Oppo Malaysia hari ini mengesahkan akan membawakan siri Oppo Reno3 ke Malaysia tidak lama lagi. Telefon pintar ini telah dilancarkan di China pada hujung tahun lepas dan membuat kemunculan di Asia Tengah pada bulan Mac.
Bagaimanapun, Oppo Malaysia tidak menjelaskan bilakah tarikh pelancaran siri Reno3 ini di Malaysia. Melalui pengumuman ini, kami jangka ia akan dijual di Malaysia sekitar bulan Mei ini, bagi menarik perhatian pembeli yang akan berbelanja sempena ketibaan Hari Raya hujung bulan ini.
Di Asia Tengah, terdapat dua model Reno3 diperkenalkan iaitu Reno3 dan Reno3 Pro. Kedua-dua model ini memiliki rupa fizikal, kuasa dalaman dan spesifikasi kamera yang berbeza. Boleh dikatakan, hampir tiada persamaan.
Oppo Reno3 Pro adalah peranti yang lebih perkasa, menggunakan cip Mediatek Helio P95 bersama RAM 8GB dan storan sehingga 256GB. Skrinnya berukuran 6.4-inci HD Penuh dari jenis Super AMOLED, dengan lubang di atas kanan untuk meletakkan kamera hadapan.
Ia memiliki empat kamera di belakang dengan kamera utama 64MP, kamera telefoto, ultra lebar dan mono. Manakala kamera hadapannya gandingan kamera utama 44MP dan 2MP. Baterinya sebesar 4,025mAh dan menyokong pengecasan pantas VOOOC 4.0 30W melalui USB-C.
Oppo Reno3 pula dikuasakan cip Mediatek Helio P90, RAM 8GB dan storan 128GB. Skrinnya berukuran 6.4-inci HD penuh dari jenis Super AMOLED, tetapi menggunakan takuk untuk menempatkan kamera hadapan.
Reno3 juga ada empat kamera belakang iaitu kamera utama 48MP, kamera telefoto, ultra lebar dan mono. Kamera hadapan di dalam takuk pula ialah kamera 44MP. Persamaannya dengan versi Pro ialah bateri 4,025mAh dan pengecasan pantas VOOC 4.0 30W.
Untuk perbandingan, Oppo Reno3 Pro (8GB+256GB) telah dijual di UAE pada harga AED1,899 (~RM2,228), manakala Oppo Reno3 (8GB+128GB) pula berharga AED1,399 (~RM1,641). Dijangka harga untuk Malaysia tidak jauh dari harga ini.
Di China, siri Oppo Reno3 datang dengan sokongan rangkaian 5G tetapi model di Asia Tengah tiada pula 5G. Memandangkan Oppo Malaysia tidak menyatakan apa-apa perkara mengenai 5G dalam pengumuman awal ini, model di Malaysia juga dilihat tidak akan menyokong rangkaian 5G.