Kalau anda ada bajet RM1,000 untuk beli telefon pintar, apakah pilihan yang ada? Salah satu darinya adalah Galaxy A31, yang berharga RM1,099 di Malaysia. Memang mahal sikit tapi adakah ia berbaloi dengan harganya?
Samsung Galaxy A31 adalah ahli keluarga siri Galaxy A. Seperti pada nombornya, prestasinya berada di bawah Galaxy A51 yang berharga RM1,299 dan di atas Galaxy A21s berharga RM939.
Berita baiknya, Samsung ada promosi untuk Galaxy A31 iaitu diskaun RM50 menjadikan harganya RM1,049 sahaja, bersama YouTube Premium percuma selama 2 bulan. Nak tahu pasal YouTube Premium tu apa, boleh rujuk di sini.
Di sini saya nak kongsikan pengalaman ringkas saya bersama telefon ini.
Buka kotak
Dari luar, kotak Galaxy A31 sama seperti kotak telefon pintar lain. Berwarna putih dan berbentuk petak. Cuma, untuk dibuka ia bukan diangkat ke atas, sebaliknya ditarik keluar. Tapi tak ada apa yang menarik pun pasal ni.
Di dalamnya, selain telefon pintar, Samsung menyediakan aksesori berupa fon kepala berwayar, kepala pengecas 15W dan kabel USB-C. Terdapat juga pin untuk mengeluarkan dulang kad SIM dan mikroSD.
Kepala pengecas ini ada 2 tahap pengecasan, 5V2A (10W) dan 9V1.67A (15W). Ini adalah standard pengecasan pantas Samsung yang sekian lama digunakan dari Galaxy S6 yang dilancarkan pada 2015. Di Galaxy S10 pun masih 15W, masuk Galaxy S20 barulah ada pengecas 25W.
Spesifikasi dalaman
Di dalam, Galaxy A31 dikuasakan oleh cip Mediatek Helio P65. Pelik juga kerana biasanya Samsung akan gunakan cip keluaran mereka sendiri, Exynos untuk telefon pintar kelas pertengahan. Spesifikasi penuh telefon ini adalah seperti berikut:
- SoC: Mediatek Helio P65
- RAM: 6GB
- Storan: 128GB
- MikroSD: sehingga 512GB
- Skrin: Super AMOLED, 6.4-inci, FHD+, Infinty-U
- Bateri: 5,000mAh
- Pengecas: 15W USB-C
- Kamera belakang:
- Kamera utama 48MP F2.0
- Kamera ultra lebar 8MP F2.2
- Kamera makro 5MP F2.4
- Kamera potret 5MP F2.4
- Kamera hadapan:
- Kamera utama 20MP F2.2
Rupa luaran
Sekilas pandang, sukar untuk bezakan rupa Galaxy A31 dengan Galaxy A51 dan Galaxy A71. Sebab ia ada kemasan prisma yang sama di belakang. Tetapi jika diletak bersebelahan, boleh diketahui yang mana kerana saiznya. Galaxy A31 paling kecil, diikuti Galaxy A51 dan paling besar Galaxy A71.
Samsung tidak menyatakan apakah jenis kaca yang digunakan untuk skrinnya, jadi selamat untuk dikatakan ia bukannya kaca Corning Gorilla. Di belakang pula, ia menggunakan plastik yang kelihatan seperti kaca, atau dipanggil “glasstic”. Plastik menjadikannya lebih mudah calar berbanding kaca, tetapi lebih tahan lasak. Bila dipegang, rasa tak premium macam telefon lebih mahal.
Skrin seluas 6.4-inci dengan resolusi HD Penuh ini adalah saiz yang sedap dipegang. Tetapi takuk U yang agak besar sedikit merencatkan rupanya, di samping bingkai lebih tebal di bawah. Berbeza dengan Galaxy A21 yang lebih baru dan memiliki skrin Infinity-O berlubang yang lebih kecil dan lebih cantik dipandang.
Jek audio 3.5mm masih dikekalkan di telefon ini, terletak di bawah di samping port USB-C dan jeriji speaker mono. Butang kuasa dan butang kawalan bunyi juga sudah disusun di sisi yang sama, di sebelah kanan. Satu perubahan yang agak baru untuk peranti Samsung.
Slot kad terletak di sebelah kiri, boleh memuatkan sehingga tiga kad serentak iaitu dua kad sim nano dan satu kad mikroSD. Ia menerima kad mikroSD sehingga 512GB untuk storan tambahan.
