Bagi melangkah ke tahap seterusnya untuk membina ekosistem khusus untuk 5G Standalone (SA), TM hari ini mengumumkan kerjasama dengan Huawei untuk program Ujian Saling Operasi yang memberi tumpuan kepada infrastruktur teras khusus SA. Ujian ini akan dibuat di lokasi Projek Demonstrasi 5G TM (5GSP) di Langkawi, Kedah.
Antara ujian yang akan dijalankan ialah fungsi perkongsian rangkaian antara penyedia khidmat telekomunikasi di Malaysia. Kejayaan ujian saling operasi ini akan menjadi batu loncatan bagi mempercepatkan lagi penyediaan 5G secara komersial di Malaysia, bermula pertengahan tahun 2020.
Dato’ Noor Kamarul Annuar Nuruddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM berkata, “TM dengan sokongan kepakaran Huawei, sedang menyediakan rangkaian 5GDP di Langkawi sebagai pusat inkubasi untuk penyedia telekomunikasi lain, perniagaan serta perusahaan tempatan untuk memperguna rangkaian dan pelbagai kes ujian 5G. Perkara ini dimungkinkan dengan rangkaian khusus TM SA yang dibangunkan di Langkawi, membawakan perkhidmatan jalur lebar mudah alih melangkaui rangkaian tradisional. Sebagai pemain aktif di 5GDP, kami sangat gembira melihat hasil kerjasama kami membuka laluan untuk model perniagaan dan kes ujian yang masih belum dibangunkan. Kami akan terus bekerjasama dengan pelbagai rakan niaga untuk menjalankan lebih banyak ujian dan kajian serta pembangunan produk yang menepati standard 5G, di samping mempromosi pembangunan ekosistem yang matang dan menyediakan asas untuk menyediakan era 5G yang akan datang, sekaligus mengukuhkan keududkan Malaysia sebagai Penyedia Infrastruktur 5G.”
Michael Yuan, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei pula menyatakan: “Huawei berterima kasih kepada TM kerana diberi peluang untuk bekerjasama dalam usaha meneroka teknologi 5G dan potensi untuk merealisasikan ekonomi digital, Revolusi Industri 4.0 dan membawakan sambungan lebih maju kepada semua rakyat Malaysia. Sebagai peneraju penyelesaian ICT global, nilai teras perniagaan kami berpusat kepada pelanggan. Kami berharap untuk membawakan teknologi 5G bagi menyokong langkah TM untuk mempromosikan sinergi ekosistem dengan pembuat peranti, pembuat cip dan pelbagai rakan industri.”
Ujian Saling operasi 5G ini mensasarkan untuk meningkatkan kerjasama di kalangan penyedia telekomunikasi, peralatan dan peranti pengeluar termasuk pelbagai rakan industri, bagi membina rangkaian industri 5G dari cip ke terminal, sehingga ke infrastruktur rangkaian dan peralatan ujian, seterusnya membina ekosistem 5G yang bersepadu. Kerjasama TM-Huawei ini merupakan langkah penting untuk mencapai tujuan tersebut. Kejayaan ujian ini juga akan mempromosikan usaha mengkomersialkan industri 5G dari hujung-ke-hujung merentasi rangkaian dan peranti. Ia dikatakan sebagai salah satu langkah terakhir untuk mengesahkan kesahihan penghantaran data 5G SA, menandakan sistem 5G SA bersedia untuk pelancaran komersial.