Majlis pelancaran telefon pintar Galaxy Note 10 akan diadakan pada tarikh 7 Ogos 2019. Tetapi maklumat penuh tentangnya mungkin telah habis disebarkan. Pembocor berita terkenal, Roland Quandt kini berkongsi bukan sahaja gambar peranti tersebut, malah spesifikasi penuh telefon tersebut.
Galaxy Note 10
Telefon ini bukan sahaja model lebih kecil, tetapi mungkin lebih kecil dari Galaxy Note sebelum ini. Ia memiliki skrin Infinity Display berukuran 6.3-inci, dari jenis Dynamic AMOLED dengan lubang kecil di tengah.
Bukan sahaja saiznya kecil, resolusi pada skrin Galaxy Note 10 juga diturunkan kepada HD Penuh+ (2280×1080) sahaja. Ia dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 6 dan ia turut memiliki pengimbas capjari ultrasonic di dalam skrin, seperti di Galaxy S10.
Lubang di tengah skrin memuatkan satu lensa kamera 10MP F2.2 dengan auto fokus. Ia turut menyokong rakaman video 4K.
Menurut Roland, di Eropah (kemungkinan besar termasuk Asia Tenggara) Galaxy Note 10 akan dikuasakan oleh pemproses Exynos 9825 dengan kelajuan sehingga 2.7GHz, bersama RAM LPDDR4X 8GB. Storan pula dari jenis UFS 3.0 dengan saiz 256GB. Menyedihkan, tiada lagi sokongan kad mikroSD pada Galaxy Note 10.
Untuk kamera, ia hampir serupa dengan Galaxy S10+. Kamera utamanya 12MP dengan tiga tahap apertur: F1.5, F1.8 dan F2.4. Kamera kedua ialah kamera ultra lebar 16MP F2.2 dan kamera ketiganya ialah telefoto 12MP F2.1 dengan keupayaan 2x zum optikal. Kamera belakang ini menyokong rakaman video 4K 60FPS, HDR10+ serta penstabil imej optikal (OIS).
S Pen juga dipertingkat dengan kawalan gerak isyarat baru. Ia membenarkan beberapa arahan dijalankan tanpa menyentuh skrin. Ia masih memiliki 4,096 tahap sensitiviti tekanan dan tip 0.7mm sama seperti di Galaxy Note9.
Selain itu, Galaxy Note 10 masih kalis air dan debu IP68, serta pembesar suara stereo yang ditala oleh AKG.
Bateri pula, Galaxy Note 10 datang dengan bateri lebih kecil, 3,500mAh dengan keupayaan pengecasan wayarles 12W. Selain itu ia dikatakan menyokong pengecasan pantas 45W tetapi diberikan kepala pengecas 25W di dalam kotak.
Galaxy Note 10+
Skrin lebih besar terdapat di Galaxy Note 10+, berukuran 6.8-inci. Ia masih sama dari jenis Dynamic AMOLED dan menyokong HDR10+ tetapi dengan resolusi QuadHD+ (3040×1440). Lubang juga sama, di tengah atas skrin memuatkan satu kamera hadapan 10MP F2.2 padanya.
Kuasanya digerakkan oleh pemproses Exynos 9825 dengan RAM 12GB. Storan juga dari jenis UFS3.0 dengan kapasiti dari 256GB dan khabarnya akan diperkenalkan bersama storan 512GB dan 1TB. Jika tidak mencukupi, ia masih menerima kad mikroSD untuk storan tambahan, berbeza dari model bukan Pro.
Kamera di belakangnya masih sama, tetapi Galaxy Note 10+ ditambah kamera keempat, kamera 3D ToF untuk mengesan tahap kedalaman lebih tepat. Rakaman video disokong sehingga 4K 60FPS dan HDR10+.
Dengan saiz yang besar, ia turut memiliki bateri lebih besar berkapasiti 4,300mAh. Ia juga menyokong pengecasan pantas 45W dan pengecasan wayarles 20W. Tiada maklumat tentang jek audio 3.5mm dan tidak juga kelihatan di gambar, jadi ini mungkin tepat. Tiada lagi jek audio dia Galaxy Note 10.
Tambah Roland lagi, Galaxy Note 10 dan Note 10+ akan dijual bermula 23 Ogos 2019. Seperti biasa, Malaysia merupakan pasaran utama Samsung. Kita pasti akan mendengar berita tempahan awal sejurus selepas ia dilancarkan pada 7 Ogos nanti.
Sumber: WinFuture 1, WinFuture 2