahulu. Bagi saya, jika tak rosak mengapa ubah. Saya tiada rungutan tentangnya.
Asasnya ia menggunakan binaan tiga komponen iaitu dua keping kaca yang meng-sandwich-kan rangka besi. Tapi kali ini rangka besi itu tak lagi berkilat sebaliknya menerima kemasan matte yang lebih seksi dan tak mudah comot.
Kamera petak menempatkan lensa telefoto yang gunakan konsep periskop
Huawei P30 Pro memiliki paparan sisi melengkung seperti Mate 20 Pro dan bukan lagi rata seperti P20 Pro. Ia memberikan ilusi nirbingkai pada telefon ini dan dalam pada masa yang sama, tahap ergonomik yang tinggi sewaktu memegangnya. Pada bahagian muka, anda akan disapa paparan OLED 6.47″ beresolusi HD Penuh.
P30 Pro ada paparan 6.47″ OLED
Untuk memaksimumkan keluasan paparan, Huawei mengecilkan notch di bahagian dahi menjadi bentuk titisan air. Jeriji speaker juga dipindahkan ke bucu atas, implemetnasi yang sama digunakan pada Nova 4. Kesemua taktik ini menyumbang pada nisbah paparan-ke-badan setingga 88.6%.
Pengimbas cap jari yang ditemui pada dagu P20 Pro telah berevolusi menjadi pengimbas cap jari disebalik paparan. Bahagian atas telefon ada modul alat kawalan inframerah. Ia menjadikan Huawei antara pengeluar terakhir yang menyertakan fungsi ini pada flagship mereka.
Butang kuasa dan bunyi di sisi kanan
Kedudukan butang input tidak berubah. Di sisi kanan, anda akan menemui butang kawalan bunyi di atas butang kawalan suara. Kedua-duanya miliki gerak balas yang baik, tidak terlalu lembut dan tidak pula terlalu keras sehingga memerlukan daya yang tinggi untuk ditekan.
Di bahagian bawah telefon, anda boleh temui jeriji speaker dan slot kad SIM yang mengapit port USB-C. Sebagai perbandingan, slot kad SIM pada P20 Pro terletak di bahagian kiri telefon dan ada dua set jeriji mengapit USB-C.
Port USB diapit jeriji speaker dan slot SIM
Implementasi ini lebih baik daripada Mate 20 Pro yang menghapuskan terus jeriji speaker. Walaupun ia jadiakan bahagian bawah lebih kemas, bunyi yang keluar melalui port USB-C akan terganggu apabila kabel pengecas dicucuk masuk.
Malangnya, masih tiada fungsi speaker stereo diberikan pada P30 Pro, apatah lagi jek audio untuk dipadankan dengan headfon kegemaran anda.
Spesifikasi Huawei P30 Pro
Naik Taraf Standard Untuk Bersaing Dalam Tahun 2019
Seperti kebanyakkan flagship 2019 yang lain, Huawei P30 Pro diperkasa CPU terkini. Atas papan utamanya ada sekeping cip HiSilicon Kirin 980 untuk menggantikan 970 pada edisi sebelumnya.
Ini adalah cip 7nm pertama dunia dengan dua pemproses rangkaian neural (baca: CPU untuk AI). Daripada sudut prestasi, Huawei memaklumkan yang ia 20% lebih berkuasa dan kecekapan tenaga sekurang-kurangnya 40% lebih baik berbanding generasi sebelumnya.
Selain CPU baru, kapasiti minimum RAM dan storan dipertingkat, masing-masing pada 8GB dan 256GB berbanding edisi terdahulu yang diberikan RAM 6GB dan storan 128GB. Apa-apa peluasan storan dilakukan melalui slot NM Card yang dijual berasingan.
https://www.youtube.com/watch?v=x8e7mYgGqlU
Jika tak cukup bagus, saya nak beritahu anda yang ini adalah siri P yang ada bateri paling besar setakat ini. Ia dibekalkan bateri berkapasiti 4,200mAh dengan fungsi pengecasan pantas 40 Watt.
Kamera Dengan Zum 50x
Terus-terang saya katakan 50x adalah gimik semata-mata. Sungguhpun dengan pencahayaan yang cukup, saya tak rasakan yang ia layak digunakan di medsos sekalipun. Walau bagaimanapun, sekiranya anda kekal berada dalam lingkungan lossless zoom, kualiti gambar dari lens P30 Pro amatlah superb. Pada P30 Pro, anda boleh mengezum pada 0.6x, 1x, 5x, 10x sehingga 50x.
Sampel gambar dengan semua zum dari P30 Pro
Trikamera belakang dengan keupayaan zum 0.6x, 1x, 5x, 10x hingga 50x
Sejak sekian lama saya memuji pengalaman menggunakan kamera pada produk Huawei dan ia kekal sehingga P30 Pro ini. Masih tiada pengeluar yang boleh menandingi antara muka APP kamera pada produk Huawei. Font besar dan mudah dibaca, mode kamera tersusun rapi, dan ruangan setting mudah diteroka adalah sebab mengapa saya menggemari kamera Huawei berbanding yang lain.
