Selain talian mudah alih, Digi juga ada menyediakan perkhidmatan jalur lebar tetap dengan liputan sangat terhad. Tidak lama lagi, mereka akan meluaskan liputan ini apabila mengumumkan kerjasama dengan Telekom Malaysia (TM).
Dengan kerjasama ini, TM akan menyediakan Perkhidmatan HSBB Peringkat 3 kepada Digi, sekaligus membolehkan Digi meluaskan capaian mereka ke lebih banyak kawasan di seluruh Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak. Awal tahun ini, Digi telah mengumumkan kerjasama yang serupa dengan Time, untuk menggunakan rangkaian fiber 100% milik Time.
Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Amar Huzaimi Md Deris, Naib Presiden Eksekutif, TM Wholesale dan Loh Keh Jiat, Ketua Pegawai Pemasaran, Digi.
Mengulas mengenai kolaborasi berkenaan, Amar Huzaimi berkata, “Pandemik Covid-19 telah membuktikan yang masyarakat serta organisasi sangat bergantung kepada sambungan internet untuk komunikasi dalam talian dan perisian digital bagi kekal terhubung dan kekal produktif ketika berada di rumah. Kami teruja dapat memeterai satu lagi kolaborasi dengan Digi, yang menggambarkan komitmen bersama kami dalam memastikan sambungan yang menyeluruh, stabil dan sentiasa tersedia untuk rakyat Malaysia, di mana perkara ini terus menjadi elemen penting bagi merancakkan semula ekonomi negara pasca pandemik dan seterusnya. Sebagai penyedia infrastruktur telekomunikasi dan digital negara untuk memacu aspirasi Digital negara, TM sentiasa menyokong teguh perkongsian infrastruktur dan kolaborasi peringkat industri ini yang menggunakan perkhidmatan rangkaian HSBB kami sebagai platform memperkukuhkan komitmen kami ke arah memacu penerimaan jalur lebar. Oleh itu, kami akan terus memainkan peranan unik kami sebagai penyedia neutral dengan menyediakan akses terbuka kepada pencari akses (access seekers) dalam kalangan rakan-rakan pemain industri. Ini akan membuka ruang kepada penawaran pakej-pakej internet yang lebih pelbagai dan kreatif buat rakyat Malaysia, menepati janji kami untuk ‘Menjadikan Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah demi Kesejahteraan Malaysia’.”
Menurut Loh pula, “Kolaborasi dengan TM ini akan membolehkan Digi menghubungkan 3 juta isi rumah lagi di seluruh negara dengan perkhidmatan internet fiber, justeru memberikan lebih pilihan kepada pelanggan untuk menikmati pengalaman sambungan menyeluruh, sama ada ketika di rumah atau di luar rumah bersama kami. Kami sentiasa melihat kolaborasi sebagai satu cara positif untuk membawakan akses yang efisien dan meluas kepada rakyat Malaysia seluruh negara, dan ini merupakan sesuatu yang lebih penting untuk menyokong keperluan sambungan para pelanggan kami pada waktu sebegini.”
Buat masa ini, Digi ada menyediakan pelan jalur lebar tetap dari serendah RM130/bulan dengan kelajuan sehingga 100Mbps. Mereka turut menawarkan kelajuan terpantas sehingga 1Gbps, pada kadar RM290/bulan. Jika anda pengguna talian mudah alih Digi, anda boleh menerima sehingga 20% diskaun jika melanggan pelan 500Mbps dan 1Gbps.