Google Malaysia hari ini berkongsi dapatan mereka berkenaan corak pembelian telefon pintar rakyat Malaysia tahun ini. Kajian dapatan ini dilakukan dengan kerjasama IPSOS, sebuah firma penyelidikan dan perunding pasaran antarbangsa.
Antara dapatan menarik yang dikongsikan ialah rakyat Malaysia tidak menjadikan harga sebagai pilihan utama di mana ia jatuh ke tempat ke-4. Tiga pilihan yang lebih penting dari harga ialah bateri, sistem operasi (OS) dan spesifikasi dalaman.
Bateri diukur dari segi kapasiti dan keupayaan pengecasan pantasnya. Manakala sistem operasi, masih ramai yang tidak mahu bertukar dari OS telefon pintar lama mereka. Bagi pengguna Android akan kekal dengan Android dan iOS mahu terus menggunkan iOS. Tetapi hampir 90% dari rakyat Malaysia adalah pengguna Android.
RAM, storan dalaman serta cip pemproses adalah salah satu faktor yang penting untuk rakyat Malaysia, sebelum memikirkan harga dan bajet yang bersesuian dengan mereka.
Dari sudut jantina, lebih ramai lelaki mementingkan pemilihan OS. Tetapi untuk wanita, walaupun dikatakan stereotaip tetapi kajian ini mendapati faktor kamera menjadi pilihan utama untuk membeli telefon pintar.
Kajian ini juga mendapatkan maklumbalas dari penduduk luar bandar. Dengan adanya jaringan internet ke seluruh negara, lebih ramai penduduk luar bandar kini memiliki akses kepada produk yang tidak dapat mereka temui secara fizikal. Kerana itu, peratusan pembelian dalam talian penduduk luar bandar lebih tinggi dari penduduk bandar. 1 dari 4 telefon pintar yang dibeli sekarang, dibuat dari dalam talian.
Google menerangkan, pengeluar peranti boleh menangkap minat pembeli di Malaysia dengan memberi fokus kepada tiga golongan iaitu pengkaji tegar, pengguna jenama yang setia, serta pembuat keputusan dalam kedai.
Dengan memberi maklumat lengkap terutama sekali di laman web, ia boleh menarik minat golongan pengkaji tegar. Untuk pengguna jenama yang setia, sesuatu jenama perlu mengukuhkan jenama mereka dengan perkhidmatan yang dipercayai untuk masa panjang. Pembeli di kedai pula lebih mudah, hanya berikan layanan yang mesra dan disenangi kepada pembeli yang berkunjung sudah mencukupi.
Terdapat dua golongan yang didapati majoriti perempuan lebih cenderung untuk membuat pembelian iaitu Auto Pilot dan pencari nasihat di dalam kedai (In-Store Advice Seeker). Persamaan dua golongan ialah mereka menerima apa sahaja nasihat yang diberikan untuk membeli, berbanding membuat kajian mendalam atau mencari diskaun luar biasa.
Daripada dapatan oleh Google dan IPSOS boleh dirumuskan rakyat Malaysia sangat rajin membuat carian dan kajian sesebuah telefon pintar sebelum membuat keputusan untuk membeli. Pembelian dalam talian juga kian meningkat membuatkan ia dapat mencapai kawasan luar bandar di mana kedai fizikal sangat jarang ditemui di sana.
Bagi anda pula, apakah faktor penting sebelum membuat pembelian telefon pintar baru? Bagaimana pula cara untuk membelinya? Kongsikan bersama kami di ruangan komen di bawah.