Laptop masa kini makin kecil dan nipis. Ia juga datang dengan kabel kuasa yang cuba menjadi kecil, tetapi beratnya hampir sama dengan laptop yang ringan itu.
Nasib baik, semakin banyak laptop baru kini menggunakan bekalan kuasa dari port USB-C. Cuma, bukan sebarangan pengecas USB-C boleh digunakan untuk mengecas laptop. Jangan cuba-cuba nak guna pengecas telefon pintar berkuasa Quick Charge atau VOOC, sebab ia tak cukup bertenaga untuk menambah kuasa bateri di laptop.
Pencarian kepala kuasa berasaskan USB-C untuk mengecas laptop membawa penulis kepada sebuah jenama yang tidak asing lagi, Innergie. Mereka memiliki satu model pengecas USB-C PD (Power Direct) dengan tenaga sehingga 60W (20V/3A). Kuasa yang mencukupi untuk mengecas laptop berkuasa sederhana, termasuk Macbook Pro 13.
Pengecas tersebut ialah PowerGear 60C USB-C. Harga jualannya di Malaysia ialah RM299. Bunyinya agak mahal, tetapi kita harus melihat adakah ia nilai yang berbaloi terutama apabila dibandingkan dengan pengecas yang seumpamanya.
Banyak perkara menarik berkenaan pengecas ini. Selain pengecas berkuasa tinggi yang mampu mengecas laptop, saiz fizikal pengecas ini sangat kecil. Boleh kata sama besar dengan pengecas telefon pintar, dan sudah pasti jauh lebih cilik dari pengecas laptop USB-C.
Dalam Kotak: Kepala Universal dan Kabel
Innergie juga memastikan pengecas ini mudah dibawa dan boleh digunakan di mana-mana bukan sahaja dengan saiz yang kecil, tetapi dengan kepala kuasa universal. Terdapat tiga jenis kepala kuasa disertakan yang boleh ditukar ganti, antara kepala 3 pin (UK/Malaysia), kepala 2-pin bulat (Eropah) dan kepala 2-pin leper (Amerika Syarikat). Bermakna, tidak perlu pusing mencari adaptor universal kerana pengecas Innergie ini sedia digunakan di mana jua negara yang anda pergi.
Selain tiga kepala pengecas tadi, Innergie turut menyertakan kabel USB-C ke USB-C sepanjang 1.5 meter di dalam kotak. Kabel ini memiliki pelekat velcro, jadi ia mudah untuk disimpan dan cukup panjang untuk digunakan dalam pelbagai situasi.
Spesifikasi Teknikal
Sebelum kita menguji pengecas ni, kita semak dulu serba-sedikit tentang spesifikasi pengecas ini. Menerusi laman Innergie Malaysia, pengecas PowerGear 60C mampu mengeluarkan tenaga untuk mengecas secara pintar, dengan kuasa 5V/3A (15W), 9V/3A (18W), 12V/3A (36W), 15V/3A (45W) dan 20V/3A (60W).
Pengecas ini dilengkapi pelbagai perlindungan untuk melindunginya dari kecelakaan ketika mengecas melalui teknologi InnerShield yang memberi perlindungan dalam bentuk:
- OCP (Over Current Protection / Perlindungan Lebihan Arus)
- OVP (Over Voltage Protection / Perlindungan Lebihan Voltan)
- OTP (Over Temperature Protection / Perlindungan Lebihan Suhu)
- OPP (Over Power Protection / Perlindungan Lebihan Kuasa)
- SCP (Short Circuit Protection / Perlindungan Litar Pintas)
Bagi memberi lebih ketenangan kepada pengguna, Innergie memberi jaminan selama 3-tahun untuk semua produk pengecas keluaran mereka, termasuk pengecas PowerGear 60C.
