Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Dec, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Telefon 5G pertama yang diiktiraf di Malaysia adalah Huawei Mate 30 Pro 5G

Huawei Malaysia hari ini boleh berbangga kerana menjadi pengeluar telefon pintar pertama yang menerima pengiktirafan 5G dari SIRIM. Telefon tersebut ialah Huawei Mate 30 Pro 5G, mengesahkan ia sedia digunakan dengan rangkaian 5G Malaysia yang akan mula dikomersialkan sekitar hujung tahun 2020.

Dalam sijil pematuhan yang dikeluarkan oleh SIRIM kepada Huawei, jalur frekuensi 5G yang disokong oleh Mate 30 Pro 5G ialah 700MHz, 3500MHz dan 3700MHz. Ia selari dengan pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan Laporan Akhir peruntukan Spektrum 5G di Malaysia.

Senarai jalur 5G di Huawei Mate 30 Pro 5G oleh SIRIM

Sebelum ini, Vivo Malaysia telah melancarkan NEX 3 5G, dikatakan sebagai telefon pintar 5G pertama dilancarkan di Malaysia. Tetapi semakan di SIRM mendapati ia tiada pengiktirafan 5G. Malah, laman produk NEX 3 juga tidak menyenaraikan jalur 5G yang digunakan, hanya rangkaian 2G, 3G dan 4G sahaja dipaparkan.

Vivo NEX 3 di SIRIM

Dari pengumuman ini, bermakna Huawei akan menjual Mate 30 Pro 5G di Malaysia tidak lama lagi. Tetapi apakah perbezaan versi 5G dengan versi 4G yang telah dijual di Malaysia? Laman DxOMark yang sering menjadi rujukan untuk ujian kamera, memberikan markah lebih tinggi untuk versi 5G berbanding versi 4G. Sedangkan, tiada perbezaan dari segi teknikal untuk kamera di kedua-dua telefon pintar ini.

Jawapan untuk perbezaan ini ialah pemprosesnya. Mate 30 Pro 4G dikuasakan oleh cip Kirin 990 manakala Mate 30 Pro 5G pula menggunakan cip Kirin 990 5G. Walaupun namanya hampir serupa, sebenarnya kuasanya sedikit berbeza, bukan dari segi 5G sahaja.

Cip Kirin 990 memiliki 8 teras iaitu gabungan dwi-teras berkuasa tinggi Cortex-A76 2.8GHz, dwi-teras berkuasa sederhana Cortex-A76 2.09GHz dan kuad-teras yang efisyen tenaga Cortex-A55 1.86GHz. Ia turut dipadankan dengan pemproses grafik Mali-G76 16-teras 600Mhz, bersama pemproses rangkaian neural (NPU) Da-Vinci yang menggabungkan teras Big dan Tiny.

BACA  Gambaran rupa telefon Samsung Galaxy S21 dan S21 Ultra akan datang

Manakala untuk cip Kirin 990 5G, ia memiliki tambahan modem 5G terbina padanya, selain dibina berasaskan arkitektur 7nm EUV, lebih baik dari arkitektur 7nm tanpa EUV di Kirin 990. Ia juga memiliki 8-teras yang sama dengan Kirin 990, tetapi teras berkuasa sederhana berkelajuan lebih tinggi, iaitu dwi-teras Cortex-A76 2.36GHz. Kuasa grafik juga lebih baik kerana ia turut memiliki kelajuan lebih tinggi 700MHz. Akhir sekali, cip ini dipasang dengan NPU Da Vinci dengan dwi-teras Big dan satu teras Tiny padanya. Kesemua ini menjadikan cip Kirin 990 5G memiliki prestasi lebih tinggi dari Kirin 990 4G.

Lain-lain dari ini, Mate 30 Pro 5G adalah sama dengan Mate 30 Pro 4G. Ia memiliki skrin OLED melengkung berukuran 6.53-inci dengan resolusi HD Penuh. RAM pula sebesar 8GB dan storan dalaman seluas 256GB, sedia menerima storan tambahan menerusi kad NM.

Untuk kamera, Mate 30 Pro meggunakan kamera utama 40MP F1.6, kamera ultra lebar 40MP F1.8, kamera telefoto 8MP F2.4 dan kamera sensor ToF 3D. Kamera hadapan pula 32MP F2.0 bersama pengesan kedalaman 3D.

Bateri di dalam Mate 30 Pro sebesar 4,500mAh dan menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge 40W melalui USB-C, bersama pengecasan wayarles pantas 27W. Sistem operasi EMUI 10 berasaskan Android 10 digunakan oleh siri Mate 30. Tetapi ia mungkin masih tidak disertakan perkhidmatan Google Mobile Services, memandangkan sekatan Amerika Syarikat masih belum dibatalkan.

Huawei Mate 30 Pro 4G telah dijual di Malaysia pada harga RM3,899. Dengan tambahan rangkaian 5G serta kuasa cip Kirin 990 5G yang lebih perkasa, pastinya ia akan diberi tanda harga lebih tinggi. Mungkin melebihi RM4,000. Untuk perbandingan, harga di China untuk Huawei Mate 30 Pro 4G dengan RAM 8GB dan storan 256GB ialah RMB6,299 (~RM3,722) manakala untuk versi 5G pula RMB6,899 (~RM4,076).

BACA  Google lancar pengganti Pixel 4 dengan harga lebih murah dan dilengkapi 5G

Adakah anda berminat untuk mendapatkan telefon pintar yang mendapat pengiktirafan 5G pertama di Malaysia ini kelak? Ia turut memiliki kamera yang hebat tetapi bersedia untuk menggunakannya tanpa Google.

Sumber: Huawei