Honor Malaysia kini mengumumkan bahawa mereka akan membuka tempahan awal untuk laptop terbaru, Honor MagicBook 14 pada 7 Julai 2020. Ia bukanlah laptop serba baharu kerana hanya luaran sahaja yang berbeza, kuasa di dalamnya masih sama dengan laptop yang pertama dilancarkan di Malaysia pada bulan April lepas.
Bagaimanapun, laptop dengan rupa baru ini memiliki harga lebih tinggi dari laptop terdahulu. Malahan, spesifikasinya sedikit rendah apabila memiliki storan SSD 256GB sahaja, berbanding SSD 512GB pada laptop sebelum ini. Harga jualannya RM200 lebih mahal, iaitu RM2,499 berbanding RM2,299.
Tempahan awal laptop Honor MagicBook 14 ini boleh dibuat di 2 tempat. Pertama di Stor Fizikal Honor, dari 7 hingga 16 Julai 2020. Tempat kedua pula di Stor Online HiHonor dan di Stor Honor Shopee, dari 7 hingga 13 Julai 2020.
Mereka yang membuat tempahan awal dalam tempoh ini, akan turut menerima hadiah percuma bernilai RM817 dalam bentuk jam pintar Honor Watch Magic, beg laptop dan tetikus Bluetooth.
Perbezaan utama Honor MagicBook 14 yang baru ini dengan model yang lama, antaranya ialah rekaan luarnya yang kini memiliki garisan biru di bucu badan. Selain itu, ia juga lebih ringan, kini hanya 1.38kg berbanding 1.45kg dahulu.
Satu lagi ialah kamera webnya, kini terletak di dalam papan kekunci dan boleh disembunyikan. Pengimbas capjarinya masih terdapat pada butang kuasa.
Selain itu, perkakasnya adalah sama. Honor MagicBook 14 ini dikuasakan cip AMD Ryzen 5 3500U, bersama pemproses grafik AMD Radeon Vega 8. RAM DDR4 di dalamnya sebanyak 8GB dan storannya dari jenis SSD PCIe NVMe, kini dikurangkan kepada 256GB berbanding 512GB sebelum ini.
Skrin laptop ini berukuran 14-inci, dengan resolusi HD Penuh 1920×1080. Saiz bingkainya yang lebih nipis, menjadikan ruang skrin lebih luas dengan nisbah skrin-ke-badan sebanyak 84%.
Tenaga baterinya boleh memberikan hayat penggunaan sehingga 10 jam tanpa henti dan ia dicas melalui USB-C dengan kuasa mengecas 65W. Pegecasan selama 30 minit boleh memenuhkan hampir separuh kapasiti bateri. Sambungan yang terdapat padanya ialah 2 port USB-A, HDMI, jek audio 3.5mm dan USB-C yang turut digunakan untuk mengecas.
Satu fungsi unik yang terdapat di laptop ini adalah Magic-Link 2.0, yang membenarkannya berhubung dengan telefon Honor yang serasi, untuk menghantar dan menerima fail dengan pantas. Ia juga boleh berkongsi skrin serta mengalihkan fail dengan mudah menggunakan tetikus dan papan kekunci.