Asus kembali lagi dengan iterasi kedua telefon yang mengkhususkan permainan video. ROG Phone II hadir dengan tambah baik yang dialu-alukan walaupun di generasi pertama, ia sudahpun cukup bagus.
Harga jualan ROG Phone II di Malaysia adalah seperti berikut:
- ROG Phone II Elite (RAM 12GB + storan 512GB) – RM3,499
- ROG Phone II Ultimate (RAM 12GB + storan 1TB) – RM4,499
ROG Phone II Elite akan berada di pasaran Malaysia bermula hari ini. Manakala ROG Phone II Ultimate akan mula dijual sekitar bulan November depan. Kedua-duanya datang siap dengan penyejuk AeroActive Cooler II dan casing AeroCase di dalam kotak.
Pelbagai aksesori disediakan untuk ROG Phone II dan dijual berasingan. Ia boleh mula dibeli sekitar bulan November juga.
Jika anda berminat untuk memiliki semua aksesori ini, ASUS turut menawarkannya menerusi pakej ROG Phone II Super Pack yang menggabungkan ROG Phone II Elite (512GB) dengan pelbagai perkakas, termasuk beg dan Suitcase ROG. Harga jualannya ialah RM6,999 dan dijual secara eksklusif di Lazada bermula bulan November depan.
Ia masih mengekalkan rekaan agresif tapi warna hitam menjadikannya lebih low-key dan tak terlalu memanggil perhatian orang. Perbezaan ketara adalah saiz yang nyata lebih besar. Kemudian bahagian penyejuk turut diwarnakan hitam dan lebih nipis berbanding sebelumnya.
Di bahagian muka, ia ada paparan AMOLED sebesar 6.59″ dengan resolusi FHD+ dengan refresh rate setinggi 120Hz.
ROG Phone II tak hadir dengan paparan bingkai nipis bertakuk. Tapi ia tidak membimbangkan saya sebab telefon gaming dengan dahi dan dagu yang luas memberikan ergonomik yang baik ketika ber-gaming.
Tambahan pula, bahagian itu dimanfaatkan sepenuhnya Asus dengan menempatkan sepasang speaker stereo. Malahan, ia adalah yang terbaik saya pernah dengar selepas yang anda temui pada telefon HTC dahulu kala.
Lagi perkara yang unik dengan ROG Phone II adalah ia ada dua port USB-C, sama seperti sebelumnya. Satu di bahagian dagu dan satu lagi di bahagian sisi. Kedua-duanya boleh digunakan untuk mengecas telefon.
Di bahagian papan utama, ia dikuasakan Snapdragon 855+ bersama-sama RAM 12GB dan storan sehingga 1TB. Ia tidak hadir dengan slot mikro-SD jadi anda tersangkut dengan storan dalaman saja. Tapi dengan pilihan storan 512GB, mengapa perlu lagi kad mikro-SD.
Untuk telefon 6″ sepertinya, ia ada bateri superbesar 6,000mAh. Ia dicas pantas menggunakan piawaian QC 4.0 dan juga PD. Dalam kotak, pengecas 30W disediakan yang dikatakan mampu mengisi 66% bateri, kurang daripada sejam.
ROG Phone 2 didatangkan dengan beberapa aksesori tambahan yang dijual berasingan tapi sangat berbaloi untuk dimiliki kerana ia nyata menambah baik pengalaman gaming anda.
- AeroActive Cooler berikan kemampuan penyejuk yang lebih baik untuk kurangkan thermal throtlling pada telefon.
- Mobile Desktop Dock akan sediakan anda dengan port-port tambahan seperti HDMI dan USB jika anda ingin ber-live streaming di laman sosial.
- TwinView Dock 2 ada skrin sekunder jika anda ber-multitasking semasa bermain.
- Pro Dock sama seperti Mobile Desktop Dock tapi dalam pakej yang lebih kompak.
- WiGig Display Dock Plus digunakan untuk menyalin kandungan pada paparan terus ke TV tanpa sebarang kabel antara telefon dengan TV.
- ROG Kunai GamePad gunakan konsep seperti Nintendo Switch untuk mempelbagai cara anda berikan input pada telefon.
Kenali ROG Phone II lebih lanjut menerusi video kami di bawah.