Samsung secara rasminya mengumumkan kedatangan Galaxy S10 Lite dan Galaxy Note 10 Lite, lebih awal dari yang dijangkakan iaitu semasa pameran CES 2020. Ia menampilkan pembaharuan seperti skrin Infinity-O yang lebih luas, bateri besar 4,500mAh serta tiga kamera di belakang.
Tetapi dengan nama “Lite” padanya, sudah pasti ia memiliki kekurangan berbanding model sedia ada. Mari kita selidiki apa yang dikurangkan Samsung untuk Galaxy S10 Lite dan Galaxy Note 10 Lite ini.
Samsung Galaxy S10 Lite
Skrin di Galaxy S10 Lite berukuran 6.7-inci, ia lebih besar dari Galaxy S10+ dengan skrin 6.4-inci. Tetapi resolusinya lebih rendah, hanya HD Penuh serta skrin rata yang tidak melengkung di sisi. Skrinnya dari jenis Super AMOLED Plus dengan satu lubang kecil di atasnya, tidak seperti Galaxy S10+ yang dilengkapi skrin Dyanmic AMOLED dengan lubang di sudut skrin. Menurut Samsung, Dynamic AMOLED menyokong paparan HDR10+ untuk julat warna yang lebih tinggi.
Dalam senarai spesifikasi, Samsung meletakkan hanya satu jenis pemproses untuk Galaxy S10 Lite iaitu Snapdpragon 855. Pasti ini berita gembira untuk mereka yang lebih gemarkan Snapdragon berbanding Exynos tetapi perlu diingatkan juga, memandangkan pengumuman ini dibuat untuk pameran CES 2020 yang diadakan di Amerika Syarikat, ia mungkin untuk memenuhi pasaran Amerika terlebih dahulu. Peranti ini didatangkan dengan pilihan RAM antara 6GB dan 8GB, serta storan dalaman sebanyak 128GB yang turut menyokong kad mikroSD sehingga 1TB untuk storan tambahan.
Bagi kamera, Galaxy S10 Lite didatangkan dengan gandingan tiga kamera belakang yang berbeza dari siri Galaxy S10 sebelum ini. Ia dipasang dengan kamera utama 48MP F2.0 dengan fungsi baru Super Steady OIS. Fungsi ini menjanjikan tangkapan gambar dan video yang lebih baik menerusi penstabilan kecondongan lensa. Bersamanya ialah kamera ultra lebar 12MP F2.2 dan yang ketiga ialah kamera makro 5MP F2.4, tiada lagi kamera telefoto padanya. Tetapi ia dilihat masih lebih baik dari Galaxy S10e yang hanya ada dua kamera belakang. Untuk swafoto, telefon ini dipasang hanya satu kamera di hadapan iaitu kamera 32MP F2.2.
Walaupun dipanggil “Lite”, telefon ini memiliki bateri yang jauh lebih besar, berkapasiti 4,500mAh. Selain itu, ia turut dibekalkan pengecas pantas 25W berbanding hanya 15W di Galaxy S10 dan Galaxy S10+.
Lain-lain kekurangan yang ada padanya ialah seperti ketiadaan pengecasan wayarles, serta tidak dimaklumkan sebarang kekalisan air dan debu. Ia juga kelihatan tidak lagi memiliki jek audio 3.5mm.
Samsung Galaxy Note 10 Lite
Seperti Galaxy S10 Lite, telefon pintar Galaxy Note 10 Lite juga memiliki skrin rata sebesar 6.7-inci, tetapi dari jenis Super AMOLED serta resolusi HD Penuh. Kekurangan paling ketara pada telefon ini ialah di pemprosesnya.
Galaxy Note 10 Lite menggunakan pemproses Exynos 9810 yang sama terdapat di Galaxy S9 dan Galaxy Note 9. RAM di dalamnya dimuatkan di antara 6GB dan 8GB manakala storan dalamannya hanya 128GB tetapi sedia menerima storan tambahan menerusi kad mikroSD.
Sudah pasti, telefon ini datang bersama S Pen tetapi berbeza dari yang ada di Galaxy Note 10. S Pen di Galaxy Note 10 Lite menggunakan sambungan Bluetooth yang menjadikannya boleh digunakan sebagai alat kawalan jauh. Tetapi ia tiada sensor 6-paksi yang tidak membolehkan ia digunakan untuk mengesan gerakan. Pendek kata, ia adalah S Pen yang sama dengan Galaxy Note 9.
Untuk kamera pula, peranti ini menggunakan tiga kamera belakang tetapi berbeza dengan Galaxy S10 Lite. Kamera utamanya ialah kamera 12MP F1.7 tanpa apertur pelbagai, bersama kamera telefoto 12MP F2.4 dengan zum optikal 2x serta kamera ultra lebar 12MP F2.2. Di hadapan pula, ia ada kamera 32MP F2.2 untuk menangkap swafoto.
Seperti Galaxy S10 Lite, telefon ini turut dipasang dengan bateri besar 4,500mAh bersama sokongan pengecasan pantas 25W. Tetapi ia juga tidak lagi memiliki pengecasan wayarles serta tidak kalis air dan debu.
Secara ringkas, Galaxy S10 Lite dan Galaxy Note 10 Lite memiliki skrin dan bateri lebih besar dengan kehilangan fungsi kecil seperti pengecasan wayarles dan kalis air. Tetapi kekurangan agak besar di Galaxy Note 10 Lite yang menggunakan pemproses lama berusia 2 tahun.
Buat masa ini, Samsung masih belum mengumumkan tanda harga untuk kedua-dua telefon pintar “Lite” ini. Ia mungkin akan diletakkan di bawah paras harga Galaxy S10 dan Galaxy Note 10 sedia ada. Jika harganya lebih menghampiri RM2,000, ia boleh memberi saingan sengit untuk pasaran flagship mampu milik, yang kini banyak dibanjiri dengan jenama pengeluar dari China.
Sumber: Samsung