Keluarga iPhone 12 akan mula dijual di Malaysia pada 13 November 2020, dengan tempahan awal di syarikat telekomunikasi dan pengedar rasmi Apple dibuka dari 6 November 2020. Malaysia kali ini tergolong dalam jualan pertama untuk iPhone 12 mini dan iPhone 12 Pro Max, sama seperti di Amerika Syarikat. Tetapi Malaysia lewat 2 minggu menerima iPhone 12 dan iPhone 12 Pro.
Dengan penjualan selepas dilancarkan semakin cepat di Malaysia, membeli set import iPhone lebih awal dengan harga terlampau mahal, tidak perlu dilakukan lagi. Tetapi masih ada penjual di Malaysia yang membawa masuk set import, terutama iPhone 12 dan iPhone 12 Pro yang dijual 2 minggu lebih awal di Singapura.
Bagaimana nak tahu set import atau set Malaysia?
Sebelum itu, kita pelajari dulu macam mana nak bezakan set Malaysia dan set luar negara. Ia boleh diketahui dari label di luar kotak, pada nombor modelnya. Ia boleh dipecahkan kepada 4 bahagian.
Contohnya pada iPhone 11 ini, nombor modelnya ialah MWN52ZA/A. 4 bahagian itu adalah:
“M” + “WN52” + “ZA” + “/A”
Bahagian 1 menunjukkan ia set asli atau diubahsuai. M adalah kod untuk baru. Bahagian 2 pula adalah model telefon, untuk telefon ini ialah iPhone 11, Purple 64GB. Bahagian 3 adalah negara di mana ZA adalah Singapura. MY untuk Malaysia. Bahagian 4 pula menandakan ia datang dengan iOS asal, /A untuk iOS asal dan /B untuk iOS lama, bagi stok lama yang belum dijual.
Set import vs Set Malaysia
Persoalannya, boleh tak beli set import seperti iPhone 12 dari Singapura atau negara lain? Sebenarnya boleh, tetapi anda harus pertimbangkan beberapa perkara sebelum membelinya.
1. Jaminan
Satu perkara yang bagus tentang iPhone adalah, jaminan bermula apabila telefon pertama kali diaktifkan. Jadi kalau bawa dari Singapura, jaminan masih belum berjalan sehinggalah kotak dibuka, telefon dihidupkan dan iOS didaftarkan.
Kemudian, jaminan iPhone tidak terhad kepada negara. Ia dijamin di seluruh dunia. Jadi membeli iPhone set import, turut dijamin di Malaysia dan diterima oleh pusat servis Apple di Malaysia.
2. Sekatan SIM
Masalah yang perlu diketahui apabila membeli iPhone, terutama sekali dari pihak ketiga adalah sekatan SIM. Perkara ini tidak terhad untuk set import sahaja, tetapi juga untuk set Malaysia.
Ini berkaitan dengan pembelian di syarikat telekomunikasi (telko) yang banyak menawarkan pembelian iPhone secara ansuran. Untuk set Malaysia, telko boleh menyekat iPhone yang dibeli dari mereka jika pembelinya tidak membayar ansuran atau bil mereka. Dalam hal ini, ada kes penjual yang membeli set iPhone mereka dari telko, kemudian menjualnya kepada orang lain. Jika anda mahu membeli iPhone dari individu dan menyatakan ia set Malaysia, minta bukti pembelian. Beli set telko jika anda mengenali penjual sahaja, agar boleh dicari jika SIM iPhone anda disekat.
Untuk set import pula, masalahnya jauh lebih besar. Di Amerika contohnya, banyak set iPhone disekat SIM kepada telko yang dibeli sahaja. Jadi SIM telko lain tidak boleh digunakan pada iPhone tersebut. Pastikan telefon boleh diaktifkan jika anda membeli set import.
