Dalam keadaan pandemik COVID-19 yang masih memberi kesan kepada kehidupan manusia di seluruh dunia, Apple dan Google bergabung tenaga membangunkan platform pengesanan kontak COVID-19 yang berasaskan teknologi Bluetooth.
Platform itu adalah Antaramuka Program Aplikasi (API) untuk Pemberitahuan Pendedahan COVID-19. Ia telah dilancarkan pada 21 Mei 2020 dan sudah tersedia untuk kegunaan penguatkuasa kesihatan awam di seluruh dunia.
Jika anda tertanya-tanya bagaimana sistem ini berfungsi dan membantu membendung penularan wabak COVID-19 atau adakah ia akan mengancam privasi individu, berikut adalah penjelasannya:
1. Pemberitahuan pendedahan menyokong usaha pengesanan kontak COVID-19 sedia ada
Pelbagai kerajaan dan pihak berkuasa tempatan di seluruh dunia, telah menghasilkan kaedah pengesanan kontak mereka sendiri. Penyelesaian yang dibawa oleh Apple dan Google ini tidak bermaksud untuk menggantikannya, tetapi adalah membantu usaha sedia ada yang masih penting.
Cabaran yang dihadapai oleh pihak berkuasa kesihatan awam dengan kaedah sedia ada, ia sukar untuk mengenal pasti kontak secara meluas dan menggunakan banyak tenaga. Sebagai contoh, jika seseorang disahkan dijangkiti COVID-19, pihak berkuasa kesihatan perlu melaksanakan pengesanan kontak terdekat secara manual dan ia mengambil masa.
Seterusnya, cabaran yang dihadapi adalah data yang tidak lengkap. Seorang individu mungkin boleh mengecam orang yang berhubung terus secara fizikal. Jika dia ke restoran atau kedai, berkemungkinan terdapat rekod kehadiran pelanggan lain.
Masalah dalam kaedah semasa adalah kontak yang tidak dikenalpasti, terutamanya di kawasan awam atau di dalam pengangkutan awam. Tidak semua orang boleh ingat ke mana mereka pergi dan dengan siapa mereka berhubung secara langsung atau tidak, dalam tempoh 14 hari sebelum dia disahkan positif COVID-19.
Dengan penyelesaian berasaskan Bluetooth ini, Apple dan Google berharap dapat mengurangkan jurang ini dan membantu pihak berkuasa kesihatan untuk mengesan dan memberitahu mereka yang berisiko dijangkiti dengan mudah.
2. Perlindungan Privasi
Privasi merupakan fokus utama buat Apple dan Google, kerana dipercayai akan menjadi faktor utama untuk melibatkan orang ramai. API Pemberitahuan Pendedahan COVID-19 tidak menggunakan GPS atau maklumat tempat. Ia hanya menggunakan Bluetooth sahaja.
Dengan menggunakan Bluetooth bertenaga rendah (LE), semua peranti berdekatan yang mempunyai Bluetooth dan memiliki aplikasi pengesanan kontak akan dikesan dan direkodkan. Data ini akan disimpan selama 14 hari. Aplikasi yang terlibat dilarang untuk mendapat kebenaran mengakses perkhidmatan lokasi.
Berdasarkan maklum balas yang diterima, Apple dan Google memastikan bahawa setiap peranti menjana kunci secara rawak setiap hari. Tambahan pula, semua metadata yang berkait dengan Bluetooth akan disulitkan (encrypted), menjadikan ia lebih sukar untuk mengenalpasti seseorang berdasarkan perpindahan maklumat dari model telefon tertentu.
Data yang terkumpul hanya akan digunakan untuk menyampaikan pemberitahuan pendedahan oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan. Selepas ia tidak lagi diperlukan, Apple dan Google akan mematikan fungsi berkenaan secara berperingkat.
