Dalam artikel kali ini, kita akan bandingkan beberapa buah telefon kelas pertengahan yang popular. Tiga buah telefon yang saya tembungkan sesama sendiri ialah:
- Xiaomi Mi A3
- Xiaomi Mi 9T
- Xiaomi Mi A2
Mi A3 baru saja diperkenalkan sebagai produk Android One sulung Xiaomi untuk tahun 2019. Siri Mi A memang terkenal sejak dua generasi terdahulu kerana mendukung sistem operasi Android tulen dan pada masa yang sama miliki tanda harga yang sangat kompetetif.
Mi 9T pula disebut ramai sebagai raja kelas pertenghan kerana pada tanda harga bermula RM1,199 ia miliki specs paling tinggi untuk harga sebegitu. Jadi, untuk mencari sebuah telefon mampu miliki, telefon ini adalah rujukan yang terbaik.
Mi A2 ialah satu generasi dibelakang Mi A3. Pada ketika itu, SoC Snapdragon 660 sangat terkenal dalam telefon berharga kurang daripada RM1,000 dan ia jadi titik rujukan kepada pengguna untuk mencari telefon sekitar harga itu.
Untuk specs kamera semata-mata, hanya Mi A3 dan Mi 9T diperkasa sensor utama 48MP. Ia tidak menghairankan sebab kedua-duanya adalah telefon tahun 2019 sebaliknya Mi A2 diumumkan tahun sudah.
Disebabkan masih belum popular pada ketika itu, kamera bersudut pandang lebar pun tidak hadir pada Mi A2 sebaliknya ia dilengkapi dua kamera yang ada panjang fokal hampir serupa yang salah satunya untuk tujuan bokeh.
Di bahagian selfie, Mi A3 ada kamera dengan megapiksel tertinggi iaitu 32MP manakala kedua-dua telefon lain ada 20MP.
Saya jangkakan algoritma pemproses imej yang dijalankan semua telefon adalah sama sebab semuanya berada di bawah panji-panji Xiaomi. Buktinya, walaupun diperkasa sistem operasi Android One, kedua-dua Mi A2 dan Mi A3 tetap gunakan APP kamera daripada MIUI. Sepatutnya mereka gunakanlah GCam yang lebih popular.
Walau apapun, pergi ke laman sebelah untuk lihat hasil perbandingan.
[nextpage title=”Mi A3 vs Mi 9T”]
Set 1
Gambar ini diambil dalam mode auto dan HDR disetkan kepada auto. Hasil gambar daripada kedua-dua lensa cantik dengan Mi 9T miliki profil warna yang lebih suam yang jadikan dinding yang asalnya bewarna kuning kelihatan jingga.
Bila dizum 100% setiap gambar, saya dapati yang gambar daripada Mi A3 lebih tajam dan julat dinamiknya sedikit lebih luas berbanding Mi 9T. Ia boleh dilihat pada bebayang akar pokok yang anda boleh nampak.
Set 2
Mi 9T ada lensa telefoto 13MP manakala Mi A3 tiada. Sebaliknya, kedua-dua mereka ada lensa ultralebar. Jarak fokal mereka bermula dengan 0.6x, 1x, 2x, dan 10x untuk Mi 9T. Tidaklah diketahui mengapa, Mi A3 hanya boleh mengezum sehingga 8X sahaja. Tapi saya sendiri tak sarankan penggunaan zum digital kecualilah keadaan terdesak.
0.6x
1x
2x
8x (Mi A3) & 10x (Mi 9T)
Pada zum maksimum, Mi 9T hasilkan gambar yang jauh lebih baik berbanding Mi A3. Jika hasilnya sebegini, ia masih boleh dimaafkan jika muncul di medsos saya. Kalau gambar seperti Mi A3 ini, jawapannya saya terus unfriend orang yang mengutuskannya.
Set 3
Untuk potret, Mi 9T ada kelebihan berbanding Mi A3 sebab dia ada lensa telefoto yang sesuai untuk genre sebegini. Miliki lensa berjarak fokal jauh jadikan subjek lebih semula jadi berbanding membulat terutamanya pada hidung subjek jika lensa wide digunakan.
Kedua-dua telefon berjaya memisahkan subjek daripada latar untuk kesan bokeh yang baik. Tapi untuk exposure, sistem pada Mi A3 berjaya merakamkan butiran pada rambut walhal pada Mi 9T, butiran itu hilang dalam bebayang.
