Baru sahaja Xiaomi melancarkan telefon pintar kelas pertengahan meraka, Redmi Note 8 dan Redmi Note 8 Pro di Malaysia, kini mereka memperkenalkan pula barisan telefon kelas permulaan yang baru, Redmi 8 dan Redmi 8A. Bagaimanapun, ia bukannya dilancarkan di Malaysia, tetapi di India.
Menariknya, Redmi 8 dan Redmi 8A yang baru diperkenalkan ini memiliki beberapa ciri yang sebelum ini dilihat hanya terdapat di kelas flagship dan baru menjelma di kelas pertengahan. Sekali lagi, Xiaomi menetapkan standard yang tinggi untuk diikuti oleh pengeluar jenama lain.
Antara fungsi flagship yang kini terdapat di Redmi 8 dan Redmi 8A ialah sokongan pengecasan pantas 18W, sambungan USB-C dan kaca Corning Gorilla Glass. Macam tak percaya telefon pintar di bawah RM500 boleh memiliki ciri-ciri ini.
Redmi 8
Walaupun terdapat fungsi flagship padanya, Redmi 8 masih menggunakan skrin beresolusi HD+ sahaja. Ia berukuran 6.22-inci dari jenis IPS dan bertakuk kecil di atas. Tetapi paparan ini menggunakan kaca Corning Gorilla Glass 5 yang tahan lasak.
Rekaan belakang Redmi 8 menggunakan kemasan ‘Aura Mirror’ yang kelihatan premium. Selain itu, ia mendapat perlindungan selaput nano P2i yang kalis percikan.
Di dalam, Redmi 8 menggunakan pemproses Snapdragon 439, kelihatan seperti turun taraf berbanding Redmi 7 yang dikuasakan pemproses Snapdragon 632. Tetapi RAM pula dilengkapi sehingga 4GB bersama storan sehingga 64GB. Telefon ini juga memiliki tiga slot kad, dua untuk kad sim nano dan satu lagi kad mikroSD untuk meluaskan storan.
Bagi kamera belakang, ia kini menggunakan dwi-lensa dengan kamera utamanya 12MP F1.8 manakala kamera kedua 2MP untuk mengesan tahap kedalaman. Kamera depan di dalam takuk pula 8MP F2.0 yang turut menyokong fungsi pengecaman wajah. Pengimbas capjari fizikal terdapat di belakang telefon.
Antara fungsi tambahan yang menarik pada Redmi 8 ialah sokongan radio FM tanpa antena tambahan, serta pemancar infra merah. Bagaimanapun, radio FM ini mungkin terhad untuk pasaran India kerana ia memang menjadi keperluan pengguna di sana.
Bateri besar 5,000mAh dipasang di dalam Redmi 8 dan kali ini, ia menyokong pengecasan pantas 18W melalui USB-C. Tetapi, Xiaomi hanya menyertakan penecas 10W di dalam kotak.
Redmi 8 dijual di India pada harga INR7,999 dengna RAM 4GB dan storan 64GB. Terdapat tiga warna untuk dipilih iaitu merah, biru dan hitam.
Redmi 8A
Sering dilihat sebagai peranti termurah dalam yang termurah di keluarga Xiaomi, Redmi 8A kini turut dilengkapi ciri flagship. Sudah pasti, spesifikasinya lebih rendah dari Redmi 8.
Persamaan yang dikongsi oleh Redmi 8A dan Redmi 8 ialah skrin 6.22-inci HD+ dengan kaca Corning Gorilla Glass 5, bateri 5,000mAh yang menyokong pengecasan pantas 18W melalui USB-C, serta pemproses Snapdragon 439.
Perbezaan pula ialah kamera belakangnya hanya satu, 12MP F1.8 bersama kamera depan 8MP F2.0. Badan belakangnya pula menggunakan kemasan garisan aura gelombang.
Selain itu, RAM padanya di antara 2GB dan 3GB dengan storan hanya terdapat satu pilihan, 32GB. Tiga slot kad juga terdapat padanya, membolehkan dua kad sim nano dan kad mikroSD digunakan serentak.
Harga jualan Redmi 8A di India ialah INR6,499 (~RM384) dengan RAM 2GB dan storan 32GB, serta INR6,999 (~RM413) bersama RAM 3GB dan storan 32GB. Tiga warna juga disediakan iaitu merah, biru dan hitam.
Buat masa ini, masih belum ada berita tentang penjualannya di luar India. Tetapi Malaysia sering menerima model yang serupa sebelum ini, jadi kita menjangkakan ia akan tiba di Malaysia tidak lama lagi.