3. Hayat bateri dan keupayaan saling kendali
Kebimbangan utama yang wujud terhadap aplikasi pengesanan adalah kestabilan dan kadar penggunaan bateri. Ini berikutan cabaran teknikal yang dihadapi oleh pembangun aplikasi yang diselesaikan oleh Apple dan Google menerusi API.
Dengan puluhan aplikasi pengesanan kontak yang tersedia, adalah sukar untuk mengenalpasti kontak yang berada di negeri atau negara berbeza. Penyelesaian yang dibawa oleh Apple dan Google ini memastikan, perkara berkenaan dapat diatasi dengan sokongan di pelbagai peranti dan aplikasi menggunakan API yang sama. Ia bermaksud, peranti dengan aplikasi pengesanan kontak dari Singapura boleh mengesan peranti lain yang memuat turun aplikasi pengesanan kontak dari Malaysia, jika keduanya menggunakan API yang sama.
4. Pengguna mempunyai kawalan penuh termasuk melaporkan diagnosis positif
Langkah utama bagi mengekalkan privasi data adalah, memberikan pengguna kawalan penuh apabila melibatkan pengesanan kontak. Ia direka bagi memberikan pengguna pilihan untuk mengaktifkan atau menutup pemberitahuan pendedahan pada bila-bila masa.
Bergantung kepada aplikasi pengesanan kontak, API ini turut menyediakan pilihan untuk pengguna memaklumkan status jangkitan sebagai positif. Pengguna boleh menghantar diagnosis positif COVID-19 dan rekod kunci identiti Bluetooth yang terdapat di dalam peranti mereka kepada pihak berkuasa kesihatan awam. Padanan pemberitahuan pengesahan hanya boleh dilakukan di peranti dan dikawal selia oleh pengguna.
5. Kerjasama erat dengan Penguatkuasa Kesihatan Awam
Apple dan Google telah menjalankan kerjasama erat dengan pihak berkuasa kesihatan untuk membangunkan sistem API mereka. Berdasarkan maklum balas diterima, pihak berkuasa terlibat boleh menetapkan apa yang mengakibatkan jangkitan. Ia juga membolehkan mereka menetapkan jangkaan dan faktor risiko kes jangkitan positif.
Sistem API ini turut memberi fleksibiliti kepada aplikasi pengesanan kontak, untuk mendapatkan maklumat tambahan daripada pengguna bagi membantu untuk menghubungi kontak yang berisiko.
6. Terhad kepada satu aplikasi setiap negara
Bagi memastikan sistem ini dapat diimplimentasikan secara meluas dan mengelakkan perpecahan pengguna, hanya satu aplikasi pengesanan kontak sahaja yang dibenarkan untuk dipadankan dengan API ini di setiap satu negara. Sekiranya ada keperluan untuk pendekatan mengikut negeri, ia turut akan disokong.
Pada masa ini Malaysia mempunyai beberapa aplikasi berkaitan COVID-19, antaranya MyTrace dan Gerak Malaysia. Seperti yang dilaporkan, aplikasi MyTrace telah memohon untuk menggunakan sistem API ini dijangka ia akan diterapkan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Sehingga hari ini, 22 negara dari lima benua telah membuat permohonan dan menerima akses kepada API Pemberitahuan Pendedahan ini.
7. Menyokong peranti iOS dan Android
Buat pengguna Apple, pemberitahuan pendedahan inin telah tersedia di dalam kemaskini iOS 13.5 yang disokong oleh model iPhone 6s dan SE ke atas. Pengguna perlu memastikan sistem operasi mereka telah dikemaskini kepada versi terkini.
Bagi pengguna Android pula, sistem API ini boleh digunakan untuk peranti dengan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow ke atas. Fungsi pemberitahuan pendedahan ini akan dimasukkan di dalam Google Play Store bagi memastikan ia dapat digunakan secara meluas. Jadi, walaupun terdapat telefon yang tidak menerima kemaskini OS atau security patches, ia masih boleh membuat pengesanan kontak dengan memuat turunnya.
Sumber: SoyaCincau