Telefon kelas permulaan menjadi pilihan ramai rakyat di Malaysia, kerana harganya yang murah dan kebanyakan pengguna hanya mahu akses asas ke internet. Cukup dengan boleh bermesej di WhatsApp, mencari maklumat di Google atau menonton video di YouTube.
Dengan bajet RM600, ada banyak pilihan boleh didapati di Malaysia dan salah satu darinya adalah Huawei Y6p. Harganya cuma RM559 dan ia memiliki storan 64GB, agak besar untuk harga ini. Cuma, disebabkan arahan Donald Trump (bekas presiden Amerika Syarikat), Huawei Y6p tidak boleh menggunakan Google secara rasmi.
Ketiadaan Google bukanlah penghalang, tetapi sama ada ia serasi untuk anda, ia perlu diteliti lebih mendalam. Ini adalah pandangan ringkas penulis berkenaan Huawei Y6p.
Spesifikasi
Sebelum melihat dengan mendalam, kita teliti dahulu spesifikasi telefon ini secara kasar. Huawei Y6p dikuasakan cip Mediatek Helio P22, bersama RAM 4GB dan storan eMMC 64GB. Ada slot kad memori yang menerima kad mikroSD sehingga 512GB.
Skrinnya sebesar 6.3-inci, dari jenis LCD, bertakuk kecil di dahi dan resolusi HD 1600×720. Bateri di dalamnya agak besar, berkapasiti 5,000mah dan menerima pengecasan dengan kuasa sehingga 10W, melalui port mikro-USB.
Kamera pula, ada 3 belakang gandingan kamera utama 13MP F1.8, kamera bersudut lebar 5MP F2.2 dan kamera potret 2MP F2.4. Kamera hadapan pula 8MP F2.0.
Sambungan yang ada di telefon ini adalah WiFi 802.11bgn 2.4Ghz, Bluetooth 5.0, mikroUSB 2.0 dan jek audio 3.5mm. Speaker pula mono, terletak di bawah telefon. Pengimbas capjari ada di belakang.
Rupa luaran
Semasa pertama kali memegang telefon ini, ia mengembalikan memori kepada satu model telefon Xiaomi, Redmi Note 7. Ia ada plastik yang kelihatan seperti kaca di belakang. Bingkainya juga dari plastik, berbentuk melengkung yang selesa dipegang.
Apa yang membuatkan persamaan itu lebih dekat adalah, saiz skrinnya sama iaitu 6.3-inci. Rekaan Redmi Note 7 adalah salah satu bentuk badan yang saya sangat gemari, kerana saiznya yang sangat sesuai di genggaman.
Skrin LCD adalah sesuatu yang dijangka untuk telefon di bawah RM600, tetapi resolusi HD sahaja sedikit ketinggalan. Setakat ini, hanya Xiaomi menyediakan skrin HD Penuh untuk telefonnya berharga RM500 ke atas. Huawei perlu lebih pemurah dalam hal ini.
Tetapi skrin HD untuk saiz 6.3-inci sebenarnya tidak terasa kekurangannya. Melainkan anda meletakkan telefon dengan skrin HD Penuh di sebelah dan membandingkannya, baru nampak kurangnya piksel di skrin Huawei Y6p.
Sistem bunyi yang disalurkan melalui speaker mono di bawah, agak jelas dan terang. Penulis bukanlah terlalu teliti tentang audio, tetapi menonton video dan dapat mendengar suara dengan jelas, ia sudah cukup memuaskan. Lagu yang dimainkan dengan bunyi tidak pecah, juga didengari dengan jelas. Bunyi speaker ini juga agak lantang, tidak terlalu perlahan. Pendek kata, cukup makan bunyinya.
AppGallery pengganti Google Playstore
Ini adalah pengalaman pertama penulis menggunakan telefon Huawei tanpa Google Mobile Service (GMS) sepenuhnya. Ia memang sangat perit, apabila hampir semua perkara di telefon pintar sebelum ini disambungkan ke perkhidmatan Google.
Huawei menyediakan AppGallery, sebagai pengganti stor aplikasi Google Playstore. Banyak aplikasi terdapat di dalamnya, tetapi masih ada aplikasi penting yang belum disenaraikan di dalam AppGallery. Paling utama adalah aplikasi berkaitan duit seperti perbankan dan eWallet.
Aplikasi perbankan yang sudah ada di dalam AppGallery adalah seperti Maybank2u, RHB, Public Bank engage, AmBank AmOnline, dan HLB Connect. CIMB Clicks tidak pula kelihatan. Manakala eWallet, dari 3 yang utama di Malaysia, sudah ada 2 di dalam AppGallery iaitu Boost dan Touch n Go eWallet. Grab masih belum ada.
Petal Search
Jika aplikasi yang diingini tiada, ada satu lagi alternatif yang disediakan Huawei, dipanggil sebagai Petal Search. Ia adalah enjin carian, yang mencari aplikasi yang tiada di AppGallery menerusi portal muat turun aplikasi APK. Pendek kata, ia membawa anda ke laman web lain untuk memuat turun aplikasi dan memasangnya secara manual.
