Pasti ramai yang suka dengan harga peranti Xiaomi yang sering lebih rendah dari pengeluar lain. Tetapi sistem operasi MIUI padanya mungkin bukan selera anda. Sebab itu, Xiaomi memperkenalkan peranti Mi A dengan OS Android One, versi asli tanpa perubahan kosmetik.
Mi A2 telah dilancarkan pada bulan Julai lepas dan kini lepas setahun, khabar tentang pelancaran generasi terbaru iaitu Mi A3 mula tersebar. Xiaomi sendiri, memberi petunjuk tentang ketibaan model baru ini menerusi akaun media sosial mereka.
Petunjuk Xiaomi ini tidak memberitahu tentang Mi A3, tetapi maklumat tentangnya sudah mula tersebar. Pada awalnya, pembocor berita Ishan Agarwal berkongi maklumat bahawa Mi A3 akan memiliki rupa paras yang sama dengan Xiaomi CC9 yang baru dilancarkan di China.
Malah, ada dua model Mi A3 yang akan dilancarkan iaitu Mi A3 dengan kuasa Snapdragon 730 dan Mi A3 Lite berkuasa Snapdragon 675. Jika benar, ia akan memiliki kuasa sehebat Mi 9T.
Berita ini kemudian disahkan oleh seorang lagi pembocor berita, Roland Quandt. Lebih baik lagi, beliau berkongsi gambar Mi A3 dengan tiga warna iaitu biru, kelabu dan putih.
Rupa Mi A3 ini memang sangat serupa dengan Xiaomi CC9, dengan logo tambahan Android One tertera di sudut belakangnya. Secara kasar, telefon ini memiliki skrin bertakuk kecil bersama tiga kamera belakang. Tiada pengimbas capjari fizikal padanya, mungkin ditanam di dalam skrin dari jenis AMOLED.
Di bawah telefon ini, terdapat port USB-C bersama dua jeriji besi di kiri dan kanan. Di atas pula, ada jek audio 3.5mm dan pemancar infra merah. Di sini timbulnya persoalan.
Mi A2 yang lepas, tiada jek audio padanya, tetapi ada di Mi A2 Lite. Dari gambar Roland ini, ia mungkin merujuk kepada Mi A3 Lite memandangkan beliau menyatakan, peranti ini dikuasakan Snapdragon 675. Dari maklumat Ishan, Mi A3 Lite dikuasakan Snapdragon 675 manakala Mi A3 pula Snapdragon 730.
Jadi, adakah Mi A3 nanti akan muncul dengan rupa berbeza? Kerana Mi A2 dan Mi A2 Lite dulu sememangnya tidak serupa. Mungkin Mi A3 nanti akan dibina dari Mi 9T dengan kamera pop-up?
Roland turut menyatakan Mi A3 akan dilancarkan di Jerman dalam masa beberapa minggu lagi. Memandangkan Mi A2 dilancarkan pada bulan Julai tahun lepas, maka waktu ini sememangnya menepati syarat selepas setahun untuk model baru tiba.
Adakah anda berminat dengan Mi 9T dengan kuasa Android One?
Sumber: WinFuture, Mysmartprice