Pengalaman
Skrin Super AMOLED pada telefon ini kelihatan cantik dan lebih terang dari skrin LCD. Tetapi sebab sudah biasa dengan skrin Galaxy S10+, skrin pada Galaxy A31 ini nampak kurang menyerlah.
Seperkara lagi, pengimbas capjari di dalamnya masih kurang sensitif. Untuk merakam capjari, ia memerlukan sekitar 10 imbasan. Tetapi masih sukar mengecam, boleh dikatakan 2 dari 5 berjaya, 3 kali gagal. Dimaklumkan, pengecaman ini akan semakin baik dengan lebih banyak imbasan di masa akan datang.
Satu lagi yang terasa kekurangan yang ketara adalah pada bunyinya. Speaker mononya kedengaran kurang lantang, walaupun dinaikkan ke tahap tertinggi. Ia bertambah sukar didengar jika bukan berada di kawasan yang senyap. Walau ketika menonton TV dengan suara sederhana, agak sukar mendengarnya.
Untuk harga melebihi RM1,000, banyak telefon pintar jenama China yang dilengkapi prestasi tinggi untuk bermain game. Kebanyakan cip kelas pertengahan kini boleh menjalankan game dengan grafik yang tinggi. Tetapi cip Helio P65 agak lemah dari segi grafik.
Untuk PUBG Mobile, tetapan lalainya ialah Balance dan Medium dan boleh bermain dengan lancar. Apabila dinaikkan ke HD dan Medium, kadar bingkainya menurun dan kadang kala tersekat. Di Call of Duty Mobile pula, tetapan lalai ialah Low dan tiada pilihan High.
Bergambar
Dengan banyaknya kamera belakang, ia memberi ruang untuk bergambar dengan lebih luas. Walaupun tiada kamera telefoto, ia masih boleh dibuat menerusi zum digital. Kamera ultra lebar lebih penting sebab boleh ambil gambar lebih luas, tak perlu bergerak ke belakang.
Nak gambar bokeh, subjek tajam latar kabur, boleh pilih Live Focus. Bagusnya sekarang dah tak payah pegi dekat. Dulu-dulu, Live Focus ni kena jarak jauh dengan subjek baru boleh tangkap gambar bokeh.
Samsung banyak iklankan telefon Galaxy A31 ni pasal kamera makro dia. Kamera makro ni 5MP, lagi tinggi resolusi dari kebanyakan telefon lain. Tapi fokusnya agak susah. Dalam previu skrin, nampak dah tajam. Tapi bila tangkap masih kabur. Mungkin kena berguru dengan cikgu lain pasal kamera makro ni.
Kelemahan besar di kamera Galaxy A31 ialah tiada mod malam atau night mod. Kalau nak ambil gambar dalam suasana malap, memang sukar. Biasanya ia dilakukan dengan pembukaan lebih lama, seperti 10 saat agar lebih banyak cahaya dapat ditangkap. Mod malam ini tiada, mungkin kerana kurang kemampuan kamera atau kuasa pemproses yang tidak mencukupi.
Kamera hadapan ada satu, tapi ada dua pilihan macam ada kamera ultra lebar pula. Live Focus pun ada untuk kamera hadapan, jadi boleh ambil gambar swafoto potret bergaya, dengan latar yang kabur. Beberapa benda halus macam rambut tu tak dapat dibezakan dengan tepat, jadi kabur sikit rambut tu. Tetapi bahagian lain nampak dipisahkan dengan baik, seperti di baju.
Nak beli ke tak
Dengan harga RM1,099, susah nak cadangkan Galaxy A31 untuk dibeli. Pesaing seperti Xiaomi dan Realme, ada model yang lebih baik dengan prestasi lebih tinggi untuk main game, seperti Redmi Note 9 Pro dan Realme 6. Cuma, kekuatan Galaxy A31 adalah pada skrinnya, yang masih kurang selesa kalau main game tersekat-sekat ni.
Selain skrin, mereka yang mahukan fungsi unik peranti Samsung seperti Samsung Pay, boleh mendapatkan Galaxy A31. Ia adalah telefon Samsung termurah masa kini dengan NFC dan skrin HD Penuh.
Ada banyak pilihan yang lebih baik di bawah RM1,000 tetapi tanpa skrin AMOLED. Jika mahu juga, lebih baik tambah sikit wang untuk mendapatkan Galaxy A51 yang berharga RM1,299. Sekurang-kurangnya prestasinya lebih diyakini.
Kalau anda jadi juga beli Galaxy A31 ni, jangan lupa tebus YouTube Premium percuma selama 2 bulan ya. Boleh buka aplikasi YouTube dan akan keluar notis untuk menebus tu.