Cara ini sebenarnya sangat tidak digalakkan kerana selain masalah hubungan dengan peranti yang tidak diselenggara dengan betul, masalah lebih besar adalah isu keselamatan. Laman web aplikasi tidak menjanjikan aplikasi yang dimuat turun benar-benar selamat, malah tidak akan bertanggungjawab jika berlakunya kebocoran atau kecurian data. Aplikasi ini mungkin telah digodam dan diubahsuai oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Jika anda mahu menggunakan Petal Search, maka anda harus mengambil risiko sendiri. Cuba jangan guna kata laluan yang digunakan pada akaun penting lain, jika memasang aplikasi menggunakan Petal Search.
Alternatif paling mudah jika aplikasi yang dimahukan tidak ada di dalam AppGallery, adalah dengan menggunakan laman web rasmi. Hampir semua media sosial boleh diakses dari laman web seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Malah, perkhidmatan Google juga boleh digunakan dari laman web seperti YouTube, Gmail, Maps dan sebagainya.
Prestasi
Untuk melihat tahap kemampuan Huawei Y6p, penulis mencuba dua permainan yang boleh dimuat turun terus dari AppGallery, iaitu Asphalt 9 dan Mobile Legends. Asphalt 9 adalah sebuah aplikasi yang memerlukan kuasa tinggi untuk menggerakkannya. Kerana itu, walaupun dengan tetapan grafik paling rendah, sangat sukar untuk Huawei Y6p menjalankannnya dengan lancar. Semasa berlumba, pasti ada babak yang tersekat, selain rupa kereta dan suasana persekitaran kelihatan buruk kerana pilihan grafik rendah.
Tetapi untuk Mobile Legends, pengguna boleh bermain dengan lancar. Grafik juga boleh ditetapkan ‘high’. Bermain 2-3 pusingan, tiada paparan tersangkut dan tersekat-sekat.
Nak cuba PUBG Mobile dan COD Mobile, tiada pula dalam AppGallery. Pendek kata, prestasi Helio P22 boleh menjalankan game yang memerlukan kuasa rendah, tetapi tidak teralu tinggi seperti Asphalt 9. Nampak gayanya, nak main Genshin Impact di Huawei Y6p ni pun tak larat.
Kamera
Kualiti gambar yang dihasilkan kamera Huawei Y6p adalah biasa, tidak terlalu hebat dan tidak teruk. Dengan pencahayaan terang, ia boleh mengambil gambar dengan baik. Suasana malap, ia sangat gagal kerana tiada ‘Night Mode‘.
Satu perkara yang sangat bagus di Huawei Y6p adalah ia ada kamera sudut lebar, kerana ia jarang ada di telefon pintar di bawah RM600. Dengan kamera ini, pengguna memiliki pilihan untuk menangkap gambar dengan lebih luas. Terutama sekali untuk pemandangan.
Untuk swafoto, ia menghidupkan fungsi “Beauty” secara lalai, jadi muka anda akan sentiasa licin dan gebu. Tetapi ia tiada mod potret untuk kamera hadapan, jadi mengambil gambar muka sendiri berlatar kabur tidak dapat dilakukan.
Kesimpulan
Ketiadaan Google bukanlah penghalang untuk Huawei terus memperkenal model baru telefon pintar mereka ke pasaran, termasuk model kelas permulaan. Apatah lagi Huawei perlu meletakkan harga sedikit rendah, untuk bersaing dengan model jenama lain bagi menarik minat pembeli menggunakannya tanpa Google. Dalam hal ini, Huawei dilihat tidak kedekut memberi storan 64GB untuk Huawei Y6p, pada harga RM559.
Tetapi langkah Huawei meletakkan Petal Search sebagai aplikasi rasmi di dalam peranti sedikit tidak wajar. Walaupun ia adalah alternatif, tetapi ia dilihat seperti Huawei mengiktiraf pemasangan aplikasi di luar ekosistem, di mana keselamatannya tidak dijamin.
Ramai pengguna tidak mengetahui bahawa Petal Search memasang aplikasi dari luar dan memikirkan ia adalah sumber rasmi dari Huawei, kerana tersedia di dalam peranti sejak mula. Lebih baik Petal Search disediakan di luar peranti, tidak datang bersama dan hanya pengguna yang mencari dan tahu mengenainya, akan memasang jika mahu.
Sukar untuk memilih Huawei Y6p sebagai peranti pilihan utama, walaupun ia berharga RM559 sahaja dan memiliki storan 64GB. Ini kerana model lain dalam lingkungan ini adalah seperti Redmi 9, berharga RM599 dengan storan 64GB memiliki skrin HD Penuh dan pengecasan pantas USB-C. Begitu juga dengan Realme C15, RM599 dengan bateri mega 6,000mAh dan pengecasan pantas 18W.
Huawei Y6p boleh dipilih jika pengguna tidak suka antaramuka MIUI dan Realme UI. Selain ini, seperti tiada alasan boleh diberikan, apatah lagi dengan ketiadaan Google.
Tetapi jika anda berminat untuk memiliki Huawei Y6p, anda boleh mendapatkannya dari pengedar sah Huawei dan stor online Lazada dan Shopee.