Persidangan Apple WWDC tahun ini dibuka kepada semua pembangun secara percuma

Apple hari ini menuruti langkah yang dilakukan semua syarikat semasa penularan COVID-19. Mereka akan mengadakan persidangan tahunan pembangun antarabangsa, Apple WWDC 2020 secara maya sahaja. Persidangan ini akan diadakan pada 22 Jun 2020 dan acara ini boleh disertai secara percuma oleh semua pembangun, menerusi laman web Apple Developer atau aplikasi Apple Developer.

Apple turut mengumumkan pertandingan Swift Student Challenge, di mana pelajar berpeluang memperlihatkan kepakaran mereka menulis kod pengaturcaraan dengan membangunkan sendiri Swift Playground mereka. Ia dibuka sehingga 17 Mei dan pemenang akan menerima jaket eksklusif WWDC 2020 dan set pin. Maklumat lanjut boleh didapati di sini.

Apple WWDC 2020 kini memasuki tahun ke-31, ia menjadi peluang untuk jutaan pembangun perisian di seluruh dunia mendapatkan akses awal kepada pelbagai ciri-ciri akan datang di iOS, iPadOS, macOS, tvOS, dan watchOS. Ia juga merupakan tempat untuk pembangun mendengar sendiri dari jurutera Apple, proses membina produk Apple yang membantu kehidupan manusia seharian.

“WWDC akan menjadi persidangan terbesar kami setakat ini, membawakan komuniti pembangun global seramai lebih 23 juta orang, untuk berkumpul selama seminggu di bulan Jun, bagi mempelajari masa depan platform Apple,” kata Phil Schiller, Naib Presiden Kanan Pemasaran Antarabangsa Apple.

“Kami tidak sabar untuk bertemu komuniti ini dalam talian pada bulan Jun nanti dan berkongsi dengan mereka semua tentang perkakas baharu yang sedang kami bangunkan supaya mereka boleh mencipta lebih aplikasi dan perkhidmatan yang hebat. Kami akan berkongsi lebih banyak maklumat tentang WWDC2020 dengan semua tidak lama lagi.” tambah Phil.

Sumber: Apple