Fitbit kini mengumumkan ketibaan tiga produk baru mereka untuk membantu gaya hidup sihat. Dua darinya adalah jam tangan pintar iaitu Fitbit Sense dan Fitbit Versa 3. Satu lagi ialah gelang penjejak kecergasan, Fitbit Inspire 2.
Fitbit Sense adalah jam pintar paling canggih dihasilkan oleh Fitbit, menampilkan sensor aktiviti elektrodermal (EDA) untuk mengesan tahap stres atau tekanan, pertama kali ada di jam pintar. Fitbit Versa 3 pula dinaik taraf dengan GPS terbina di dalamnya. Manakala Fitbit Inspire 2, kini dengan hayat bateri lebih panjang, sehingga 10 hari.
Fitbit Sense
Fitbit Sense adalah jam pintar dilengkapi sebegitu banyak sensor di dalamnya. Selain sensor EDA pertama di dunia di pasang di jam pintar, Fitbit Sense turut dilengkapi pengesan denyutan sepanjang masa, aplikasi ECG dan sensor pengesan suhu kulit.
Gabungan sensor dan analisa perisian Fitbit membantu pengguna Sense untuk mengetahui tahap fizikal mereka menangani tekanan. Pengurusan tekanan yang dibina oleh pasukan Fitbit ini dihasilkan oleh pakar kesihatan mental, serta panduan dari pakar perubatan institusi akademik terkemuka.
Sensor EDA di Fitbit Sense mengesan aktiviti elektrodermal pengguna. Pengguna hanya perlu meletakkan tapak tangan di muka jam dan sensor akan mengesan perubahan elektrik d dalam peluh di kulit. Pengesanan ini boleh digabungkan dengan sesi kesedaran yang dibimbing di dalam aplikasi. Pengguna boleh memeriksa graf EDA dari semasa ke semasa untuk mengetahui tahap tekanan diri.
Fitbit turut memperkenalkan markah pengurusan tekanan, berdasarkan data denyutan jantung, waktu tidur dan aktiviti. Ia akan terdapat pada semua pengguna Fitbit dalam kemaskini yang dijadualkan akan tiba pada bulan September.
Pengguna Fitbit Sense akan turut menerima langganan Fitbit Premium bernilai RM39/bulan, secara percuma selama 6 bulan. Fitbit Premium memberikan analisa yang lebih mendalam, di samping bimbingan peribadi untuk aktiviti terpilih.
Selain teknologi canggih di atas, Fitbit Sense memiliki teknologi PurePulse 2.0 yang mengesan denyutan jantung sepanjang masa. Di samping itu, ia memiliki GPS terbina di dalam, lebih 20 mod senaman, pengesan aktiviti automatik SmartTrack, tahap dan markah kecergasan Cardio dan pemantau tidur.
Jam ini juga kalis air sehingga 50 meter, serta hayat bateri sehingga 6 hari. Ia boleh memaparkan semua notifikasi dari peranti, serta memiliki mikrofon dan speaker untuk berbual terus dari pergelangan tangan, juga boleh mengaktifkan pembantu maya Google Assistant atau Amazon Alexa.
Fitbit Sense akan dijual di Malaysia bermula Oktober pada harga RM1,498 dalam dua pilihan warna, carbon/graphite dan white/gold. Fitbit juga akan menjual pelbagai jenis tali jam seperti woven band, sport band dan infinity band, dengan harga bermula dari RM168.
Fitbit Versa 3
Jam pintar ini sebenarnya kelihatan serupa dengan Fitbit Sense. Apatah lagi, Fitbit menyatakan mereka pertama kali mencipta pengecas magnetik yang sama untuk Versa 3 dan Sense. Perkara ini memang benar kerana Versa 3 boleh dikatakan varian Sense dengan fungsi dikurangkan.
Kekurangan pada Versa 3 adalah ketiadaan sensor EDA dan pengesan suhu kulit. Tetapi ia memiliki banyak naik taraf berbanding Versa 2 seperti GPS terbina di dalam, pembantu maya Google Assistant, serta mikrofon dan speaker terbina di dalam untuk membuat panggilan.
Selain itu, Versa 3 mengekalkan fungsi yang sama di Versa 2 antaranya hayat bateri sehingga 6 hari, lebih 20 mod kecergasan, pemantau denyutan jantung 24/7, kalis air sehingga 50 meter, pemantau tidur, memaparkan notifikasi telefon seperti panggilan dan sms, menyimpan dan memainkan lagu, serta sistem pembayaran Fitbit Pay.
Fitbit Versa 3 akan dijual di Malaysia bermula Oktober pada harga RM1,148 dalam tiga pilihan warna, hitam, merah jambu/emas dan biru/emas. Fitbit juga akan menjual pelbagai jenis tali jam seperti woven band, sport band dan infinity band, dengan harga bermula dari RM168.
Fitbit Inspire 2
Jika anda mahu pemantau kecergasan asas yang kecil, Inspire 2 adalah jawapannya. Ia kini memiliki hayat bateri paling panjang untuk peranti Fitbit, sehingga 10 hari tetapi masih menggunakan skrin hita putih.
Fitbit juga memberikan langganan Fitbit Premium percuma lebih panjang, selama setahun bersama pembelian Inspire 2. Pengguna boleh mendapatkan pelbagai panduan dan analisa kecergasan lebih mendalam melalui Fitbit Premium.
Sebagai peranti kecergasan, Fitbit Inspire 2 boleh memantau denyutan jantung 24/7, memantau kualiti tidur, lebih 20 mod kecergasan serta kalis air. Jika mahu menjejak lokasi, ia boleh menggunakan GPS di peranti untuk merekod pergerakan.
Fitbit Inspire 2 akan dijual di Malaysia bermula Oktober pada harga RM498 dalam tiga pilihan warna, hitam, putih dan merah jambu. Pelbagai tali untuk Inspire 2 turut akan dijual dengan harga bermula dari RM78.