OnePlus memperkenalkan flagship 2020 mereka dalam satu livestream yang diadakan pada 14 April 2020. Di pihak beberapa media yang sedang memandu uji, rata-rata mereka katakan yang “flagship killer” sebenar sudah kembali tapi ia menyebabkan telefon ini tak lagi tergolong dalam kategori flagship “mampu milik”, sebaliknya “mampu lihat”.
Walau apapun, ini adalah 8 pembaharuan pada OnePlus 8 Pro yang boleh anda lihat.
1. Paparan ber-refresh rate 120Hz dengan resolusi QHD
OnePlus adalah antara pelopor telefon berefresh rate tinggi melalui OnePlus 7. Kemudian pada OnePlus 7T Pro, ia menyokong paparan 90Hz pada resolusi QHD. Tapi, untuk generasi ini, refresh rate dipertingkat kepada 120Hz pada QHD.
Bukan itu saja, panel AMOLED yang digayakannya menerima pelbagai anugerah pihak ketiga seperti Display Mate dan pensijilan SGS Eye Care Display.
2. Sensor kamera gergasi
Bahagian kamera OnePlus 8 Pro menerima naik taraf saujana. Paling ketara adalah saiz sensor utamanya. Disebalik bonggolan kamera yang tebal itu ada sensor 1/1.4” berbanding 1/2″ pada OnePlus 7 Pro. Ia diterjemah kepada hampir 36% lebih besar.
Lebih luas permukaan mengumpul cahaya, lebih baik keupayaan low-light-nya.
Kamera ultralebar OnePlus 8 Pro juga tak kurang hebatnya. Ia turut ada sensor 48MP IMX586 yang banyak digunakan pada kamera telefon flagship 2019. Jadi, untuk rakaman video, anda boleh jangkakan hasil sehebat kamera utamanya.
3. OnePlus pertama miliki IP68
Nama sahaja “flagship killer”, tapi IP rating pun tiada. Itulah rungutan orang ramai sejak sekian lama terutamanya pada OnePlus 7 yang harga menghampiri RM3,000 tapi tidak kalis air.
Penyokong tegar OnePlus mengatakan yang kehadiran kamera pop-up jadikan ciri kalis air hampir mustahil. Untuk generasi ini, mereka menggunakan paparan berlubang dan IP68 kini jadi kenyataan.
4. OnePlus dengan bateri terbesar setakat ini
9 generasi produk OnePlus tak pernah melepasi garisan 4,000mAh bateri. Tapi untuk OnePlus 8 Pro, kapasiti bateri bukan saja diperbesar, malah 11% lebih besar berbanding OnePlus 7T Pro.
Untuk hayat bateri, pengguna tak perlu risau lagi kerana selain pengecasan pantas 30W, ia turut menyokong pengecasan pantas wayarles 30W.
5. Pengecasan pantas wayarles pertama OnePlus
Ciri pengecasan wayarles pada telefon ini perlu jadi poinnya yang tersendiri kerana ia julung kalinya hadir pada telefon OnePlus, sejak sekian lama dipinta peminatnya.
Daripada bermula dengan pengecasan 5W saja, ia terus melangkau kepada pengecasan pantas 30W. Jadi, anda boleh jangkakan pengecasan wayarles pada telefon ini lebih pantas daripada sesetengah pengecasan berkabel jenama lain.
Siri OnePlus 8 kali ini diperkasa SoC Snapdragon 865, yang terhebat setakat ini dalam gudang Qualcomm. Tidak perlu dipertikai lagi prestasinya kerana semua flagship 2020 akan gunakannya, kecuali Huawei dan Apple yang masing-masing ada penyelesaian mereka tersendiri.
6. SoC, RAM, dan storan generasi baharu
Selain SoC baharu, bahagian RAM telah ditambah baik kepada LPDDR5 yang lebih jimat tenaga tapi lebih pantas.
Lagi untuk digandingkan dengan pemprosesan berkuasa itu, OnePlus juga mengenakan storan berpiawaian UFS 3.0 padanya. Miliki kemampuan menulis dan membaca sekurang-kurangnya 2Gbps, anda boleh jangkakan prestasi harian yang lancar.
7. OnePlus termahal setakat ini
Di U.S sana, OnePlus sudahpun dilancarkan pada harga USD999. Ia sudahpun menerima rungutan media-media yang sedang memandu ujinya di sana kerana peningkatan daripada OnePlus 7T Pro yang agak mendadak.
Maka, anda boleh jangkakan harga relatif yang serupa apabila ia tiba di Malaysia kelak. Untuk rujukan, OnePlus 7T Pro dijual pada harga bermula RM3,399 dan anda mungkin melihat pada harga menghampiri RM4,000 untuk memilikinya.
8. Sokongan 5G dan Wi-Fi 6
Ini mungkin fungsi picisan yang tak penting buat masa ini, tapi cukuplah anda ketahui yang OnePlus 8 Pro ini bersedia untuk gelombang 5G yang sedang memukul dunia teknologi sekarang.