fbpx

Telefon boleh lipat Huawei Mate X akan dijual dengan harga terlampau mahal

Mate X adalah telefon pintar pertama dari Huawei dengan skrin boleh lipat. Ia menampilkan skrin boleh lipat yang berbeza dengan Galaxy Fold kerana Mate X memiliki skrin melipat di luar, bukan di dalam.

Pertama kali diperkenalkan di khalayak ramai pada bulan Februari lepas, Mate X pada awalnya dijadualkan penjualan pertamanya sekitar bulan Jun tetapi kemudiannya ditangguhkan beberapa kali. Akhirnya ia akan dijual di China bermula pada 22 November 2019, pada harga yang jauh lebih mahal dari Galaxy Fold.

Huawei Mate X dijual di China pada harga RMB16,999 (~RM10,076). Untuk perbandingan, Mate 30 Pro 4G dengan RAM 8GB dan storan 256GB dijual di China pada harga RMB6,299 (~RM3,733), tidak jauh dengan harga rasmi di Malaysia iaitu RM3,899.

Kalaulah nanti Huawei Malaysia mahu menjual Mate X, sudah pasti harganya akan melebihi RM10,000. Harga ini jauh lagi mahal dari Galaxy Fold yang dijual di Malaysia pada harga RM8,388 sahaja.

Tetapi dari segi rekaan, saya lebih gemarkan cara Mate X melipat skrinnya, seperti dalam video di bawah. Apabila dilipat, Mate X memiliki skrin depan berukuran 6.6-inci dan sekarang belakang 6.38-inci yang boleh diaktifkan dalam keadaan tertentu, seperti mengambil gambar swafoto. Apabila dibuka lipatan, skrin ini memiliki keluasan 8-inci.

Perkara ini menjadikan Mate X lebih praktikal digunakan sebagai telefon berbanding Galaxy Fold yang memiliki skrin depan yang kecil, berukuran 4.6-inci sahaja. Tetapi masalah lain timbul, macam mana nak simpan Mate X dalam poket sebab semua skrinnya di luar dan ianya dilapisi plastik, tidak dilindungi kaca seperti telefon biasa.

Prestasi di dalam Mate X digerakkan oleh pemproses Kirin 980 yang dibantu modem Balong 5000 untuk rangkaian 5G, bersama RAM 8GB dan storan dalaman 512GB. Baterinya sebesar 4,500mAh dan disertakan pengecasan pantas Huawei SuperCharge 55W.

BACA  Oppo Reno 10x zoom kembali menyengat dengan prestasi lebih hebat

Huawei Mate X juga hanya ada satu kedudukan kamera, berbanding tiga di Galaxy Fold. Ini kerana ia boleh menggunakan kamera di belakang bersama skrin belakang untuk melihat previu swafoto. Terdapat 4 kamera yang dibina dengan kerjasam Leica iaitu kamera utama 40MP F1.8, kamera ultra lebar 16MP F2.2, kamera telefoto 8MP F2.4 dan kamera Time-of-Flight untuk mengesan jarak.

Melihatkan harga di China, saya jangka jika ia dijual di Malaysia harga Mate X akan berada di sekitar RM10,399. Tetapi ini harga untuk versi 5G, berbanding Galaxy Fold yag dijual lebih murah di Malaysia tanpa 5G.

Jika wang bukan masalah, adakah anda akan membeli Mate X berbanding Galaxy Fold? Bagi saya, ya.