Tim Cook pagi ini menaiki pentas untuk memperkenalkan beberapa produk baru Apple dan salah satu darinya ialah iPhone 11. Ia merupakan pengganti kepada iPhone XR, dibariskan sebagai peranti permulaan untuk siri terbaru iPhone.
Mungkin tiada lagi perkara mengejutkan tentang iPhone 11 jika anda mengikut dengan rapat berita-berita yang terbocor sebelum ini. Seperti yang dijangka, iPhone 11 memiliki modul kamera belakang empat segi dengan dua kamera padanya.
Bahagian depan iPhone 11 tidak kelihatan perbezaan ketara jika dibandingkan dengan iPhone XR kerana ia masih menggunakan skrin Liquid Retina Display berukuran 6.1-inci bersama takuk besar di atasnya. Apple menyatakan, ia menaik taraf fungsi Face ID untuk pengecaman wajah yang lebih pantas dan jitu.
Selain skrin, Apple dilihat menaik taraf hampir semua bahagian iPhone 11. Bermula dengan kuasa dalaman, iPhone 11 kini menggunakan cip terbaru dari Apple, iaitu cip A13 Bionic. Ia memberi prestasi pemprosesan utama dan grafik yang lebih tinggi dari cip A12 Bionic. Dibuat dari proses 7nm, ia juga lebih jimat tenaga. Ini dapat dilihat apabila iPhone 11 mempunyai hayat bateri 1 jam lebih panjang dari iPhone XR. Malangnya, pengecas yang diberikan masih dari jenis 5W.
Bahagian kamera iPhone 11 menerima naik taraf yang sangat besar. Berbanding satu lensa di iPhone XR, kini terdapat dua lensa di kamera belakang iPhone 11. Kamera utama menggunakan lensa 12MP F1.8 bersama lensa ultra lebar 12MP F2.4. Ia dilengkapi OIS dan kini memiliki fungsi Night Mode untuk tangkapan malap yang lebih cerah. Kamera baru ini boleh merakam video sehingga 4K 60fps pada kedua-dua lensa.
Kamera hadapan pula dipertingkat kepada lensa 12MP F2.2 dan mampu merakam video sehingga 4K 60fps. ia juga boleh merakam video gerak perlahan, yang digelar Apple sebagai slofie (slow selfie).
Sistem bunyi juga lebih baru. Selain sokongan bunyi stereo, ia juga menyokong teknologi audio spatial, Dolby Digital dan Dolby Atmos. Fon kepala berwayar turut disediakan dengan sambungan menerusi port lightning.
Daya tahan kalis air dan debu di iPhone 11 kini diiktiraf IP68, boleh masuk ke dalam air sehingga 2 meter dalam dan sehingga 30 minit lama. Sokongan dwi-sim juga masih ada, menggunakan satu kad sim nano dan satu lagi eSIM.
Terdapat 6 pilihan warna untuk iPhone 11 iaitu Ungu, Kuning, Hijau, Hitam, Putih dan Merah. Manakala storan pula disediakan dari 64GB, 128GB dan 256GB. Tempahan awal iPhone 11 di Amerika Syarikat dibuka dari 13 September 2019 dengan jualan pertama bermula pada 20 September 2019.
Harga jualan iPhone 11 lebih rendah berbanding iPhone XR ketika dilancarkan. Ia boleh dibeli bermula dari USD699 dengan storan 64GB, berbanding USD749 bagi iPhone XR 64GB. iPhone 11 dengan storan 128GB dan 256GB juga lebih murah USD50 berbanding iPhone XR dengan storan yang sama. Nampaknya Apple sudah mula menurunkan harga produknya, mungkin kesan kejatuhannya ke tangga ketiga pengeluar telefon pintar di dunia, di belakang Samsung dan Huawei.