Huawei P20 Pro menikmati kedudukan teratas dalam carta kamera DxOMark selama setahun, sebelum diambil alih oleh Huawei P30 Pro. Tetapi kerusi itu tidak lama diduduki oleh P30 Pro kerana DxOMark baru sahaja menobatkan Galaxy S10 5G dengan markah yang sama.
DxOMark baru sahaja memuat naik laporan mereka tentang kamera Galaxy S10 5G. Telefon dengan 4 kamera belakang ini memiliki markah keseluruhan yang sama dengan P30 Pro iaitu 112 markah. Tetapi markah gambar dan video sedikit berbeza.
P30 Pro masih memegang markah tertinggi bahagian gambar DxOMark dengan 119 markah manakala Galaxy S10 5G pula hanya 117 markah. Tetapi markah video Galaxy S10 5G lebih tinggi, 100 berbanding 97 di P30 Pro. Dengan gabungan markah gambar dan video, ia meletakkan Galaxy S10 5G setaraf dengan P30 Pro.
Galaxy S10 5G jelas tewas di bahagian zum, di mana P30 Pro memiliki 10x zum lossless memberikan hasil gambar zum yang lebih baik. Tetapi bagaimana Galaxy S10 5G yang memiliki spesifikasi kamera yang sama dengan Galaxy S10+ mendapat markah lebih tinggi?
Menurut DxOMark, Galaxy S10 5G datang dengan tetapan yang sedikit berbeza dari Galaxy S10+. Seperti dalam tangkapan potret dengan efek bokeh, Galaxy S10 5G menggunakan lensa telefoto berbandingan lensa ultra lebar di Galaxy S10+. Dengan lensa telefoto, ia menghasilkan gambar potret yang kelihatan lebih asli efek bokehnya. Ia juga menghapuskan kesan melengkung ‘mata ikan‘ di lensa ultra lebar.
Dengan latar yang cerah dan subjek yang gelap, pendedahan (exposure) yang tepat memberi keseimbangan antara keduanya agar semua objek masih kelihatan. Dalam hal ini, P30 Pro menghasilkan gambar lebih baik Galaxy S10 5G.
Penghasilan warna di luar dan dalam bangunan pula memihak kepada Galaxy S10 5G. Warna-warna kelihatan lebih terang dan bertenaga di Galaxy S10 5G. Mengunci fokus automatik juga lebih pantas di Galaxy S10 5G, dalam suasana cerah mahupun malap.
Lebih malap persekitaran, lebih tinggi hingar untuk menghasilkan gambar yang cerah. Walaupun Galaxy S10 5G berjaya meminimumkan hingar, ia membuatkan gambar kehilangan ketelitian tekstur. Hasil gambar P30 Pro lebih tajam dari Galaxy S10 5G dalam suasana malap.
Penggunaan flash di Galaxy S10 5G diperbaiki dan ia memberikan gambar yang lebih baik dari Galaxy S10+. Limpahan cahaya tidak keterlaluan apabila digabungkan dengan lampu persekitaran tetapi efek mata merah masih kelihatan.
Zum di Galaxy S10 5G lebih stabil kerana ia tidak mengubah lensa apabila berada dalam beberapa tahap zum. Hasil gambar juga masih tidak jauh berbeza dengan Huawei P30 dalam zum rendah, tetapi ia mula ketinggalan apabila tangkapan dibuat dengan zum 5x dan ke atas.
Dalam bahagian video, Galaxy S10 5G menerima lebih markah antaranya kerana ia ditetapkan dengan tetapan lalai merakam pada resolusi 4K, berbanding 1080p di P30 Pro. Merakam video dengan tangan juga lebih baik dengan Galaxy S10 5G. Tetapi P30 Pro berjaya mengatasi kualiti video Galaxy S10 5G seperti tahap hingar dan ketelitian apabila diletakkan di tripod.
Mula-mulanya agak pelik apabila Galaxy S10 5G mendapat markah berbeza dari Galaxy S10+. Setelah diteliti, Samsung melakukan perubahan secara perisian yang berjaya mengangkat Galaxy S10 5G setaraf Huawei P30 Pro. Jadi, tidak mustahil kamera Galaxy S10+ boleh menyamai P30 Pro selepas menerima naik taraf firmware kelak.
Jika anda tidak memerlukan zum setinggi 10x atau lebih, lebih berbaloi mendapatkan Galaxy S10+ yang menawarkan jek audio 3.5mm, slot kad mikroSD, speaker stereo serta sokongan Samsung Pay. Kelebihan Huawei P30 Pro selain kamera, ialah pengecas yang lebih pantas.
[Sumber: DxOMark]