Nampaknya model Smart #5 di Malaysia mungkin akan menerima satu lagi varian baharu tidak lama lagi. Kami baru sahaja menerima sekeping gambar daripada sumber dalaman yang mendakwa bahawa Smart Malaysia sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan sesuatu yang baharu bagi SUV elektrik tersebut.
Bagaimanapun, tiada sebarang butiran lanjut dikongsi melainkan gambar spsyhot yang dikongsikan. Berdasarkan latar belakang yang menampilkan beberapa kren kontena, gambar tersebut berkemungkinan dirakam di sekitar Port Klang.
Apa yang menariknya, unit Smart #5 di dalam gambar tersebut diselimuti warna merah Pulsar Red, iaitu pilihan warna yang masih belum ditawarkan untuk pasaran Malaysia buat masa ini.
Varian baharu atau sekadar warna baharu?

Gambar ini muncul hanya beberapa hari selepas Smart Malaysia berkongsi teaser misteri menerusi saluran media sosial mereka. Beberapa minggu sebelum itu, Smart turut mengumumkan penawaran pakej aksesori Outdoor Pack dan Adventure Pack semasa KLIMS 2026.
Jadi, adakah Smart Malaysia sedang bersedia untuk memperkenalkan varian baharu Smart #5?

Sebenarnya, terdapat satu lagi varian Smart #5 yang masih belum ditawarkan di Malaysia, iaitu Smart #5 Pro. Bagaimanapun, berdasarkan rekaan rim pada unit dalam gambar tersebut, ia kelihatan lebih menyerupai Smart #5 Brabus yang sudah pun dijual di sini.
Daripada satu gambar ini sahaja, sukar untuk dipastikan sama ada terdapat perubahan lain pada SUV elektrik tersebut. Buat masa ini, satu-satunya perbezaan yang jelas kelihatan hanyalah warna Pulsar Red yang belum pernah ditawarkan untuk Smart #5 di Malaysia.
Spesifikasi ringkas Smart #5 di Malaysia

Sebagai rujukan, varian Smart #5 Premium merupakan model pacuan roda belakang (RWD) yang menghasilkan kuasa 267kW (358hp) dan tork 373Nm. Ia mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 6.5 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 200km/j.
Sementara itu, Smart #5 Brabus pula merupakan varian tertinggi dengan sistem pacuan semua roda (AWD). Ia dilengkapi dwi-motor yang mampu menghasilkan output 475kW (637hp) dan tork 710Nm. SUV berprestasi tinggi ini mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 3.8 saat sahaja dengan kelajuan maksimum 210km/j.

Kedua-dua varian Premium dan Brabus ini menggunakan bateri jenis NMC berkapasiti 100kWh dengan sistem seni bina 800V. Ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 400kW, yang membolehkan bateri dicas dari 10% hingga 80% dalam masa 15 minit sahaja menggunakan pengecas DC berkuasa tinggi.
Sama seperti model Smart #1 dan Smart #3 sebelum ini, Smart #5 Premium dan Brabus turut menyokong pengecasan AC tiga fasa sehingga 22kW, iaitu jauh lebih pantas berbanding kebanyakan EV lain di pasaran sekarang.

Dari segi jarak pemanduan, Smart #5 Premium menawarkan jarak gerak sehingga 590km berdasarkan piawaian WLTP, manakala varian dwi-motor Brabus adalah sedikit rendah iaitu sejauh 540km WLTP.
Smart #5 merupakan sebuah SUV elektrik yang besar dan mempunyai beberapa ciri unik di bahagian luar serta dalamannya. Di papan pemuka, anda akan temui tiga skrin berasingan. Ia terdiri daripada panel instrumen digital 10.3″, skrin OLED tengah 13″ dan satu lagi skrin OLED 13″ khusus untuk penumpang hadapan. Sistem infotainmennya dikuasakan pemproses AMD Ryzen Embedded V2000.



Untuk audio, Smart #5 Premium dan Brabus dilengkapi sistem Sennheiser Signature Sound dengan 20 pembesar suara dan kuasa keseluruhan 1,190W. Sistem audio ini turut menyokong Dolby Atmos.
Dari segi ruang penyimpanan, ruang but belakang menawarkan kapasiti 630 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,530 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Terdapat juga ruang penyimpanan hadapan atau frunk. Varian RWD menawarkan kapasiti 72 liter, manakala Smart #5 Brabus AWD mempunyai ruang frunk yang lebih kecil pada 47 liter.

Untuk harga, Smart #5 Premium kini dijual pada RM209,800, manakala Smart #5 Brabus pula berharga RM259,800.
Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan sama ada unit berwarna Pulsar Red tersebut menandakan ketibaan varian baharu atau sekadar pilihan warna baharu untuk Smart #5 di Malaysia. Kita perlu menunggu pengumuman rasmi Smart Malaysia untuk mengetahui jawapannya.
Imej galeri Smart #5 Brabus


















Imej galeri Smart #5 Premium