APP Kamera Huawei adalah yang terbaik setakat ini
Pada P30 Pro, anda menerima konfigurasi kamera seperti berikut:
- 40MP kamera utama
- 20MP kamera ultralebar
- 8MP kamera telefoto
- Kamera TOF
Kamera selfie 32MP
Kamera pada telefon ini versatil dan sesuai digunakan dalam apa-apa keadaan sekalipun. Anda boleh mengambil gambar portret dengan kamera telefoto, gambar pemandangan dengan lensa ultra lebar, ataupun gambar beresolusi tinggi dengan kamera utama.
Videografi menggunakan P30 Pro juga ingin saya berikan pujian. Pada resolusi 4K sekalipun, penstabil imej AIS pada telefon ini berfungsi dengan baik sekali. Malangnya saya tiada sampel video untuk ditunjukkan kepada anda.
Sebelum pergi ke bahagian penutup, sayan nak mengulas tentang Huawei P30 pula.
Huawei P30: Alternatif Kalau Versi Pro Overkill
Jika anda rasakan P30 Pro terlalu overkill untuk anda, Huawei sediakan satu lagi alternatif iaitu P30. Mengamati helaian spesifikasi, ia sangat mirip kepada P20 Pro tapi dengan penambahbaikkan di sana dan sini.
P30 biasa ada paparan sedikit kecil
Daripada segi fizikaliti, ia tidak menggunakan paparan melengkung seperti P30 Pro sebaliknya paparan rata seperti P20 Pro. Tapi, Huawei tetap mengenakan notch titisan air di bahagian dahi.
Ia miliki saiz paparan 6.1″ dengan resolusi HD Penuh.
Konfigurasi trikamera tapi zum maksimum 30x sahaja
Anda akan menemui pengimbas cap jari terbina dalam skrin serta diperkasa CPU Kirin 980 serta kapasiti RAM 8GB yang sama. Bezanya adalah kapasiti storan pada P30 adalah 128GB.
Spesifikasi Huawei P30
Jika anda ingin menggunakan headfon tanpa penyuai USB-C, P30 miliki port audio di bahagian bawah.
Jek audio ada disebelah port USB-C
Pada bahagian pengimejan, anda beroleh komfigurasi kamera seperti berikut:
- 40MP
- 16MP
- 8MP
Untuk selfie, anda boleh gunakan kamrea 32. Menguasakan kelengkapan elektronik telefon ini adalah bateri sebesar 3,650mAh dan dicas pantas menggunakan pengecas pantas 20W.
Rumusan P30 Pro & Pro
Huawei P30 Pro menerima penambahbaikkan yang sewajarnya daripada si pengeluar untuk bersaing dalam tahun 2019. Ciri yang ingin diketengahkan Huawei untuk P30 Pro adalah kemampuan mengezum 50x untuk menggapai objek yang jauh. Sungguhpun begitu, saya tak rasakan yang ia begitu berguna kerena kualitinya tidaklah sebaik mana.
Namun, pengalaman fotografi Huawei tetapi dipuji, daripada segi kualiti gambar dan juga antara muka APP kamera. P30 Pro dilengkapi empat kamera dengan pelbagai fungsi dan boleh digunakan dalam segenap genre. Badan P30 Pro kini lebih ergonomik, selari dengan Mate 20 Pro yang menggunakan paparan melengkung di sisi bagi mencipta ilusi nirbingkai yang baik.
Untuk paparan, ia ada skrin OLED 6.47″. Kemudian, ia diperkasa CPU Kirin 980 yang terbaru serta kapasiti minimum RAM dan storan telah dipertingkat kepada masing-masing 8GB dan 256GB. Bateri P30 Pro adalah yang tertinggi setakat ini dalam siri P, pada 4,200mAh dengan pengecasan pantas 40W.
Huawei P30 adalah suadara lebih kecil, dengan paparan LED 6.1″. Kameranya hampir sekuasa P20 Pro tapi kamera selfienya lebih baik dengan sensor 32MP. Pada papan utama, ia adalah sebuah telefon yang kompeten, dengan CPU terkini serta RAM 8GB serta storan 128GB yang boleh diperluas.
Bezanya P30 dengan P30 Pro adalah ia tiada IP68 tapi telefon ini miliki jek audio untuk digunakan bersama headfon kegemaran anda.
Penutup
Jika anda bertanya kepada siapakah saya sarankan telefon ini, saya akan kata ia amat sesuai untuk orang yang masih menggayakan flagship 2017-2018 yang sedang mencari telefon baru.
Kalau anda gemar megambil gambar menggunakan telefon tapi telefon anda bukanlah sebuah Huawei, golongan ini pun saya sarankan mencuba siri P.
Tapi, daripada P20 Pro dan P20, saya tak rasakan penambahbaikkan terlalu nyata boleh anda rasai kerana pengalaman kamera yang akan dinikmati tetap sama.
Kalau bajet anda terhad, anda boleh berpaling pada honor View20, Huawei Nova 4, ataupun Samsung Galaxy S10e.