fbpx

Miliki kuasa Snapdragon 855 pertama di Malaysia dengan Black Shark 2

Black Shark 2, telefon pintar gaming dengan kuasa terbaru Snapdragon 855 hari ini dilancarkan secara rasmi. Ia juga menjadi telefon Snapdragon 855 pertama boleh dibeli di Malaysia.

Telefon pintar Black Shark 2 akan mula dijual pada hari ini dengan harga dan spesifikasi berikut:

  • Black Shark 2, RAM 8GB + storan 128GB = RM2,499
  • Black Shark 2, RAM 12GB + storan 256GB = RM2,999

Bagaimanapun, versi RAM 8GB sahaja yang boleh mula dibeli hari ini. Manakala versi RAM 12GB dibuka tempahan dari hari ini sehingga 5 April 2019.

Shopee akan menjadi penjual rasmi Black Shark dalam talian dan menawarkan hadiah istimewa untuk 200 pembeli terawal. Hadiah tersebut berupa baucar Shopee bernilai RM100 dan fon kepala wayarles Fujitsu E210BT. Pembelian boleh di buat di Stor Rasmi Black Shark di Shopee.

Black Shark 2 membawakan spesifikasi flagship tahun 2019. Ia kini diperkasa Snapdragon 855 berbanding Snapdragon 845 pada edisi terdahulu. RAM pula dari jenis LPDDR4x sehingga 12GB dan storan UFS2.1 sehingga 256GB boleh dipilih untuk dibeli. Bagi memastikan ia lebih sejuk dari biasa, Black Shark 2 dilengkapi sistem penyejukan cecair sentuhan terus, pertama seumpamanya di dunia.

Walaupun resolusi paparannya tetap pada HD Penuh, paparannya kini lebih memanjang dengan nisbah paparan 19.5:9 dan tiada takuk. Ia menggunakan skrin AMOLED dengan ukuran lebar 6.39-inci. Pengimbas capjari di dalam skrin digunakan di telefon ini.

Untuk kamera belakang, ia menggunakan sensor Samsung ISOCELL GM1 48MP di kamera utama, dan lensa telefoto 13MP F2.2 di kamera kedua. Kamera depan pula diperkasa sensor 20MP.

Menguasakan segala kelengkapan elektronik ini adalah bateri berkapasiti 4,000mAh dan menyokong pengecasan pantas QuickCharge 4.0+. Tetapi di dalam kotak, ia disertakan pengecas QuickCharge 3.0 sahaja.

BACA  Hongmeng kini diperkenalkan secara rasmi dengan nama baru - Harmony OS

Black Shark 2 memiliki butang tambahan di sisi, untuk mengaktifkan Shark Space. Ia akan memberi ruang eksklusif kepada games sahaja, di samping meningkatkan prestasi ke tahap 100%. Ini memastikan games yang dimain tidak terganggu dengan lengah atau prestasi dikurangkan.

Menambah keunikan telefon ini ialah logo Black Shark berlampu di belakang, serta strip notifikasi LED di sisi. Warna lampu dan LED ini boleh diubah mengikut citarasa pengguna.

Jika perkakas sedia ada di telefon ini tidak mencukupi, ia boleh dipasang dengan pelbagai aksesori lain. Antaranya seperti gamepad di kiri dan kanan, casing penyejuk dengan kipas, dan lain-lain.

Aksesori dengan harga di dalam bulatan hijau telah mula dijual sekarang. Manakala aksesori dengan harga di dalam bulatan kuning, akan dijual tidak lama lagi.

Di Malaysia, set rasmi telefon pintar Black Shark diedarkan oleh Intelligent Earnings Sdn. Bhd. Stor rasmi Black Shark dalam talian pula telah dibuka di Shopee dan Lazada.

Bagi urusan khidmat baik pulih dan jaminan, ia diuruskan oleh Mobile Technic Sdn Bhd, yang mempunyai cawangan di seluruh Malaysia.

Selain Black Shark 2, orang ramai juga boleh membeli Black Shark generasi pertama yang turut diedarkan oleh Intelligent Earnings Sdn. Bhd. Ia boleh dibeli dengan harga RM1,599 (RAM 6GB + storan 64GB) dan RM1,799 (RAM 8GB + storan 128GB).