Samsung Malaysia dan Maybank kini secara rasmi memperkenalkan integrasi pembayaran QR MAE dalam Samsung Wallet, membolehkan pengguna telefon pintar Samsung Galaxy yang layak membuat pembayaran QR terus daripada Samsung Wallet tanpa perlu lagi membuka aplikasi MAE.
Ciri ini mula diperkenalkan pada 21 Julai 2026, sekali gus menjadikan Samsung Wallet bukan sekadar tempat menyimpan kad pembayaran atau pas digital, malah kini boleh digunakan untuk pembayaran QR.
Sebenarnya, kewujudan ciri ini sudah pun dikesan lebih awal menerusi bahan promosi Samsung Galaxy A27 5G, yang menyebut Samsung Wallet bakal menerima fungsi pembayaran QR bermula 21 Julai. Kini, ia akhirnya diperkenalkan secara rasmi hasil kerjasama antara Samsung Malaysia dan Maybank.
Tak perlu lagi buka aplikasi MAE


Dengan integrasi ini, pengguna hanya perlu membuka Samsung Wallet untuk membuat pembayaran menggunakan pembayaran QR MAE Maybank.
Lebih mudah, Samsung Wallet juga boleh diakses melalui Quick Access, sama ada dari skrin kunci, skrin utama atau ketika skrin dalam keadaan dimatikan. Ini bermakna pengguna tidak lagi perlu mencari dan membuka aplikasi MAE setiap kali ingin membuat pembayaran.
Selain mengimbas kod QR peniaga, ciri ini turut menyokong fungsi Show QR, yang membolehkan pengguna memaparkan kod QR sendiri untuk diimbas oleh peniaga.
Sokong DuitNow QR dan pembayaran rentas sempadan
Integrasi ini menyokong pembayaran menggunakan DuitNow QR di seluruh Malaysia. Bukan itu sahaja, pengguna juga boleh membuat pembayaran QR ketika berada di Singapura, Thailand, Indonesia dan Kemboja, menjadikannya lebih mudah digunakan semasa melancong ke negara-negara tersebut.
Setiap transaksi yang dilakukan melalui Samsung Wallet turut akan memberikan Samsung Rewards Points, yang boleh ditebus untuk pembelian produk Samsung atau baucar dalam aplikasi Samsung Members.
Cara mengaktifkan pembayaran QR MAE dalam Samsung Wallet

Untuk menggunakan ciri ini, pengguna perlu mengemas kini Samsung Wallet kepada versi 6.6.69 atau lebih baharu menerusi Galaxy Store.
Selepas itu, buka Samsung Wallet, pilih Quick Access, tekan “QR Payment Services” dan ikuti arahan pada skrin untuk pautkan akaun Maybank MAE yang aktif.

Sekiranya sudah berjaya dipautkan, untuk membuat pembayaran, anda hanya perlu sapu ke atas di skirn utama untuk akses Samsung Wallet, pilih “Scan QR code”, masukkan amaun pembayaran dan sahkan dengan biometrik atau PIN.
Pelaksanaan dibuat secara berperingkat
Walau bagaimanapun, ciri ini didapati dilancarkan secara berfasa, bukan sebagai kemas kini serentak pada semua peranti Samsung.
Dalam ujian kami, ciri ini masih didapati masih belum tersedia pada sesetengah peranti yang menggunakan Samsung Wallet versi lebih lama, termasuk Galaxy Z Fold 8 dengan Samsung Wallet padaversi 6.6.54. Sekiranya pilihan pembayaran QR masih belum muncul pada telefon anda, kemungkinan besar ia akan diperkenalkan menerusi kemas kini akan datang.
Samsung dan Maybank tawar ganjaran sehingga RM500,000

Bersempena pelancaran ciri baharu ini, Samsung dan Maybank turut menganjurkan kempen promosi bermula 28 Julai hingga 30 Oktober 2026, dengan menawarkan jumlah ganjaran keseluruhan bernilai sehingga RM500,000.
Pengguna yang memautkan dan mengaktifkan pembayaran QR MAE dalam Samsung Wallet akan menerima RM5. Selain itu, mereka juga berpeluang menikmati cashback atau baucar sehingga RM15 apabila membuat pembayaran menggunakan ciri tersebut.
Ganjaran ini diberikan di samping Samsung Rewards Points yang diterima bagi setiap transaksi.
ShopeePay turut dikesan dalam Samsung Wallet

Nampaknya bukan Maybank sahaja yang ingin memperkenalkan pembayaran QR dalam Samsung Wallet. Ini kerana hantaran pengguna di Threads turut menunjukkan ShopeePay muncul dalam antara muka Samsung Wallet.
Samsung bagaimanapun masih belum mengumumkan sokongan ShopeePay secara rasmi. Dengan itu, ia mencadangkan Samsung berkemungkinan bakal menambah lebih banyak pilihan pembayaran QR selain bank tradisional pada masa hadapan.
Bukan kali pertama Samsung menyokong pembayaran QR
Sebenarnya, ini bukan kali pertama Samsung menawarkan pembayaran QR pada telefon Galaxy di Malaysia. Pada 2020, Samsung Pay pernah bekerjasama dengan Boost, menjadikannya e-dompet pertama yang diintegrasikan ke dalam Samsung Pay. Namun, ciri tersebut dihentikan sekitar penghujung 2021.
Integrasi bersama Maybank kali ini boleh dianggap sebagai kemunculan semula pembayaran QR dalam Samsung Wallet, tetapi dengan sokongan yang lebih meluas menerusi DuitNow QR serta pembayaran QR rentas sempadan.
Langkah ini juga dilihat lebih relevan memandangkan pembayaran menggunakan kod QR kini menjadi antara kaedah pembayaran paling popular di Malaysia, dengan lebih tiga juta peniaga menerima pembayaran QR daripada rangkaian kedai besar hinggalah gerai dan perniagaan kecil.
Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Presiden Samsung Malaysia Electronics, Charles Kim berkata integrasi ini merupakan satu langkah penting dalam memperluaskan ekosistem Samsung Wallet di Malaysia, sekali gus memudahkan pengguna membuat pembayaran harian.
Sementara itu, Group Chief Digital Officer Maybank, Kalyani Nair berkata integrasi MAE QR Payment ke dalam Samsung Wallet selari dengan aspirasi ROAR30 Maybank untuk menyediakan pengalaman pembayaran digital yang lebih mudah, pantas dan lancar kepada pelanggan.