3. Sekatan Fungsi
Antara sebab Apple membuat kategori negara kerana undang-undang yang berbeza di beberapa negara. Ia dilakukan untuk mematuhi undang-undang di negara tersebut. Antara negara yang membuat sekatan khusus kepada iPhone adalah:
- Jepun – bunyi kamera tidak boleh disenyapkan
- UAE – tiada Facetime kerana sekatan VoIP
- Korea Selatan – tidak boleh berkongsi lokasi masa nyata
Untuk set Singapura, tiada sekatan khusus pada iPhone jadi ia boleh digunakan sepenuhnya sama seperti set Malaysia.
4. Perbezaan rangkaian 4G dan 5G
Tahukah anda, walaupun nama 4G atau LTE serta 5G, disebut secara meluas di seluruh dunia, ia sebenarnya menggunakan standard yang berbeza di setiap negara. Di Malaysia, spektrum yang digunakan untuk rangkaian 4G adalah:
- 850 MHz (5), 900 MHz (8), 1800 MHz (3), 2300 MHz (40), 2600 MHz (7, 38)
Manakala untuk 5G, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan spektrum berikut:
- 700MHz, 3.5GHz, 26GHz, 28GHz
Apple telah mengkelaskan iPhone mereka kepada beberapa model yang bersesuaian dengan rangkaian negara. Set Malaysia tergolong di dalam set dengan rangkaian 4G & 5G paling meluas, serasi dengan pelbagai negara seperti Australia, India, Indonesia, Singapura dan United Kingdom.
Manakala negara yang memiliki model iPhone dengan rangkaian 4G & 5G yang kurang serasi dengan Malaysia adalah seperti Amerika, China, Hong Kong, Jepun dan Kanada. Anda boleh merujuk senarai penuh model iPhone dan keserasian rangkaian negara di sini.
5. Aksesori
Soket kuasa elektrik berbeza mengikut negara. Jadi aksesori yang terdapat di dalam kotak juga berbeza. Untuk Malaysia, kita menggunakan kepala pengecas 3-pin rata. Sama juga di Singapura kerana pernah sama-sama dijajah British.
Berbeza pula untuk set China, ia menggunakan kepala pengecas 2-pin rata. Begitu juga set Amerika Syarikat, menggunakan 2-pin rata.
Tetapi dengan iPhone 12, orang ramai tak perlu risau tentang aksesori kerana ia tidak lagi datang dengan kepala pengecas dan fon telinga. Hanya ada telefon dan kabel USB-C ke Lightning di dalam kotak.
Satu lagi adalah cetakan di luar kotak. Untuk set Malaysia, akan terdapat label Bahasa Melayu dan Inggeris. Tetapi set Singapura, ia dicetak label Bahasa Cina dan Inggeris.
Jadi boleh beli set import kan?
Sebagai rumusan, tiada masalah untuk membeli set import. Dari segi fungsi, ia adalah sama dalam semua segi. Jaminan juga tiada masalah, set import turut diterima di pusat servis Apple Malaysia. Lagi senang pada aksesori, selepas iPhone 12 tak perlu fikir kepala pengecas sebab tiada lagi dalam kotak.
Apa yang penting adalah SIM dan keserasian rangkaian 4G/5G. Asalkan anda beli dari penjual yang bertanggungjawab dan boleh ditemui jika ada masalah pengaktifan, maka tiada masalah membeli set import. Harga set import juga biasanya lebih murah dari set Malaysia.
Satu perkara yang saya mahu tekankan untuk iPhone 12 adalah set Singapura dan Hong Kong. Untuk model 4G sebelum ini, ramai berminat mendapatkan set Hong Kong kerana sokonga dwi sim fizikal di samping serasi rangkaian 4G. Tetapi untuk model 5G seperti iPhone 12, Apple meletakkan Hong Kong di dalam model yang tidak serasi dengan Malaysia dan Singapura. Set Hong Kong mungkin tidak boleh menggunakan rangkaian 5G dengan baik di Malaysia nanti. Tetapi tiada masalah dengan set Singapura.
Kalau anda mahu ketenangan minda, membeli set Malaysia dari penjual sah Apple adalah cara terbaik. Tak perlu fikir masalah SIM disekat atau ketidak serasian rangkaian 4G/5G.
Kesimpulannya, memang boleh beli set import, asalkan anda tahu penjualnya boleh dipercayai.