fbpx

Xiaomi CC9 Pro tampil dengan gabungan lima kamera berkuasa 108MP pertama di dunia

Xiaomi di China petang ini telah melancarkan Xiaomi CC9 Pro, telefon pintar yang menggunakan kuasa kelas pertengahan, dengan prestasi yang luar biasa tinggi. Ia juga adalah telefon pertama Xiaomi dengan 5 kamera belakang dan kamera utamanya memiliki resolusi 108MP.

Kuasa pemproses Xiaomi CC9 Pro digerakkan oleh cip Snapdragon 730G, terbaik untuk kelas pertengahan. Ia dipadankan dengan pilihan RAM antara 6GB dan 8GB, serta storan dalaman 128GB atau 256GB.

Paparan Xiaomi CC9 Pro dari jenis AMOLED berukuran 6.47-inci, dengan resolusi HD Penuh serta bertakuk kecil di dahinya. Pengimbas capjari terletak di dalam skrin AMOLEDnya.

Tenaganya dipacu oleh bateri besar 5,260mAh yang berpasangan dengan pengecas pantas 30W melalui USB-C PD. Dengan kuasa 30W, ia boleh mengecas 58% dalam masa 30 minit dan penuh 100% dalam masa 65 minit sahaja.

Lima kamera belakang di Xiaomi CC9 Pro ialah kamera utama 108MP F1.69 dengan penstabil imej optikal 4-paksi. Bersama dengannya dwi kamera telefoto, iaitu kamera ultra telefoto 8MP F2.0 berkeupayaan 10x zum hibrid dan 50x zum digital serta OIS. Kamera telefoto kedua ialah kamera potret 12MP F2.0 berkeupayaan 2x zum optikal. Kamera keempat ialah kamera ultra lebar 20MP F2.2 dan akhir sekali ialah kamera makro dengan autofokus yang boleh merakam dari jarak 2 – 10cm.

Kamera belakang ini boleh menangkap video sehingga 4K pada kadar 30fps.Untuk gerak perlahan, ia boleh merakam sehingga 960 fps pada 720p dan 240fps pada resolusi 1080p.

Kamera hadapannya pula menggunakan sensor 32MP F2.0 dengan teknologi QuadBayer, meggabungkan 4 piksel berhampiran kepada satu piksel 8MP untuk gambar yang lebih cerah. Rakaman video kamera hadapan hanyalah sehingga 1080p pada kadar 30fps.

BACA  Tak Cukup Dengan 64MP, Xiaomi Bakal Tembusi Sempadan 108MP Untuk Kameranya

Lebih menarik, kamera Xiaomi CC9 Pro telah diuji oleh DxOMark dan dinobatkan di tangga pertama, bersama Huawei Mate 30 Pro. Ia beroleh markah sebanyak 121 dan menjadi telefon Xiaomi pertama yang menduduki takhta tertinggi DxOmark.

Pembesar suara di peranti ini hanya mono, terletak di bawah telefon. Tetapi ia masih mengekalkan jek audio 3.5mm serta ada pemancar infra merah.

Terdapat tiga warna diperkenalkan untuk Xiaomi CC9 Pro iaitu putih, hijau dan hitam. Ia akan mula dijual di China pada 11 November dengan harga seperti berikut:

  • Mi CC9 Pro (RAM 6GB + storan 128GB) – RMB2,799 (~RM1,653)
  • Mi CC9 Pro (RAM 8GB + storan 256GB) – RMB3,099 (~RM1,830)

Terdapat satu lagi versi Premium yang memiliki lensa 8P di kamera utama, bersama RAM 8GB dan storan dalaman 256GB dan dijual pada harga RMB3,499 (~RM2,066).

Xiaomi CC9 Pro akan dikenali di pentas antarabangsa sebagai Mi Note 10, akan dilancarkan di Madrid, Sepanyol esok, 6 November 2019. Ia bakal menjadi petunjuk kepada versi yang akan dijual di Malaysia kelak.