Penularan wabak koronavirus (COVID-19) telah menjejaskan semua rakyat di Malaysia dengan kesan yang sangat besar. Ia telah merubah senario masyarakat kita dan mengubah cara hidup kita. Kita mahu ini berakhir. Kita berharap agar boleh mengulang semula tahun ini dan memulakannya semula. Tetapi dalam apa jua cara, kita baru mula menangani wabak ini di negara kita dan di dunia. Lebih banyak lagi yang perlu dilakukan sebelum kita dapat keluar dari krisis global dan kembali kepada kewarasan dalam kehidupan seharian kita. Kita semua dalam hal ini perlu bersama dan oleh itu kita harus peka untuk mengetahui bahawa kita mengambil langkah yang betul. Ketelusan dan kejujuran adalah penting pada masa ini.
Canselor Jerman, Angela Merkel, menganggarkan bahawa 60 hingga 70 peratus penduduknya akan dijangkiti oleh koronavirus dan menurutnya, “….. sejak Perang Dunia ke-II, tidak ada cabaran yang lebih besar di negara kita yang sangat bergantung kepada kita untuk bertindak bersama-sama menerusi perpaduan“.
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, dalam mengisytiharkan perintah berkurung selama 4 minggu pada peringkat awal wabak COVID-19, berkata “Semua yang anda tinggalkan untuk beberapa minggu akan datang, semua hubungan yang hilang dengan orang lain, semua pengasingan, dan masa sukar menghiburkan anak – ia akan menyelamatkan nyawa. Beribu-ribu nyawa.” Beliau kemudian meminta kepada rakyatnya “Saya ada satu mesej terakhir. Berbuat baik ….. apa yang kita perlukan dari kamu, saling menyokong ….. Kita akan melalui ini bersama, tetapi hanya jika kita tetap bersama. Sentiasa kuat dan bersikap baik.“
Kita berada dalam masa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita dan dunia. Tiada pelan ke hadapan. Kita perlu terus mencatit ketika kita melaluinya dan itu akan menjadi sukar.
Pada masa ini, kita telah membuat pendirian yang penting dan bermakna. Kita bukan Itali, kita telah melakukan lebih baik daripada banyak negara Eropah dalam langkah kawalan COVID-19. Tetapi yang terburuk mungkin akan berlaku.
Terdapat tiga perkara yang perlu kita ambil penekanan, yang akan membolehkan kita bergerak ke hadapan. Tiga sudut atau titik segitiga yang penting bagi kita untuk bertahan dalam tempoh ini dan menangani epidemik ini (lihat gambar). Sekiranya ada satu yang terjejas, kita tidak akan dapat menghentikan wabak ini.
Pertama, kita perlu meneruskan langkah-langkah penjarakan fizikal (sosial) untuk menghentikan penularan virus. Kita boleh mencapai ini dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) . Tanpanya, kita akan berhadapan penularan wabak yang lebih dahsyat. Seperti yang diumumkan hari ini, ia menjadi keperluan untuk melanjutkan PKP selama tempoh dua minggu dan kita berharap ia tidak perlu dilanjutkan lagi.
Setiap rakyat Malaysia mempunyai peranan untuk dimainkan di sini. Jika sekurang-kurangnya sebahagian kecil masyarakat kita (10%) tidak menghiraukan PKP, maka kita akan menghadapi krisis. Sebagai contoh, lihat graf di bawah yang menunjukkan kesan daripada seorang atau satu kumpulan terhadap keseluruhan penularan wabak di Malaysia. Ini bukanlah untuk menyalahkan mana-mana individu atau kumpulan tetapi menunjukkan kepada kita bagaimana setiap antara kita boleh membuat perbezaan yang penting dalam menghentikan wabak ini atau memburukkannya. Jangkitan ini dibawa ke dalam kumpulan ijtimak tabligh yang menyumbang kepada lebih separuh daripada rekod jangkitan wabak di Malaysia dan ia terus merebak ke seluruh negara. Wabak ini juga tersebar luas ke negara-negara jiran.
Penyebaran luas seperti ini boleh berlaku dalam banyak situasi lain tanpa PKP. Ia boleh berlaku dalam persidangan, majlis perkahwinan, pengebumian, acara keagamaan yang besar, sambutan besar-besaran atau duduk makan bersama dalam masyarakat. Ia hanya memerlukan satu orang yang dijangkiti untuk menyebarkannya kepada orang lain dan seterusnya. Setiap rakyat Malaysia perlu mengambil serius terhadap PKP dan memainkan peranan mereka supaya kita dapat menamatkan perintah kawalan ini lebih awal.
