Akibat ingin kaya dengan cara mudah dan cepat, akhirnya ditipu dan mengalami kerugian. Begitulah yang boleh diibaratkan kepada mangsa kes penipuan bersindiket dalam talian,‘Like dan Share’.
‘Like dan Share’ adalah satu laman yang menyediakan peluang menjana pendapatan dengan membuat beberapa tugasan seperti like dan kongsi (share) video di laman media sosial iaitu TikTok dan Youtube.
Pernah satu ketika dahulu, terdapat banyak iklan dan perkongsian individu mengajak orang ramai menyertai “Isharefans” dan “Like and Share” di laman sosial. Mereka menunjukkan bahawa mereka sudah berjaya mengeluarkan wang yang banyak dengan menyertai tugasan itu.
Ada yang teperdaya sehingga sanggup melaburkan jumlah wang yang besar untuk naik ke peringkat yang lebih tinggi. Namun, pada satu masa, ramai mangsa tidak berjaya untuk mengeluarkan wang yang diperolehi kerana sistem untuk masuk ke pautan tersebut sudah tidak boleh diakses (system down). Mangsa sedar tertipu lalu membuat laporan polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaakob berkata sepanjang Oktober dan November, sebanyak 20 kertas siasatan telah dibuka melibatkan platform-platform pelaburan haram dalam talian dengan nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM689,146.
Antara platform skim pelaburan baharu yang sedang disiasat itu dikenali sebagai “Queqiabao”, “Test Fight”, “Like and Share”, “Zan Zan Le” dan “Isharefans”.
Datuk Zainuddin berkata, hasil maklumat dan risikan, pihaknya telah melakukan pemeriksaan ke atas satu premis beralamat di KL Eco City, Khamis lepas tetapi didapati telah tutup sejak 9 November lalu.
Modus Operandi “Like and Share”
- Mangsa mendapat maklumat daripada iklan di laman sosial Facebook atau Twitter dan mereka diberikan nombor telefon untuk dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.
- Mangsa diberikan satu pautan dan mereka perlu memberikan nombor telefon beserta nombor akaun bank.
- Mangsa dikehendaki melakukan tugasan ’like and share’ di Laman Tik Tok atau YouTube melalui aplikasi yang diberi secara percuma.
- Dengan setiap ’like and share’, mangsa akan menerima bayaran RM1.00 dengan 20 kali ‘like and share’ sehari dan keuntungan akan dibayar ke dalam akaun mangsa.
- Bagi menambah tugasan dan keuntungan lebih tinggi, mangsa ditawarkan pakej dengan nilai yang tertentu yang perlu dibayar. Mangsa perlu membeli pakej ini sekiranyan ingin mendapat bayaran yang lebih tinggi.
- Kebanyakan mangsa mendapat keuntungan pada peringkat awal, namun menyedari ditipu apabila jumlah keuntungan tidak dapat dikeluarkan kerana pautan ‘like dan share’ tidak boleh diakses lagi.
Sebelum menyertai apa-apa tugas yang meragukan, anda perlu mendapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti Semak Mule, Senarai Amaran Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi mengelak sebarang penipuan dan kerugian daripadan berlaku. Anda juga boleh membuat aduan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya di tipu.
Tidak dinafikan, memang ramai yang mengalami kesempitan hidup sejak PKP awal tahun ini. Meskipun terdesak memerlukan duit, ini bukanlah jalan yang tepat untuk menjana pendapatan. Adalah lebih baik untuk menjanan pendapatan melalui sumber yang dipercayai.
[Sumber: Bernama]