fbpx

Kamera 48MP, skrin sAMOLED dan bateri 6000mAh akan digunakan Galaxy M30s

Samsung akan melancarkan sebuah telefon pintar baru di India pada 18 September nanti, dengan tema #GoMonster. Apa yang dimaksudkan dengan monster atau raksasa ini bukanlah fokus kepada prestasinya, sebaliknya pada kapasiti baterinya yang sangat besar.

Setakat yang kami ingat, bateri 6,000mAh hanya terdapat di telefon pintar ASUS ROG Phone 2. Kedatangan Galaxy M30s ini boleh dikatakan sebagai peranti bajet pertama dengan bateri sebesar ini.

Bagi memberi pandangan awal tentang telefon yang akan dilancarkan ini, Samsung India telah memuat naik laman mikro yang bercerita serba sedikit tentangnya. Sudah pasti, ia bermula dengan kapasiti bateri 6,000mAh. Ia diikuti video pendek yang menunjukkan apa yang boleh dilakukan dengan sekali cas.

Selepas itu, laman tersebut menerangkan telefon pintar Galaxy M30s akan dilengkapi skrin Super AMOLED dengan takuk kecil. Ini tidak menghairankan kerana Samsung telah mula melengkapi skrin Super AMOLED pada telefon pintar kelas pertengahan mereka sejak siri A baru diperkenalkan tahun ini.

Laman tersebut juga menyebut, peranti ini akan datang dengan pemproses baru yang lebih berkuasa. Tetapi tidak pula dinyatakan ciri-ciri seperti jumlah teras dan kelajuan pemproses tersebut.

Ia diikuti lagi dengan tiga kamera belakang dan salah satu darinya ialah kamera _8MP. Gambar belakang telefon tersebut turut kelihatan, dengan pengimbas capjari fizikal terdapat padanya. Ini menjelaskan, ia tidak menggunakan pengimbas capjari dalam skrin.

Ini sahaja maklumat yang terdapat di laman mikro rasmi tersebut. Tetapi terdapat maklumat lain yang boleh kita dapat dari pembocor berita yang dipercayai. Ishan Agarwal misalnya, menyatakan Galaxy M30s akan datang dengan kamera belakang 48MP F2.0, kamera pengesan kedalaman 5MP F2.2, kamera super lebar 8MP F2.2 serta kamera depan 24MP.

BACA  Galaxy A30s & A50s Masuki Malaysia Pada Harga Bermula RM899

Ishan juga menyebut, Galaxy M30s akan menggunakan sambungan USB-C untuk pengecasan dan menjalankan sistem operasi Android 9. Skrin Super AMOLED Galaxy M30s berukuran 6.4-inci dan ia datang dalam pilihan RAM 4GB atau 6GB, serta storan dalaman 64GB atau 128GB.

Galaxy M30s akan dilancarkan di India pada 18 September, tetapi kedatangannya ke Malaysia masih kabur. Ini kerana model sebelum ini, Galaxy M30 tidak dijual di Malaysia, hanya Galaxy M10 dan M20 sahaja. Dengan bateri 6,000mAh, ia adalah satu peranti yang sangat menarik untuk dimiliki.

Sumber: Samsung, Ishan Agarwal