Set 4
Tiada perbezaan ketara untuk hasil gamabr selfie Mi A3 dan Mi 9T. Kalau adapun saya nak petik pada bahagian skin tone pada gambar Mi A3 yang sedikit pekat berbanding Mi 9T yang lebih semula jadi. Walau bagaimanapun, ini bukanlah masalah kerana ia dengan mudah boleh diperbetul dalam APP seperti Snapseed.
Tapi kelebihan berpihak pada Mi A3 atas sebab miliki lebih megapiksel (32MP vs 20MP) sekiranya anda ingin lakukan crop semasa menyunting gambar.
Set 5
Gambar waktu malam ini diambil dalam mode auto. Saya ingin berikan markah kepada Mi A3 dek julat dinamiknya yang lebih luas. Cuba perhatikan bahagian siling perhentian bas yang anda boleh nampak tetulangnya dengan jelas berbanding Mi 9T.
Untuk ketajaman, Mi 9T kelebihan memihak pada Mi 9T apabila saya crop-kan gambar ini ke 100%.
Set 6
Apabila night mode diaktifkan pada kedua-dua telefon, saya dapati yang tiada perubahan ketara boleh dilihat daripada hasil Mi A3. Tapi, lain pula ceritanya dengan Mi 9T kerana anda boleh lihat julat dinamik gambarnya jauh lebih luas berbanding sebelum ini.
Cuba lihat pada kesan pantulan cahaya pada bas berwarna ungu dan lampu LED merah pada bas yang serupa.
Untuk ketajaman, Mi A3 menunjukkan prestasi yang merudum berbanding mode normal untuk duduk sebaris dengan Mi 9T.
[nextpage title=”Mi A3 vs Mi A2″]
Set 1
Gambar ini diambil menggunakan mode auto dengan HDR juga disetkan kepada auto. Kedua-dua Mi A3 dan Mi A2 miliki profil warnya yang hampir serupa. Julat dinamik juga hampir sama.
Apabila dizum 100%, sensor 48MP pada Mi A3 nyata berikan kelebihan kepadanya. Imej nampak lebih jelas beserta butiran yang tinggi. Tapi Mi A2 tidak tertinggal jauh dibelakang.
Kedua-dua Mi A3 dan Mi A2 tidak diiklankan miliki lensa telefoto. Tapi saya dapati portret Mi A2 miliki jarak fokal yang lebih jauh tapi tidak signifikan. Potret daripada Mi A2 lebih mampat kompisinya antara subjek dan latar.
Mi A2 hadapi sedikit kesukaran untuk mengasingkan subejk daripad alatar untuk kesan bokeh. Ia boleh dilihat pada bahagian kanan atas kepala subjek. Mi A3 pula tidak menghadapi masalah yang sama.
Untuk gambar selfie, skin tone dairpada Mi A2 saya dapati lebih semula jadi berbanding Mi A3 yang lebih pekat.
Di bahagian gambar lowlight, saya dapati yang Mi A3 ada julat dinamik yang lebih luas berbanding Mi A2.
Apabila dizum 100%, Mi A3 masih mengekalkan butiran daripada gambar, contohnya gambar wajah atlet pada iklan. Berbeza dengan Mi A2, gambarnya sudah kelihatan pudar dan hilang butiran.
Mi A2 tiada night mode yang khusus sebab ketika itu mode itu masih belum popular dalam kalangan telefon. Yang ada cumalah mode HHT. Mi A3 ada night mode khusus dan berikut adalah hasilnya.
Hasil gambar yang sama, apabila dizum 100% sudah mencair butirannya.
Kesimpulan
Ketiga-tiga telefon adalah kompeten daripada segi keupayaan kameranya. Yang mengagumkan adalah Mi A2 yang agak berusia masih boleh bersaing dengan telefon yang lebih baru, cumanya ketiadaan lensa telefoto ataupun wide menyebabkan dua telefon yang lain mengatasinya.
Antara Mi 9T dan Mi A3, prestasi kamera antara mereka adalah hampir sama sungguhpun Mi 9T ada kamera telefoto. Tapi daripada sudut lain, Mi 9T ada beberapa kelebihan seperti SoC yang nyata lebih berkuasa, RAM yang lebih besar, dan rekaan kamera pop-up yang lebih segar.
Sekiranya anda miliki Mi A2, anda tak perlu naik taraf sekiranya kamera adalah satu-satunya yang anda pertimbangkan. Tapi jika atas sebab lain, Mi A3 adalah naik taraf yang baik kerana anda dapat SoC yang lebih baru dan bateri yang lebih besar.
Cumanya, pada bahagian skrinnya telah turun taraf daripada FHD+ ke HD+.