Pengalaman Mengguna
Membawa bersama pengecas Innergie PowerGear 60C memang sangat mudah, terasa saiznya yang lebih kecil tidak memakan banyak ruang disimpan di dalam beg. Ditambah dengan kabel yang boleh diikat menggunakan velcro, menjadikannya tidak bersepah dan disimpan rapi. Bertambah mudah kalau ada beg kecil untuk menyimpannya bersama tiga kepala universal yang boleh dicabut tadi.
Apabila pengecas dikeluarkan dan dicucuk ke ruangan kuasa, terasa perbezaannya berbanding pengecas laptop lain. Rekaannya yang tirus dan kurus tidak memakan ruang berlebihan. Satu lagi mata tambahan untuk PowerGear 60C.
Berbekalkan laptop Surface Go yang boleh dicas melalui USB-C, penulis memantau masa mengecas menggunakan pengecas PowerGear 60C. Dari 0%, ia mengambil masa 30 minit untuk mencecah 50%. Selepas sejam, ia mencapai 80%. 90% cas dicapai selepas 1 jam 20 minit dan penuh 100% hampir ke 2 jam.
Sepanjang mengecas, kepala pengecas PowerGear 60C sedikit suam selepas sejam mengecas. Tiada suhu panas dirasakan sehingga ia mencecah 100% pengecasan.
Untuk prestasi mengecas, PowerGear 60C memberikan hasil yang memuaskan. Ia tidak mengeluarkan kuasa penuh 60W kerana Surface Go menerima tenaga masuk 30W sahaja.
Selepas melihat kemampuannya, kita pergi pula pada harganya. Adakah RM299 berbaloi dengan apa yang ditawarkan PowerGear 60C?
Innergie vs Apple
Kita boleh bandingkan dengan apa yang Apple tawarkan untuk pengecas laptop 61W mereka, yang boleh digunakan untuk mengecas iPad Pro, Macbook 12″, Macbook Air 13″ dan Macbook Pro 13″. Pengecas 61W ini berharga RM269 tetapi tanpa kabel USB-C dan hanya satu kepala 3-pin. Kabel USB-C dijual berasingan berharga RM89 untuk panjang 1 meter. Jumlahnya, RM358 untuk pengecas 61W dan kabel USB-C.
Dalam perbandingan ini, sudah pasti PowerGear 60C lebih berbaloi dari pengecas Apple 61W. Harganya bukan sahaja lebih murah, ia juga datang dengan kabel USB-C lebih panjang dan 3-kepala pengecas universal. Tambahan lagi, saiznya lebih kecil membuatkan ia lebih mudah dibawa. Lebih penting, ia datang dengan jaminan selama 3-tahun.
Kesimpulan: Kualiti vs Kuantiti
Susah nak dikatakan kekurangan pada PowerGear 60C melainkan harganya yang premium. Tetapi ia pasti tidak mengecewakan setiap sen yang dibelanjakan.
Apabila dibandingkan dengan pengecas lain, harga PowerGear 60C mungkin sedikit mahal. Tetapi dengan kualiti yang dijamin oleh Delta, sebuah pengeluar utama produk bekalan kuasa di dunia, serta jaminan selama 3-tahun, pengguna tidak perlu risau dan khuatir apabila menggunakannya.
Selain mengecas laptop melalui USB-C, Innergie turut menawarkan pengecas PowerGear 60C untuk digunakan sebagai pengecas laptop lain dengan aksesori tambahan MagiCable 150. Ia memiliki pelbagai adaptor yang serasi dengan kebanyakan jenama laptop seperti Acer, ASUS, Lenovo, Dell dan HP. Gabungan PowerGear 60C dan MagiCable 150 menjadikan ia pengecas paling universal di dunia. MagiCable 150 dijual di Malaysia pada harga RM79.
Produk Innergie boleh ditemui di kebanyakan penjual barangan laptop, atau di Stor Rasmi Innergie di Shopee dan 11street.
Innergie juga sedang menjalankan promosi dengan harga jualan lebih murah. Pengecas PowerGear 60C boleh dibeli pada harga RM273 sahaja manakala MagiCable 150 pula berharga RM62.