Realme X masih jauh untuk menyertai kelas flagship

Realme di China akhirnya mengumumkan ketibaan dua telefon pintar, Realme X dan Realme X Lite. Walaupun Realme X ialah telefon pintar serba baru, Realme X Lite sebenarnya ialah Realme 3 Pro yang telah pun dilancarkan di Malaysia.

Ramai yang memperkatakan Realme X ialah telefon pintar flagship paling berkuasa keluaran Realme. Tetapi dari spesifikasinya, hanya kelihatan kuasa kelas pertengahan di dalam dan luar telefon ini.

Realme 3 Pro (kiri) dan Realme X (kanan). Gambar: GSMArena

Bermula dengan skrin, Realme X memiliki paparan AMOLED seluas 6.5-inci dengan resolusi HD Penuh+. Skrin ini tiada takuk dan lubang, kerana kamera hadapan tersimpan di dalam modul boleh sembunyi seperti di Oppo F11 Pro. Skrin ini juga menempatkan pengimbas capjari padanya.

Di dalam pula, Realme X dikuasakan pemproses Snapdragon 710, bersama pilihan RAM antara 4GB, 6GB dan 8GB, serta storan dalaman sehingga 128GB. Kuasa ini agak serupa dengan Realme 3 Pro, melainkan tiada tawaran RAM 8GB pada Realme 3 Pro.

Bateri di dalam Realme X pula lebih kecil, hanya 3,765mAh berbanding 4,045mAh di Realme 3 Pro, tetapi kedua-dua telefon memiliki pengecas pantas VOOC 3.0 20W.

Realme X (kiri) dan Realme 3 Pro (kanan). Gambar: GSMArena

Kelebihan paling ketara pada Realme X ialah kamera. Kamera belakang Realme X dipertingkat ke kamera utama 48MP F1.7 menggunakan sensor Sony IMX586, bersama kamera pengesan kedalaman 5MP F2.4. Kamera utama ini menggunakan teknologi pixel-binning, menggabungkan empat piksel kepada satu untuk menghasilkan gambar lebih cerah. Ia juga dilengkapi pelbagai teknologi kamera seperti Chroma Boost, AI Scene dan Nightscape.

Kamera hadapan yang tersembunyi pula, menggunakan sensor 16MP dan ia datang bersama mod Beauty yang turut boleh digunakan dengan ramai orang dalam satu gambar.

Di China, Realme X ditawarkan dalam warna Steam White dan Punk Blue. Ia dijual bermula 20 Mei 2019 dalam tiga jenis konfigurasi dengan harga seperti berikut:

  • Realme X (RAM 4GB + storan 64GB) – RMB1,499 (~RM906)
  • Realme X (RAM 6GB + storan 64GB) – RMB1,599 (~RM966)
  • Realme X (RAM 8GB + storan 128GB) – RMB1,799 (~RM1,087)

Realme turut mengumumkan edisi khas untuk Realme X, yang dihasilkan dengan kerjasama Naoto Fukasawa. Edisi khas ini tampil dengan kemasa belakang eksklusif, dalam bentuk bawang putih dan bawang merah. ia memiliki RAM 8GB dan storan 128GB, dengan harga sedikit mahal iaitu RMB1,899 (~RM1,148).

BACA  Realme 3 Pro sah tiba di Malaysia pertengahan bulan Mei

Realme X dilihat lebih kepada tambahan kuasa di bahagian kamera sahaja, kalau dibandingkan dengan Realme 3 Pro. Jika kamera tidaklah menjadi keperluan utama anda, Realme 3 Pro masih satu pilihan yang baik kerana ia memiliki prestasi yang sama dengan Realme X.

Kalau nak dikatakan pesaing ketatnya, ia adalah Xiaomi Mi 9 SE. Antara persamaannya ialah kamera 48MP, skrin AMOLED, RAM sehingga 8GB dan pemproses Snapdragon 710.

Sumber: GSMArena