fbpx

Carousell buang lebih 13 ribu senarai barangan replika dan tiruan

Carousell merupakan platform jual-beli barangan dalam talian yang berkembang pesat di Malaysia. Hari ini, Carousell mengumumkan pelancaran Program Hak Pemilik Carousell (Carousell Rights Owners Programme, CROP).

CROP ialah program yang menangani penyenaraian barangan yang tidak sah dengan kerjasama rakan kongsi jenama. CROP menawarkan jaminan kepada jenama, di mana hak mereka lebih dilindungi, dan para pengguna dapat berurusan dengan lebih yakin di platform pasaran atas talian.

Melalui CROP, Carousell memberi kuasa kepada rakan kongsi jenama yang dipercayai, untuk menyingkirkan sendiri mana-mana senarai barangan replika dan tiruan di Carousell. Ini mengurangkan masa pemprosesan serta mengetatkan lagi kawalan kandungan.

Carousell telah mula menguji program CROP sejak Disember 2019. Sehingga kini, sebanyak 13,000 senarai telah disingkir dan dibuang dari Carousell. Ia dilaksanakan oleh rakan kongsi jenama terpilih di mana aktivitinya dipantau teliti oleh Carousell, termasuk Nike, Grab dan syarikat kumpulan mewah Kering, yang memiliki jenama seperti Gucci, Yves Saint Laurent, Balenciaga dan Bottega Veneta.

Menurut Serena Darcel Chin, Ketua Undang-Undang Carousell, dengan CROP, mereka mahu mencipta platform pasaran yang boleh dipercayai, di samping melindungi pengguna daripada pembelian barangan tiruan tanpa disedari. Sebaik sahaja penyenaraian barangan didapati tidak sah dan dikeluarkan secara langsung oleh jenama menerusi CROP, penjual secara automatik akan dimaklumkan menerusi emel tentang penyingkiran tersebut yang disebabkan oleh pelanggaran hak harta intelek (IP) mereka.

Polisi penjualan barangan di Carousell, antaranya melarang penjualan produk-produk replika atau tiruan dan penciptaan sebarang kandungan yang melanggar mana-mana hak harta intelek. Sebelum adanya CROP, proses sebelum ini memakan masa yang lama, dari menanda satu-satu barangan seterusnya kepada penyingkiran sebenar, kerana URLnya perlu diserahkan kepada pasukan perlindungan jenama Carousell terlebih dahulu untuk diproses. Untuk proses lebih lancar, Carousell akan menyelaraskan dan mengoptimasikan proses CROP.

BACA  Pelanggan Astro boleh naik taraf ke Ultra Box 4K secara percuma

CROP adalah inisiatif terbaru dalam usaha Carousell untuk membina persekitaran yang dipercayai untuk penggunanya. Selain CROP, Carousell juga telah membuat pelaburan dalam Sift Science (penyedia perkhidmatan pihak ketiga) dan pasukan moderasi manual untuk membantu memerangi penjualan barangan tidak sah di platform.