Demi memastikan dunia masa hadapan boleh dinikmati anak muda masakini, Apple hari ini membentangkan kertas kerja yang menerangkan komitmen mereka, untuk memastikan semua operasi mereka bebas karbon 100% pada tahun 2030. Apple telah pun beroperasi tanpa karbon di ibupejabat mereka dan kini mahu memastikan ia turut tidak memberi impak kepada alam sekitar dalam penghasilan produk.
Tim Cook, Ketua Pegawai Operasi (CEO) Apple menjelaskan, perniagaan kini berpeluang untuk membantu masa depan yang lebih mapan dalam planet yang diduduki bersama. Inovasi yang dibentang Apple ini bukan sahaja baik untuk bumi, tetapi ia turut membantu menjadikan produk Apple lebih cekap tenaga dan membawa sumber tenaga baru yang bersih ke seluruh dunia. Tindakan Apple ini boleh menjadi asas untuk era baru inovasi, peluang pekerjaan dan pengembangan ekonomi yang lebih kukuh. Apple juga berharap agar komitmen mereka ini akan membuka laluan kepada perubahan lebih besar.
Dalam pelan ini, Apple mensasarkan untuk mengurangkan pelepasan karbon kepada 75% dalam masa 10 tahun, sambil menghasilkan cara inovatif pembuangan karbon untuk 25% lagi. Garis masa 10 tahun bebas karbon Apple dicapai melalui 5 langkah ini:
1. Rekaan produk rendah karbon
Apple akan terus meningkatkan bahan rendah karbon dan boleh dikitar semula di dalam produk mereka, di samping mencipta cara mengitar semula produk yang telah dihasilkan dan menciptanya cekap tenaga sebaik mungkin.
Untuk mengitar semula produk lama, Apple telah mencipta robot Dave. Ia boleh menguraikan Taptic Engine di iPhone dan mengutip semula bahan nadir bumi seperti magnet, tungsten dan besi. Bahan yang dikitar semula ini telah digunakan di dalam iPhone, iPad, Mac dan Apple Watch terbaru.
2. Meningkatkan kecekapan tenaga
Apple akan mengenalpasti cara baru untuk merendahkan penggunaan tenaga di pejabat dan kilang pegeluaran. Salah satu menerusi kerjasama Dana Hijau US-China, di mana USD 100 juta dilaburkan untuk mempercepatkan projek ini kepada pengeluar produk Apple.
Tahun lepas, Apple juga telah menaik taraf kecekapan tenaga di lebih 6.4 juta kaki persegi bangunan baru dan sedia ada. Ia telah mengurangkan penggunaan tenaga kepada hampir 1/5 dan menjimatkan sebanyak USD 27 juta.
3. Tenaga boleh diperbaharui
Apple telah pun menggunakan 100% tenaga boleh diperbaharui di pejabat operasi. Kini mereka akan membawanya kepada kilang pengeluaran. Perkara ini dipersetujui oleh lebih 70 pembekal barangan Apple. Selepas disiapkan, ia boleh mengelakkan dari 14.3 juta tan metrik karbon dikeluarkan setiap tahun.
Apple telah melancarkan salah satu projek tenaga solar terbesar di Scandinavia, serta dua lagi projek untuk masyarakat kurang berkemampuan di Filipina dan Thailand.
4. Inovasi penghasilan produk
Penghasilan produk turut menghasilkan karbon dan Apple mencipta inovasi baru untuk perkara ini. Salah satunya dengan memberi sokongan kepada pembangunan poses peleburan aluminium bebas karbon, menerusi pelaburan dan kerjasama dengan dua pengeluar aluminium mereka. Apabila menyebut proses bebas karbon, ia merujuk kepada langkah seperti pembakaran dan peleburan yang tidak menggunakan petrol dan arang.
Hari ini, Apple mengumumkan bahawa generasi pertama aluminium rendah karbon ini akan digunakan dalam penghasilan MacBook Pro 16-inci.
Menerusi langkah ini juga, Apple telah mengurangkan pembebasan gas berflorin kepada lebih 242,000 tan metrik pada tahun 2019. Gas berflorin menyumbang kepada pemanasan global.
5. Membuang karbon dari atmosfera
Apple melabur dalam bentuk penjagaan hutan dan pelbagai penyelesaian berasaskan alam sekitar di seluruh dunia. Antaranya penjagaan ekosistem bakau di Columbia. Hutan bakau boleh menyimpan 10x ganda karbon berbanding hutan, di samping melindungi persisiran pantai dan menjaga ekosistem hidupan di dalamnya.
Apple juga bekerjasama dengan pertubuhan alam sekitar seperti The Conservation Fund, the World Wildlife Fund, dan Conservation International, untuk melindungi dan membaiki pengurusan lebih 1 juta ekar.
Pelan penuh Apple untuk mencapai bebas karbon dan tenaga boleh dibaharui ini boleh dirujuk di laman web Apple Environment. Kertas kerjanya boleh dibaca di sini.
Sumber: Apple