Trevo, platform perkongsian kereta individu-ke-individu (P2P) berasaskan aplikasi, hari ini memulakan fasa pertama kajian pembuktian konsep (POC), dengan melabur RM 2 juta sebagai bantuan kewangan untuk hos-hos baru. Kajian POC pelbagai fasa ini akan berjalan selama setahun, dari Ogos 2020 hingga Ogos 2021.
Majlis bantuan kewangan RM 200 yang diumumkan hari ini disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Socar Malaysia, Leon Foong dan Pengurus Besar Trevo, Susan Teoh di Trevo Lighthouse, Bangsar.

Bantuan kewangan RM 200 ini akan disalurkan kepada 10,000 hos baru pertama di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu. Tetapi hos harus membenarkan kereta mereka boleh ditempah selama sekurang-kurangnya 14 hari setiap bulan. Pendaftaran hos baru terbuka kepada semua rakyat Malaysia, yang memiliki kereta berusia tidak lebih dari 12 tahun pada 31 Disember 2020.
Susan Teoh menyatakan, kajian POC ini akan mengenal pasti ruang-ruang penambahbaikan di dalam ekosistem perkongsian kereta P2P, termasuk cabaran serta jurang yang mungkin menjadi ketara apabila komuniti perkongsian kereta ini mencapai momentum mampan.

“Sasaran utama kami ialah untuk memperkasakan pasaran perkongsian kereta yang selamat dan efisien, oleh itu kajian POC kami akan meneliti dengan lebih dekat lagi faktor-faktor seperti perlindungan insurans dan keperluan tuntutan, kecekapan proses penyaringan kemasukan, rangka kerja pelesenan berdasarkan perundangan, sokongan pelanggan pasca tempahan dan peluang-peluang lain bagi mengurangkan kesamaran dalam usaha menetapkan undang-undang perkongsian kereta. Kajian POC ini dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan bagi memahami dan menambah baik industri dengan fokus terhadap melindungi kepentingan awam. Kami berharap untuk membantu mewujudkan undang-undang P2P yang pro-hos, pro-tetamu dan lebih penting lagi pro masyarakat. Di Trevo, kami mahu rakyat Malaysia memacu impian mereka bersama kami, tetapi sebelum itu, kami ingin menunjukkan kepada semua rakyat Malaysia bahawa Trevo adalah peneraju usaha mewujudkan pasaran perkongsian kereta yang lebih baik untuk semua orang,” jelas Susan.

Untuk menyertai Trevo dan mendapatkan bantuan kewangan RM 200, pemilik kereta perlu mendaftar dengan kod rujukan MOTxTREVO di aplikasi Trevo, yang boleh dimuat turun di Apple Appstore dan Google Playstore. Maklumat lanjut boleh dirujuk di laman web Bantuan Kewangan Trevo.
Trevo kini memiliki lebih 70,000 orang ahli dan lebih dari 1,500 kereta di dalam senarai, merangkumi 150 model dari 30 jenama kereta dari Perodua Axia dan Myvi, hinggalqh Porsche, BMW dan banyak lagi.

Pemilik kereta boleh membiayai sehingga 85% ansuran pinjaman kereta dengan berkongsi kereta di platgorm Trevo sekurang-kurangnya 10 hari sebulan. Pemilik juga boleh menetapkan sendiri harga tempahan, di dalam julat harga yang ditunjukkan oleh algoritma Trevo.
Pusat Pengakitfan Trevo Lighthouse
Bagi memantapkan lagi sistem sokongan, Trevo melancarkan pusat pengaktifan Trevo Lighthouse yang baru. Ia akan berfungsi sebagai pusat sokongan untuk hos, dengan sesi kemasukan selama 30-minit dan dibuka setiap hari, dari 9.00 pagi hingga 5.30 petang.
Pelbagai aktiviti komuniti juga akan dianjurkan secara kerap di Trevo Lighthouse, khusus untuk ahli-ahli Trevo.
Ketahui lebih lanjut bagaimana untuk menjadi hos atau tetamu Trevo di laman web www.trevo.my.