fbpx

iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max terima naik taraf kamera luar dan dalam

Untuk pelanggan yang mahukan teknologi lebih canggih, Apple memperkenalkan iPhone 11 Pro. Ia datang dalam dua saiz, iPhone 11 Pro dengan skrin 5.8-inci dan iPhone 11 Pro Max dengan skrin 6.5-inci. Benar, ia menggantikan kedudukan iPhone XS dan XS Max dan menambah satu lagi kamera berbanding iPhone 11, menjadikannya memiliki 3 kamera belakang.

iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max direka lebih premium dari iPhone 11. Belakang badannya menggunakan lapisan kaca bertekstur matte, digandingkan dengan bingkai dari besi tahan karat. Menurut Apple, kaca yang digunakan adalah kaca paling lasak terdapat di telefon pintar. Ia juga kalis air IP68, tetapi dengan ketahanan lebih tinggi iaitu di dalam air sehingga 4 meter sehingga 30 minit.

Jenis skrin kedua-dua telefon ini sama, digelar Super Retina XDR. Ia menggunakan paparan OLED yang direka khas, mengekalkan takuk yang besar di atasnya, memuatkan kamera hadapan dan pengimbas muka Face ID.

Prestasi di dalamnya digerakkan oleh pemproses yang sama seperti iPhone 11, menggunakan cip A13 Bionic terbaru. Apple menerangkan, iPhone 11 Pro memiliki hayat bateri 4 jam lebih lama dari iPhone XS. Manakala iPhone 11 Pro Max pula, tahan 5 jam lebih lama dari iPhone XS Max.

Bagi kamera, iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max dilengkapi 3 kamera belakang. Ia gabungan kamera utama 12MP F1.8, kamera ultra lebar 12MP F2.2 dengan sudut pandang 120-darjah dan kamera telefoto 12MP F2.0 dengan zum optikal 2x. Kamera hadapannya pula 12MP F2.2.

Kehebatan kamera ini tidak setakat perkakas fizikal sahaja. Di bahagian perisian, ia dinaik taraf dengan fungsi seperti Night Mode yang menangkap gambar malap lebih cerah. Fungsi Deep Fusion pula menggunakan keupayaan pembelajaran mesin, menggabungkan tangkapan 9 gambar untuk menghasilkan gambar dengan ketelitian tinggi dan kurang hingar.

BACA  100GB Video Walla percuma kembali diberikan kepada pengguna pascabayar Celcom

Kesemua kamera belakang dan depan di telefon ini boleh merakam video sehingga 4K 60fps. Apple turut menunjukkan keupayaan rakaman video dengan 4 kamera belakang dan depan serentak, menggunakan aplikasi Filmic Pro. Rakaman gerak perlahan turut boleh dibuat dengan kamera hadapan, digelar slofie oleh Apple.

Anda pasti sudah biasa dengan fungsi mengambil gambar semasa merakam video. Di iPhone 11 pula, teknologi QuickTake membolehkan video dirakam semasa mengambil gambar foto, semudah menekan lama butang menangkap gambar. Ia merupakan pertama seumpamanya di telefon pintar.

Untuk pengecasan, pembeli kali ini diberikan pengecasan pantas terus di dalam kotak. iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max datang bersama pengecas pantas 18W, menggunakan kabel USB-C ke Lightning. Ia turut menyokong pengecasan wayarles.

Apple menawarkan iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max dengan 3 jenis storan iaitu 64GB, 256GB dan 512GB. Pilihan warna pula ada empat: Midnight Green, Space Grey, Silver dan Gold.

Harganya pula masih sama seperti iPhone XS dan XS Max ketika dilancarkan tahun lepas. iPhone 11 Pro dijual bermula dari USD999 manakala iPhone 11 Pro Max pula bermula dari USD1,099. Tempahan awal iPhone 11 di Amerika Syarikat dibuka dari 13 September 2019 dengan jualan pertama bermula pada 20 September 2019.