Suruhanjaya Tenaga akan mendenda TNB kerana kecuaian teknikal dalam bil pengguna

Masalah teknikal di pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyebabkan kenaikan mendadak bil pengguna dilihat sebagai kecuaian TNB sendiri. Perkara ini didedahkan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dalam temubual di pejabatnya semalam.

Siasatan awal Suruhanjaya Tenaga (ST) mendapati TNB melakukan kesalahan kerana tidak menepati prestasi perkhidmatan piawai ditetapkan kementerian dalam menyediakan perkhidmatan elektrik, baru-baru ini. ST kini sedang menyenaraikan jumlah kesalahan yang dilakukan TNB sebelum mengumumkan penalti yang perlu dibayar syarikat berkenaan.

Bee Yin berkata, sebagai penyedia perkhidmatan dan pemegang lesen, TNB seharusnya patuh dengan prestasi perkhidmatan piawai supaya tidak membebankan pengguna dan menjadi lebih baik. TNB juga tidak boleh cuai dalam menyediakan perkhidmatan elektrik di Malaysia. Dari pihak ST, ada dua pilihan sama ada mengenakan tindakan mahkamah atau penalti. Tapi penalti lebih senang.

Kementerian sebelum ini mengarahkan ST menyiasat aduan pengguna mengenai bil elektrik yang tinggi dikenakan TNB selepas menerima lebih 300 aduan dari seluruh negara berhubung isu bil elektrik tinggi.

Sebelum hari raya, TNB telah menyelesaikan lebih 50% aduan pengguna. Kementerian masih menunggu kemas kini terhadap aduan yang telah diselesaikan

TNB pula dalam satu kenyataan media, mengakui gangguan sistem bil memberi kesan kepada bacaan meter elektrik pengguna. Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan dalam sidang yang sama berjanji, TNB akan menyemak semua laporan dan aduan yang diterima dan memastikan ia diselesaikan.

Beliau turut meminta, pengguna yang berhadapan masalah bil atau yang lain, untuk pergi ke Kedai Tenaga berhampiran atau menghubungi TNB Careline di talian 1300-88-5454 untuk membuat aduan. Sebarang lebihan caj yang dikenakan dalam bil pengguna, akan dikreditkan semula ke dalam bil yang akan datang.

BACA  TM sudah ada CEO baru tapi bukan Imri, jelas PM

Jika anda salah seorang yang berhadapan masalah kenaikan mendadak bil elektrik, sila buat aduan kepada TNB menggunakan saluran di atas. Ini untuk memastikan masalah anda diperiksa dan diperbaiki oleh TNB, memandangkan TNB mungkin akan mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima sahaja. Kalau tak boleh ke Kedai Tenaga, boleh hubungi TNB Careline.

Sumber: Harian Metro