Kedua, kubu pertahanan kita adalah ujian saringan. Kita perlu mengenal pasti semua orang yang dijangkiti dan kuarantinkan mereka. Saya telah bercakap lebih awal tentang ini tetapi ingin mengetengahkan sedikit lagi tentang apa yang sedang berlaku sekarang. Grafik di bawah menunjukkan ‘hasil ujian‘ dan ‘kadar positif‘ setiap hari untuk COVID-19, berdasarkan pengiraan data yang diperolehi daripada siaran akhbar KKM. Saya berhutang budi kepada dua rakyat Malaysia yang saya temui dalam talian semasa penularan wabak ini. Kami bersama-sama memikirkan melalui data ini dan mereka menawarkan pandangan berharga (mereka memilih untuk tidak dikenali). Data adalah terhad oleh bilangan ujian yang belum selesai dan kita tidak tahu data ujian saringan persendirian. Tetapi kadar jangkitan positif yang tinggi setiap hari (10 hingga 20 peratus) menunjukkan bahawa kita masih kurang melakukan ujian saringan.
Anda perlu menambah jaringan ujian ini secara meluas untuk mengenalpasti kes jangkitan apabila wabak itu tersebar di dalam komuniti (lihat artikel saya sebelum ini). Perhatikan sebaliknya bahawa hanya ~3% ujian saringan COVID-19 di Korea Selatan merekodkan kes yang disahkan, ~1% di Australia tetapi ~16% di Itali. Semakin tinggi jangkitan positif semakin lemah strategi ujian saringan. Graf ujian saringan untuk sejuta populasi penduduk dari “Our World In Data” juga menunjukkan di mana kedudukan kita tidak jauh berbeza berbanding negara lain (sesetengah data adalah maklumat lama dan negara mungkin telah bertambah baik).
Orang ramai memerlukan pandangan yang jelas tentang berapa banyak ujian yang telah dilakukan setiap hari (pulangan ujian harian) dan berapa banyak yang positif (kadar positif). Kita juga memerlukan data ini dari setiap negeri dan daerah supaya semua orang mengetahui risiko mereka dan bertindak sewajarnya. Pada masa ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerja sepenuh tenaga tetapi ramai individu bersedia untuk membantu kerja memproses data. Data seperti ini dari KKM akan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap ujian saringan kita.
Saya ingin terus mengingatkan semua bahawa terdapat peningkatan data yang menunjukkan kita menyebarkan COVID-19 tanpa menyedari kita dijangkiti. Satu kajian untuk menyokong kenyataan ini mencadangkan bahawa 86% daripada semua jangkitan tidak didokumentasikan dan merupakan sumber jangkitan untuk majoriti kes yang dikenalpasti. Satu lagi kajian mencadangkan bahawa banyak negara di dunia hanya mengesan 10 ke 30% kes saat ini.
Sebagaimana ramai yang menyatakan, pada masa ini anda perlu menganggap setiap orang yang ditemui sebagai positif COVID-19.
Akhir sekali, kita perlu menyokong ahli profesional penjagaan kesihatan kita. Mereka memerlukan sokongan kita untuk memastikan mereka mempunyai peralatan pelindungan diri yang mencukupi, keperluan harian mereka dipenuhi, dan keluarga mereka dijaga. Sangat sukar bagi ahli profesional penjagaan kesihatan untuk terus bekerja di waktu yang sangat memenatkan ini tanpa sokongan masyarakat. Tiada perancangan nasional atau KKM akan berfungsi dengan berkesan pada masa ini. Kita memerlukan inisiatif komuniti tempatan, iaitu membantu hospital atau pusat kesihatan daerah.
Kita memerlukan pemimpin masyarakat yang mempunyai integriti yang diiktiraf untuk memimpin inisiatif komuniti tempatan supaya ahli profesional penjagaan kesihatan tidak berhadapan masalah makanan sendirian. Saya telah melihat bagaimana bekas timbalan menteri kesihatan dan ahli Parlimen, Dr Lee Boon Chye, mengumpulkan sokongan untuk Hospital RPB Ipoh. Dia mempunyai rekod kebolehpercayaan dan kejujuran, oleh itu ramai yang telah menyahut seruannya untuk memenuhi keperluan praktikal ahli profesional penjagaan kesihatan di Hospital RPB Ipoh. Kumpulan yang dibentuk olehnya berhubungan dengan pengurusan hospital, mengenal pasti keperluan mendesak dan memenuhi keperluan mereka dengan cepat. Semua hospital dan pusat kesihatan daerah sangat memerlukan ini. Hospital-hospital yang tidak mendapat sokongan pada masa ini tidak seharusnya malu untuk bersuara mencari sokongan.
Kita mesti bekerjasama untuk mengukuhkan tiga langkah utama ini. Ia bukan hanya peranan kerajaan, KKM, dan Ketua Pegawai Keselamatan, tetapi peranan semua rakyat Malaysia. Mengambil semula kata-kata Angela Merkel, tidak ada cabaran yang lebih besar kepada Malaysia daripada wabak COVID-19 dan semuanya bergantung kepada kita bertindak bersama-sama menerusi perpaduan.
Tulisan ini diterjemah dari sumbangan oleh Dato’ Dr Amar-Singh HSS, Pakar Perunding Pedeatrik Kanan. Jika anda mempunyai artikel atau pendapat yang anda ingin sumbangkan untuk manfaat semua, kongsikan dengan kami di sini.