fbpx

Redmi Note 7 tiba di Malaysia dengan harga di bawah RM1000

Peranti yang dinanti ramai, Redmi Note 7 hari ini dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Seperti yang dijangka, ia lengkap dengan pelbagai fungsi terkini pada harga yang sangat menarik.

Pelancaran Redmi Note 7 dimeriahkan dengan pengumuman dutanya, pelakon lelaki di Malaysia, Aeril Zafril. Beliau kagum dengan Redmi Note 7 yang tahan lasak dan harganya yang murah.

Redmi Note 7 yang tiba di Malaysia adalah yang sama seperti di China, bukan yang dilancarkan di India. Ia memiliki kuasa pemproses Snapdragon 660, bersama kamera belakang 48MP yang menggunakan sensor Samsung.

Terdapat tiga model Redmi Note 7 yang dijual di Malaysia, dengan harga berikut:

  • RAM 3GB + Storan 32GB – RM679
  • RAM 4GB + Storan 64GB – RM799
  • RAM 4GB + Storan 128GB – RM949

Semua model Redmi Note 7 ini akan mula dijual pada 27 Mac 2019, kecuali model asas 32GB yang hanya terdapat secara eksklusif di Lazada pada tarikh yang sama.

Satu lagi tarikan Redmi Note 7 kali ini ialah, jaminan diberikan selama 18-bulan. Berbeza dari kebanyakan model lain dengan jaminan 12-bulan sahaja.

Skrin Redmi Note 7 sebesar 6.3-inci, bertakuk kecil titisan air dengan resolusi HD Penuh+. Ia dilapisi kaca Corning Gorilla Glass 5 yang tahan lasak.

Kamera Redmi Note 7 menggunakan dua lensa di belakang, gandingan lensa utama 48MP F1.8 dan lensa kedua pengesan kedalaman 5MP. Lensa 48MP ini menggunakan sensor Samsung GM1, bukannya lensa sensor Sony IMX586 yang dikatakan lebih baik. Kamera hadapannya pula 13MP F2.0.

Baterinya masih kekal dengan kapasiti 4,000mAh. Tetapi kali ini menggunakan port USB-C, pertama kali di model Redmi Note. Malah, ia menyokong pengecasan pantas Quick Charge 4.0. Cuma, pengecas tersebut perlu dibeli berasingan, kerana yang diberikan di dalam kotak ialah pengecas 5V2A (10W).

BACA  Tak Cukup Dengan 64MP, Xiaomi Bakal Tembusi Sempadan 108MP Untuk Kameranya

Selain itu, Redmi Note 7 masih mengekalkan jek audio 3.5mm dan pemancar infra merah (IR). Ia menyokong dwi-kad sim nano dan kad mikroSD dalam slot hibrid.

Redmi Note 7 dijual di Malaysia dalam tiga pilihan warna menarik iaitu, Neptune Blue, Nebula Red dan Space Black. Jangan lupa untuk mendapatkannya bermula dari 27 Mac 2019 dari pengedar sah Xiaomi.